Penarikan diri daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Penarikan diri dari PBB oleh negara anggota tidak diperuntukkan dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.[1]

Berdasarkan Pejabat Informasi Kerajaan Republik Cina,[2] hal ini bertujuan untuk mengelakkan kuasa ini disalahgunakan oleh negara anggota sebagai pemerasan politik ataupun taktik untuk mengelakkan daripada mematuhi kewajiban yang dinyatakan dalam piagam PBB, contohnya pengeluaran Jepun, Jerman dan Itali daripada Liga Bangsa sebagai tanda penolakkan mereka terhadap kutukan Liga atas tindakan menyerang kawasan lain.

ROC berpendapat demikian sebagai penentangan penyingkirannya dari PBB untuk memberi jalan kepada kemasukan Republik Rakyat China.

Walaupun demikian, dalam undang-undang adat antarabangsa, terdapat prinsip rebus sic stantibus. Berdasarkan prinsip ini, sesebuah negara boleh menarik diri daripada sebuah perjanjian yang tiada peruntukan penarikan diri hanya jika terdapat perubahan besar yang tidak dapat dijangka dalam keadaan tertentu, seperti ketika objek perjanjian itu dipertikaikan atau ketika pelanggaran dilakukan oleh pihak perjanjian.[3][4] Rebus sic stantibus juga ditafsir secara tidak langsung dalam Artikel 61 dan 62 Konvensyen Vienna berkenaan Undang-Undang Triti. Oleh itu, tidak kiralah di bawah undang-undang adat antarabangsa atau Konvensyen Vienna, tidak mungkin sesebuah negara boleh menarik diri secara sepihak dari PBB kecuali ada perubahan mendasar yang berlaku.

Pengeluaran Indonesia[sunting | sunting sumber]

Indonesia merupakan negara anggota pertama yang cuba menarik diri dari PBB. Pada 1 Januari 1965, Indonesia mengumumkan bahawa, disebabkan oleh konfrontasi Indonesia-Malaysia yang sedang berlangsung, ia akan menarik diri daripada PBB jika Malaysia diberikan keahlian dalam Majlis Keselamatan. Tiga minggu kemudian, Indonesia secara rasminya mengesahkan pengeluarannya dalam suratnya kepada Setiausaha Agung, yang hanya memperhatikan keputusan itu dan menyatakan harapannya agar Indonesia akan "memulakan semula kerjasama penuh" dengan organisasi tersebut secepat mungkin. Selepas perampasan kuasa yang berlaku pada tahun itu, Indonesia menghantar telegram kepada Setiausaha Agung dengan mengatakan bahawa negara itu akan "memulakan semula bekerjasama penuh dengan PBB dan [...] meneruskan penyertaannya dalam kegiatan PBB." Memandangkan telegram tersebut menyatakan bahawa Indonesia melihat ketiadaannya daripada PBB sebagai "penghentian kerjasama" dan bukan penarikan diri yang sebenar, Presiden Majlis Umum mencadangkan agar prosedur pentadbiran untuk mengembalikan Indonesia dijalankan dengan kesulitan yang minimum. Disebabkan tiada penentangan daripada negara anggota, Indonesia segera dikembalikan semula tempatnya dalam Majlis Umum. Oleh itu, persoalan yang timbul ekoran kes penarikan pertama daripada PBB ini diselesaikan dengan memperlakukannya seolah-olah sama sekali bukan penarikan.[5]

Cadangan pengeluaran Amerika Syarikat[sunting | sunting sumber]

Terdapat organisasi di Amerika Syarikat telah menyokong pengunduran A.S. daripada PBB, termasuk Persatuan John Birch (John Birch Society) dan Parti Perlembagaan (Constitution Party).

Rang undang-undang yang bertujuan untuk menamatkan keahlian AS dalam PBB pernah diperkenalkan di Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, misalnya Akta Pemulihan Kedaulatan Amerika 2009 (yang diperkenalkan sebagai H.R. 1146 pada 24 Februari 2009 oleh Republikan Ron Paul) dan Akta Pemulihan Kedaulatan Amerika 2017 (H.R. 193, diperkenalkan pada 3 Januari 2017 oleh Republikan Mike Rogers[6]). Cadangan-cadangan seperti itu gagal mendapat sokongan daripada ahli parlimen dengan margin yang besar.

Cadangan Pengeluaran Filipina[sunting | sunting sumber]

Dalam sebuah sidang media yang dianjurkan pada Ogos 2016, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, berasa marah atas kritikan daripada PBB atas pembunuhan di luar undang-undang dalam Perang Dadah Filipina — mengancam untuk menarik Filipina daripada PBB.[7] Duterte berkata, "Mungkin kami terpaksa memutuskan untuk berpisah dengan PBB. Jika kamu, anak perempuan jalang, tidak tahu menghormati, maka saya akan meninggalkan kamu."[7]

Berikutan dengan ributan publisiti antarabangsa, Duterte mengatakan pada keesokan hari bahawa beliau hanya bergurau sahaja mengenai pernyataannya tentang penarikan diri daripada PBB itu.[8] Setiausaha Hal Ehwal Luar Negeri Filipina, Perfecto Yasay Jr. juga menyatakan bahawa "Kami adalah komited terhadap PBB walaupun kami amat kecewa dengan pertubuhan antarabangsa ini."

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Nelson, Tracy (2 March 2017). "Exiting the United Nations: Paths and Potential". Dicapai pada 11 September 2020.
  2. ^ Freedom from Unjust Exclusion Diarkibkan 2012-07-16 di Wayback Machine, Government Information Office, Republic of China (Taiwan), Aug. 31, 2005]
  3. ^ http://www.britannica.com/eb/topic-930525/rebus-sic-stantibus
  4. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-06-04. Dicapai pada 2020-09-12.
  5. ^ United Nations official web site: Growth in United Nations membership, 1945-present
  6. ^ David Edwards (2017-01-22). "Republican lawmakers sponsor bill to 'terminate U.S. membership in the United Nations'". RawStory.
  7. ^ a b "Ancam keluar dari PBB". Harian Metro. 22 August 2016. Dicapai pada 11 September 2020.
  8. ^ "Filipina tidak keluar dari PBB". Astro Awani. 3 May 2019. Dicapai pada 11 September 2020. Setiausaha Kementerian Luar Filipina, Perfecto Yasay Junior memberi jaminan negara itu tidak akan keluar daripada pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).