Kultivar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pergi ke navigasi Pergi ke carian
Osteospermum 'Pink Whirls'
Kultivar terpilih untuk bunganya yang menarik dan warna-warni

Kultivar ialah satu tumbuhan atau sekumpulan tumbuh-tumbuhan dipilih kerana ciri-ciri yang dikehendaki yang boleh dikekalkan ciri-ciri tersebut melalui pembiakan.[1] Secara mudahnya, ia ialah varieti tumbuhan yang terhasil dari penanaman dan pembiakan oleh manusia dan bukannya secara liar atau semula jadi. Kebanyakan kultivar telah muncul dalam pemupukan tetapi ada juga beberapa pemilihan istimewa dari spesies tumbuhan liar. Pokok hiasan popular seperti ros, camelia, dafodil dan azalea merupakan kultivar terhasil dari pembiakbakaan terpilih untuk warna dan bentuk bunga.

Tanaman makanan pertanian dunia juga hampir semuanya ialah kultivar khusus yang telah dipilih berdasarkan ciri-ciri untuk peningkatan hasil, rasa, dan rintang penyakit. Hanya sedikit sahaja yang bukan kultivar ditanam sebagai sumber makanan.

Kultivar termasuklah kacukan (hibrid) yang diketahui terjadi secara semula jadi dalam kawasan penanaman, dan kacukan yang terhasil secara sengaja oleh campur tangan manusia.

Nama kultivar dipamerkan selepas nama saintifik satu spesies, contohnya Mussaenda erthrophylla 'Dona Luz'. Penamaan nama kultivar menggunakan tanda petikan tunggal ( ' ' ) yang tidak dicondongkan.[2]

Kesatuan Antarabangsa untuk Perlindungan Pelbagai Tumbuhan Baharu (UPOV) menawarkan perlindungan tumbuhan kultivar yang sah kepada individu atau organisasi yang memperkenalkan kultivar baharu ke dalam dunia perniagaan. UPOV memerlukan kultivar ini bersifat "berkelainan, seragam" dan "stabil". "Berkelainan" bermaksud ia perlu mempunyai ciri-ciri yang mudah dibezakan daripada kultivar lain yang diketahui. "Seragam" dan "stabil" bermaksud ia perlu mengekalkan ciri-ciri ini dalam pembiakan yang berulang-ulang.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ (Inggeris) Cultivar definition Diarkibkan 2013-11-02 di Wayback Machine. Royal Horticultural Society.
  2. ^ (Inggeris) How names work Diarkibkan 2012-04-02 di Wayback Machine. Royal Horticultural Society.