Narada Bhakti Sutras

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Narada Bhakti Sutra

Narada Bhakti Sutra (IAST: Nārada Bhakti Sūtra) ialah sebuah teks terkenal yang disanjungi dalam tradisi agama [[Hindu]], dipercayai telah diberikan oleh seorang Rishi bernama Narada. Teks ini menggariskan proses cinta kepada Tuhan (Bhakti) atau Bhakti yoga. Oleh yang demikian, teks ini menjadi penting dalam gerakan Bhakti terutamanya bagi mazhab Vaishnava dan tradisi Vedanta. Sri Ramakrishna, seorang mistik menyanjung tinggi teks ini bahawa "Jalan yang terbaik untuk bersatu dengan Tuhan ialah dengan mengikuti laluan Cinta Ketuhanan yang diajar oleh Narada."[1]

Terdapat beberapa variasi dalam susunan teks Sanskrit ini. Contohnya, dalam penterjemahan oleh Swami Prabhavananda terdapat lapan puluh empat rangkap yang disusun dalam sembilan bab.[2] Sebaliknya, dalam Bhaktivedanta Book Trust terjemahan oleh A. C. Bhaktivedanta Swami Prabhupada dan pengikutnya,Satsvarupa dasa, lapan puluh empat rangkap disususn dalam lima bab.[3]

Keunikan Teks[sunting | sunting sumber]

Karya ini juga disanjung tinggi kerana gaya bahasanya yang pendek dan mudah difahami. Ini mungkin kerana Narada hanya merekodkan pengalamannya sendiri. Kitab ini tidak memberikan sebarang teori atau falsafah yang rumit, tetapi suatu panduan ringkas untuk membantu orang-orang yang hendak menjalani disiplin rohani.

Narada juga merakamkan pengalaman dan pengaruh guru-guru Bhakti yang lain. Dengan memberikan perbandingan pendapat-pendapat yang berlainan, Narada memberikan kebebasan kepada seseorang untuk memilih jalan yang sesuai untuknya. Ini merupakan satu ciri yang unik kitab ini.  

Menurut Narada, antara semua jalan yang menuju kepada Tuhan, iaitu Bhakti, Karma, Jnana, dan Yoga, jalan yang paling mudah ialah Bhakti.

"Jalan Cinta pada Tuhan" atau Bhakti Yoga dalam bahasa Sanskrit ialah suatu pendekatan melalui cinta untuk menyedari Tuhan. Seorang Bhakta (pencinta Tuhan) berusaha bersungguh-sungguh untuk mencintai Tuhan dan merasakan cinta Tuhan kepadanya. Untuk tujuan ini, dia melakukan Japa atau ucapan nama Tuhan secara berulangkali dan bersembahyang. Dia menumpukan hati dan fikirannya pada sesuatu objek atau rupa Tuhan yang digemarinya. Narada, seperti guru-guru hebat yang lain, yakin bahawa apabila Bhakti seorang Bhakta meningkat, dia akan sedar bahawa sebenarnya Tuhan berada dalam dirinya sendiri. Pada tahap Bhakti yang tertinggi, pemuja dan Tuhan bersatu.

Falsafah Hindu memberikan empat jalan untuk bersatu dengan Tuhan atau menyedari Tuhan: Bhakti Yoga, Karma Yoga, Jnana Yoga dan Raja Yoga.

Karma Yoga ialah pendekatan melalui aktiviti atau kerja-kerja tanpa kepentingan diri. Lazimnya, dalam amalan Karma Yoga, seseorang akan berkhidmat kepada dunia sebagai suatu disiplin kerohanian. Bagi mengikuti jalan ini, seseorang perlu mempunyai kekuatan fizikal, sifat berendah diri, dan kesabaran.  

Jnana Yoga ialah pendekatan intelektual dan membezakan antara kebenaran dan kepalsuan. Semua fenomena fana perlu dianalisasikan secara rasional dan ditolak sehingga Kebenaran atau Tuhan disedari. Seseorang perlu mempunyai daya intelek yang tajam untuk mengikuti Jnana Yoga.

Raja Yoga pula ialah pendekatan melalui amalan meditasi. Seorang yang ingin mengikuti Raja Yoga perlu mempunyai daya tumpuan yang kuat serta kawalan penuh ke atas pancaindera dan badannya.

Maka, Karma Yoga, Jnana Yoga, dan Raja Yoga memerlukan beberapa kualiti dan kebolehan yang perlu dimiliki oleh seseorang yang ingin mengamalkannya. Oleh itu, bukan semua orang boleh atau layak untuk mengikuti ketiga-tiga Yoga ini.

Berbanding tiga Yoga ini, Bhakti Yoga nampaknya, jauh lebih mudah dan lebih menarik. Bukankah ianya lebih mudah untuk menyayangi daripada berfikir, bekerja, atau bermeditasi? Oleh itu, tidak syak lagi bahawa Narada bercakap benar bahawa Bhakti adalah Yoga yang paling mudah.

Namun, kita tidak boleh terpedaya bahawa Bhakti Yoga adalah sesuatu yang senang dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Ya, memang semua orang layak untuk mencintai Tuhan. Jika begitu, kenapa semua orang tidak menyintai Tuhan? Atau adakah benar-benar kita menyintai Tuhan? Bagi menjawab soalan-soalan ini, kita perlu meneliti apakah sebenarnya 'Cinta' yang disebut oleh Narada? Adakah ianya serupa dengan cinta antara dua jantina, sekejap ada, sekejap tidak ada. Adakah ianya cinta yang sering dilanda pelbagai emosi negatif seperti cemburu, marah, mementingkan diri sendiri, dan sebagainya.

Cinta pada Tuhan yang disebut oleh Narada adalah cinta yang tidak mengenal cemburu, pertikaian ego, iri hati, dan ketakutan pengabaian. Ia adalah cinta yang tidak mengenal duka.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Swami Nikhilananda, The Gospel of Sri Ramakrishna
  2. ^ Swami Prabhavananda. Narada's Way of Divine Love (Narada Bhakti Sutras). (Sri Ramakrishna Math: Madras). Provides Sanskrit text translated into English with a commentary by Swami Prabhavananda. ISBN 81-7120-506-2.
  3. ^ Narada Bhakti Sutra Online (complete) Archived June 28, 2006, at the Wayback Machine

Pautan Luar[sunting | sunting sumber]

  • Terjemahan dalam Bahasa Melayu
  • Narada Bhakti Sutra Online translation (complete)(naradabhaktisutra.com)
  • English Translation of Narada Bhakti Sutra (sankaracharya.org)
  • Free translation of Narada Bhakti Sutras by Swami Vivekananda