Maahad Al Islah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Maahad Al Islah telah ditubuhkan pada 1988 berkat kesedaran ahli masyarakat Masjid Sungai Lampam bersama guru agama daerah Sungai Manik. Maahad Al Islah merupakan cabang bagi Sekolah rendah Islam Madrasah Al Ibtidaiah yang telah ditubuhkan semenjak 1948.

Di atas usahanya sendiri, Ustaz Hj Sulamuddin bin Hj Mansor, pengetua Maahad al Islah, telah mengumpul sokongan guru-guru agama di daerah Sungai Manik bagi membina sekolah Islam baru.

Bermula dengan bangunan wakaf penduduk Sg. Lampam dan masyarakat Islam umumnya di persekitaran Masjid Jame’ Al Mansor Sg. Lampam, sikit demi sedikit maahad ini mempunyai prasarana pendidikan yang lebih sempurna. Bangunan pertama ialah merupakan asrama putera yang diusahakan secara gotong royong oleh penduduk setempat pada tahun 1988. Bangunan kedua merupakan asrama puteri yang siap dibina pada tahun 1990/1991. Kini bangunan ini telah digunakan untuk asrama putera 2.

Sempena kedatangan YM Raja Muda Nazrin Shah Raja Azlan Shah ke Maahad al Islah pada 1990, baginda turut sudi menghulurkan sumbangan kepada usaha membina bangunan sekolah. Turut menyumbangkan ketika itu adalah Yayasan Perak, Kerajaan Negeri Perak dan juga orang-orang perseorangan.

Blok asrama puteri merupakan bangunan terbaru tiga tingkat yang bernilai RM700 ribu mula digunakan pertengahan tahun 2001. Bangunan tersebut adalah hasil sumbangan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia pada 1998 sebanyak RM500 ribu sebagai peruntukan inisiatif sebagai sebuah sekolah yang berpotensi untuk dimajukan pada masa hadapan. Manakala baki perbelanjaan diperolehi daripada pelbagai sumber dan sumbangan orang ramai yang prihatin.

Sehingga kini Maahad al Islah mempunyai prasarana yang lengkap sebagai sebuah sekolah berasrama. Tanpa komitmen daripada semua pihak, adalah suatu kemungkinan yang jauh untuk membina sebuah sekolah agama rakyat yang lengkap.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]