Monumen

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Monumen Nicholas I di Dataran Saint Isaac, Saint Petersburg (Rusia)
Taj Mahal, Agra, antara monumen kebangsaan India yang paling terkenal
Piramid Agung Giza, dibina s. 2600 SM sebagai makam firaun Khufu, salah satu daripada Tujuh Keajaiban Dunia dan simbol tamadun Mesir purba.
Parthenon adalah simbol Yunani Purba, demokrasi Athens dan juga Tamadun Barat.
Perani Koloseum Flavian di Rom, monumen popular Empayar Rom.
Kubah al-Sakhrah, sebuah tempat suci di Bukit Kuil di Kota Lama Baitulmaqdis, menempatkan Batu Asas yang mempunyai kepentingan bagi umat Islam, Kristian dan Yahudi.
Menara Belém ialah monumen yang paling kerap dikunjungi dan paling terkenal di Portugal, terletak di Lisbon.
Kristus Penebus merupakan monumen yang paling banyak dikunjungi di Brazil dan Amerika Selatan.

Monumen ialah sejenis binaan yang dibuat untuk memperingati seseorang atau sesuatu peristiwa, atau yang telah menjadi sebahagian daripada masyarakat bagi mengingati sejarah atau warisan budaya mereka, kerana kepentingan kesenian, sejarah, politik, teknikal atau seni binanya. Antara monumen awal ialah dolmen (kubur berbilik dari zaman prasejarah) atau menhir, yang dua-duanya binaan megalitik yang dibina untuk tujuan agama atau pengebumian.[1] Contoh-contoh monumen ialah patung, tugu peringatan (perang), bangunan bersejarah, tapak arkeologi dan aset budaya. Sekiranya pemeliharaannya penting bagi khalayak awam, sebuah monumen boleh misalnya disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.[2] Ensiklopedia Warisan Budaya dan Konflik Palgrave menakrifkan monumen seperti berikut:

Monumen adalah hasil amalan sosial seperti pembinaan atau pemuliharaan artifak material untuk menzahirkan ideologi mereka. Konsep monumen moden bermula apabila ibu kota dan negara bangsa terbentuk pada abad kelima belas dan kelas pemerintah mula membina dan memulihara binaan-binaan penting. Ia banyak berkembang pada abad ke-19, dengan orang ramai membentuk kepercayaan bahawa pemuliharaannya adalah tugas semua manusia. Abad ke-20 menyaksikan gerakan yang mana monumen-monumen yang dianggap sebagai warisan budaya dalam bentuk peninggalan perlu dipelihara, dan bagi monumen peringatan pula, sesetengah daripadanya kini memfokuskan pada antimonumen abstrak. Kedua-dua jenis monumen sering mengalami konflik kerana ia perlu dipulihara. Ini kerana selepas monumen dibina atau dirasmikan, kerajaan sering harus menangani orang cuba memvandalismekan atau memusnahkannya. Walau bagaimanapun, bukan semua monumen melambangkan kepentingan kerajaan dan kelas pemerintah; mediumnya juga boleh digunakan di luar dunia Barat dan oleh gerakan-gerakan sosial untuk menunjukkan pendapat mereka, serta medium yang dahulunya eksklusif untuk golongan elit Eropah kini digunakan oleh kumpulan sosial baharu atau untuk menghasilkan artifak antimonumental yang mencabar kerajaan dan golongan pemerintah secara langsung. Oleh itu, dalam konflik, bukan monumen yang penting tetapi apa yang berlaku kepada masyarakat yang terlibat dalam pembinaan atau pemusnahannya dan cara mereka saling berinteraksi.[3]

Etimologi[sunting | sunting sumber]

Perkataan "monumen" berasal daripada bahasa Latin "monumentum", daripada perkataan moneo, monere, yang bermaksud 'mengingatkan' atau 'memberi amaran', seakannya membolehkan kita melihat masa lalu dan membayangkan apa yang akan datang pada masa hadapan.[4] Dalam bahasa Inggeris perkataan "monumental" sering digunakan untuk sesuatu yang amat besar atau berkuasa, seperti dalam arca monumental, tetapi juga apa-apa yang dibuat untuk memperingati orang mati, seperti monumen pengebumian atau citra pengebumian yang lain.

Penciptaan dan fungsi[sunting | sunting sumber]

Monumen sudah dihasilkan beribu-ribu tahun, dan ia sering menjadi lambang tamadun-tamadun purba yang paling tahan lama dan terkenal. Pada zaman dahulu, orang daripada budaya yang berbeza membuat makam, dolmen, kuburan, struktur batu, dan kubur besar untuk ahli masyarakat yang kaya dan berkuasa, yang kemudiannya memberikan kita banyak maklumat dan seni tentang budaya tersebut.[5] Apabila masyarakat menjadi semakin teratur dan lebih besar, mereka mula membina monumen yang lebih besar dan sukar dimusnahkan, seperti Piramid Mesir, Parthenon Yunani, Tembok Besar China, Taj Mahal India atau Moai di Pulau Easter , yang telah menjadi simbol tamadun-tamadun mereka. Zaman-zaman kebelakangan ini, struktur-struktur gergasi seperti Patung Liberty dan Menara Eiffel telah menjadi lambang ikonik negara-negara moden. Istilah monumentaliti berkaitan dengan status simbolik dan kewujudan fizikal apa-apa monumen. Dalam konteks ini, ahli sejarah seni Jerman Helmut Scharf menyatakan bahawa, "Sebuah monumen wujud sebagai suatu objek dan juga sebagai simbolnya. Sebagai simbol bahasa, monumen biasanya sesuatu yang konkrit, tetapi jarang juga ia digunakan sebagai metafora. ... Sebuah monumen boleh melambangkan sehimpunan monumen atau hanya satu, tetapi ia juga boleh digunakan dalam berbagai-bagai cara yang berbeza. ... Apa yang dikira sebagai monumen bergantung pada kepentingan yang dikaitkan dengan pengetahuan lazim atau tradisional dalam konteks sejarah dan sosial tertentu."

Jenis[sunting | sunting sumber]

Gerbang Brandenburg di Berlin, simbol kebangsaan dan perpaduan Jerman
Tembok Besar China, sebuah tembok kubu besar yang menjadi monumen tamadun China.

Contoh monumen yang terkenal[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Caves, R. W. (2004). Encyclopedia of the City. Routledge. m/s. 470. ISBN 978-0415252256.
  2. ^ "Preserving Cultural Heritages". wmf.org. World Monument Fund. Dicapai pada 2013-10-23.
  3. ^ Palacios González, Daniel (2020), Saloul, Ihab; Baillie, Britt (penyunting), "Monument", The Palgrave Encyclopedia of Cultural Heritage and Conflict (dalam bahasa Inggeris), Cham: Springer International Publishing: 1–13, doi:10.1007/978-3-030-61493-5_23-1, ISBN 978-3-030-61493-5, dicapai pada 2024-03-08
  4. ^ John Young Cole; Henry Hope Reed (1997). The Library of Congress: The Art and Architecture of the Thomas Jefferson Building. Norton. m/s. 16. ISBN 978-0-393-04563-5.
  5. ^ Patton, Mark (1993) Statements in Stone: Monuments and Society in Neolithic Brittany. Routledge, London, ISBN 0415067294, pp. 1–7