Lampu jalan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lampu jalan jenis wap natrium tekanan tinggi Sylvania dari Australia. Objek bulat berwarna perang di bawah lampu ialah suis peka cahaya.
Lampu wap natrium tekanan tinggi yang tergantung pada wayar.
Lampu jalan seliaan Tenaga Nasional Berhad disambungkan pada talian hidup khas (dua daripada bawah) dan talian neutral (bawah).
Lampu jalan berhias di sepanjang Lebuhraya Tebrau, Johor Bahru, Malaysia.
Lampu jalan jenis baru dan lama.
Lampu jalan pendarflour yang dipasang pada tiang elektrik di kawasan perumahan di Sydney, Australia.
Komponen dalaman suis peka cahaya bagi lampu jalan di Amerika Syarikat.

Lampu jalan merupakan punca cahaya yang ditinggikan di tepi jalan raya, yang akan menyala pada waktu tertentu pada setiap malam. Lampu jalan moden dihidupkan sama ada dengan menggunakan suis peka cahaya ataupun suis pemasa supaya ia boleh dinyalakan pada waktu senja atau semasa cuaca gelap, serta dimatikan pada waktu subuh. Lampu jalan boleh dipasang sama ada pada tiang lampu khas ataupun pada tiang elektrik.

Cara berfungsi[sunting | sunting sumber]

Terdapat dua kaedah utama bagi menghidupkan lampu jalan, iaitu sama ada dengan menggunakan suis peka cahaya ataupun dengan menggunakan suis pemasa. Di Malaysia, suis peka cahaya digunakan untuk menghidupkan lampu jalan individu yang dipasang pada tiang elektrik di kawasan luar bandar, di mana ia dibilkan kepada pengguna secara kadar rata (flat rate) berikutan ketiadaan meter elektrik.

Bagi kawasan bandar pula, lampu jalan dihidupkan dengan menggunakan suis pemasa di dalam satu kotak khas yang turut menempatkan meter elektrik. Suis peka cahaya turut ditempatkan untuk menghidupkan lampu jalan sekiranya suis pemasa gagal berfungsi ataupun semasa cuaca gelap. Lampu jalan dipasang sama ada pada tiang lampu ataupun pada tiang elektrik. Lampu jalan di kawasan bandar yang dipasang pada tiang elektrik disambungkan ke wayar neutral serta ke wayar lampu jalan. Bagi lampu jalan yang dipasang pada tiang lampu, sambungan lampu jalan dilakukan melalui kabel bawah tanah.

Untuk menerangi kawasan jalan raya luar bandar yang jauh daripada sumber bekalan elektrik, terdapat juga lampu jalan yang menggunakan panel solar bagi mengecas bateri yang membekalkan tenaga elektrik kepada lampu jalan tersebut serta dihidupkan dengan menggunakan suis peka cahaya.

Seliaan dan penyelenggaraan[sunting | sunting sumber]

Lazimnya, syarikat pembekal elektrik seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) sering dianggap sebagai pemilik utama lampu jalan. Sebenarnya, bukan semua lampu jalan terletak di bawah bidang kuasa syarikat pembekal elektrik. Terdapat juga lampu jalan yang terletak di bawah bidang kuasa pihak lain seperti pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta syarikat konsesi lebuh raya. [1]

Selalunya, syarikat pembekal elektrik memasang lampu jalan sebagai nilai tambah kepada pengguna di kawasan kediaman. Lampu jalan seliaan Tenaga Nasional Berhad dipasang pada tiang elektrik dan disambungkan pada wayar hidup khas serta wayar neutral. Wayar hidup tersebut disambungkan ke kotak meter elektrik yang turut menempatkan suis pemasa dan suis peka cahaya dan disambungkan ke talian fasa hidup dan neutral sebagaimana sambungan rumah kediaman biasa. Lampu jalan yang dipasang pada tiang khas besi galvani serta disambungkan melalui kabel bawah tanah tidak terletak di bawah seliaan TNB, sebaliknya di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan, JKR atau syarikat konsesi lebuh raya.

Kebaikan[sunting | sunting sumber]

Kebaikan utama pemasangan lampu jalan termasuklah peningkatan tahap keselamatan jalan raya serta penurunan kadar jenayah.

Peningkatan tahap keselamatan jalan raya[sunting | sunting sumber]

Kajian telah membuktikan bahawa keadaan gelap telah menjadi antara penyumbang utama kepada jumlah kemalangan jalan raya yang tinggi, terutamanya yang melibatkan pejalan kaki; pejalan kaki adalah 3 hingga 6.75 kali lebih berisiko berdepan kemalangan jalan raya semasa gelap berbanding semasa terang[2]. Lampu jalan didapati berupaya mengurangkan kemalangan melibatkan pejalan kaki sehingga lebih kurang 50%[3][4][5].

Selain itu, persimpangan searas serta persimpangan bertingkat yang dipasang lampu jalan didapati kurang cenderung berlaku kemalangan berbanding persimpangan searas serta persimpangan bertingkat yang gelap dan tidak dipasang lampu jalan[6].

Penurunan kadar jenayah[sunting | sunting sumber]

Sistem pencahayaan yang sangat baik mampu mengurangkan kadar jenayah terutamanya yang melibatkan jenayah harta-benda seperti samun, ragut, curi kenderaan serta pecah masuk kediaman. Menurut Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, pemasangan lampu jalan terbukti mampu mengurangkan kadar jenayah terutamanya di kawasan bandar dan perumahan.[7][8]

Kelemahan[sunting | sunting sumber]

Kritikan utama terhadap penggunaan lampu jalan ialah dalam keadaan tertentu ia sebenarnya boleh menyumbang kepada kemalangan jalan raya jika disalah guna, serta boleh menyebabkan pencemaran cahaya.

Bahaya[sunting | sunting sumber]

Terdapat dua fenomena optikal utama yang perlu diambil perhatian semasa memasang lampu jalan.

  • Keadaan rabun malam atau kehilangan penglihatan malam disebabkan refleks akomodasi mata pemandu menjadi ancaman utama. Setelah pemandu keluar dari kawasan gelap ke kawasan yang diterangi cahaya lampu jalan, anak mata pemandu dengan pantas mengecut untuk menyesuaikan mata dengan cahaya yang lebih terang, tetapi setelah meninggalkan kawasan cahaya tersebut, keupayaan anak mata untuk menyesuaikan kembali dengan cahaya yang lebih malap adalah lebih perlahan, jadi pemandu memandu dengan penglihatan yang kurang baik. Semasa pemandu semakin meningkat usianya, pemulihan mata menjadi lebih perlahan, maka masa serta jarak memandu di bawah keadaan penglihatan kurang baik semakin meningkat.
  • Lampu kepala dari arah hadapan lebih mudah dilihat pada latar belakang hitam daripada latar belakang kelabu. Kontars yang lebih tinggi menghasilkan tahap kewaspadaan yang lebih baik terhadap kenderaan dari arah hadapan.
  • Voltan terbiar menimbulkan kebimbangan di banyak kawasan bandar. Voltan terbiar terhasil akibat kebocoran voltan elektrik pada tiang lampu, menjadikan tiang lampu menjadi "hidup" dengan arus elektrik yang berpotensi untuk mencederakan atau membunuh sesiapa sahaja yang menyentuhnya.[9] Sesetengah bandar raya menggunakan teknologi Penutup Perlindungan Keselamatan yang melindungi orang ramai daripada risiko renjatan elektrik serta membunyikan siren amaran serta mengelipkan lampu untuk memberi amaran kepada orang awam apabila terdapat kebocoran arus elektrik pada tiang lampu.

Terdapat juga bahaya fizikal akibat penggunaan lampu jalan. Tiang lampu menimbulkan risiko kemalangan kepada pemandu. Ia boleh dikurangkan dengan mereka bentuknya supaya mudah remuk apabila dilanggar, melindunginya dengan rel pengadang, serta mengecat bahagian bawah tiang supaya lebih mudah dilihat. Angin kencang serta kelesuan tiang juga boleh menyebabkan tiang lampu tumbang.

Pencemaran cahaya[sunting | sunting sumber]

Di kawasan bandar, pencemaran cahaya menyebabkan bintang tidak dapat dilihat sekaligus mengganggu kajian astronomi. Di kawasan berhampiran teleskop astronomi serta balai cerap, lampu natrium bertekanan rendah digunakan. Lampu sebegini mempunyai kelebihan berbanding lampu jenis lain seperti lampu raksa atau logam halida berikutan lampu natrium bertekanan rendah menghasilkan cahaya monokromatik berkeamatan rendah. Balai cerap boleh menapis panjang gelombang natrium di luar pencerapan mereka serta melenyapkan gangguan daripada pencahayaan bandar berhampiran secara maya.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jabatan Perkhidmatan Pengguna & Pemasaran, Bahagian Pembahagian, Tenaga Nasional Berhad (2008), Elektrik Bestari: Lampu Jalan, Tenaga Nasional BerhadCS1 maint: multiple names: authors list (link)
  2. ^ Sullivan, J.M., and Flannigan, M.J. (1999) Assessing the Potential Benefit of Adaptive Headlighting Using Crash Databases, Report No. UMTRI-99-21. University of Michigan Transportation Research Institute.
  3. ^ Schwab, R.N., Walton, N.E., Mounce, J.M., and Rosenbaum, M.J. (1982) Synthesis of Safety Research Related to Traffic Control and Roadway Elements-Volume 2, Chapter 12: Highway Lighting. Report No. FHWA-TS-82-233. Federal Highway Administration.
  4. ^ Elvik, R. (1995) “Meta-Analysis of Evaluations of Public Lighting as Accident Countermeasure.” Transportation Research Record 1485, TRB, National Research Council, Washington, D.C., pp. 112-123.
  5. ^ Commission Internationale de l'Éclairage. (1992) Road Lighting as an Accident Countermeasure. CIE No. 93. Vienna, Austria: Commission Internationale de l'Éclairage.
  6. ^ Box, P.C. (1970) Relationship Between Illumination and Freeway Accidents. IERI Project 85-67 Illuminating Research Institute, New York April, pp. 1-83.
  7. ^ Program Bandar Selamat - Ilustrasi 23 Langkah Pencagahan Jenayah Yang Perlu Dilaksanakan Di Peringkat Pihak Berkuasa Tempatan Diarkibkan 2010-03-31 di Wayback Machine - oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia.
  8. ^ PENCEGAHAN JENAYAH MELALUI REKA BENTUK PERSEKITARAN DAN INISIATIF BANDAR SELAMAT (IBS) Diarkibkan 2010-09-26 di Wayback Machine - oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
  9. ^ "Stray Voltage Still on the Loose". Scienceline. 2006-08-04. Dicapai pada 2008-07-19.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]