Monumen Alaf Baru
Monumen Alaf Baru atau Tugu Milenium (Millennium Monument) terletak di Presint 2, Putrajaya, Malaysia. Ia merupakan monumen negara yang pertama dibina khas untuk Wilayah Persekutuan Putrajaya. Di bawah tugu ini telah ditanam oleh Tun Dr Mahathir, semasa menjadi Perdana Menteri, kapsul masa yang akan dikeluarkan pada tahun 2020 nanti.
Menara Tugu Milenium ini tingginya 68 m. Jalan naiknya berbentuk pelantar tinjau ala beranda yang dibahagikan kepada 4 pecahan yang bersambung iaitu bagi menggambarkan era Malaysia pra kemerdekaan (sebelum tahun 1957), pasca merdeka (1957-1970), Malaysia kini (1971-2020) dan Malaysia akan datang pada tahun 2020 dan ke atas.
Dilihat dari atas, menara ini seakan-akan membentuk bunga kebangsaan Malaysia iaitu bunga raya yang berwarna emas berkemilauan. Di pelantar tertinggi, pengunjung dapat melihat bangunan berhampiran seperti Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Jambatan Seri Wawasan.
Pada waktu malam menara tugu yang diperbuat dari aluminium ini akan memancarkan cahaya terang ibarat rumah api yang membuatkan ia tampak lebih eksklusif dan indah.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- Buku maklumat pelancongan Putrajaya Intelligent Garden City (English) cetakan 2009, edaran percuma Tourism Malaysia, Kementerian Pelancongan Malaysia.
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Monumen Alaf Baru |