Pendarrona

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pendarrona busa sabun

Pendarrona, iridesens atau goniokromisme ialah fenomena permukaan tertentu yang kelihatan berubah warna secara beransur-ansur seiring dengan peralihan sudut pandangan atau sudut pencahayaan. Contoh pendarrona termasuk busa sabun, bulu, sayap kupu-kupu dan gewang siput laut, dan mineral seperti permata baiduri. Pendarrona adalah sejenis pewarnaan struktur yang disebabkan oleh interferens (gangguan) gelombang cahaya pada mikrostruktur atau saput nipis.

Perkataan iridesens (bahasa Inggeris: iridescence) berasal daripada gabungan perkataan Yunani ἶρις îris (gen. ἴριδος íridos), bermaksud "pelangi" dan akhiran Latin -escent, yang bermaksud "cenderung ke arah".[1] Iris pula berasal daripada dewi Iris dalam mitos Yunani, yang merupakan personifikasi pelangi dan bertindak sebagai utusan para dewa. Goniokromisme (goniochronism) berasal daripada perkataan Yunani gonia yang bermaksud "sudut", dan chroma yang bermaksud "warna".

Mekanisme[sunting | sunting sumber]

Bahan api di atas air menghasilkan filem nipis, yang mengganggu cahaya, menghasilkan warna yang berbeza. Jalur yang berbeza mewakili ketebalan yang berbeza dalam filem. Fenomena ini dikenali sebagai interferens saput nipis.

Pendarrona merupakan fenomena optik permukaan di mana rona (hue) berubah mengikut sudut cerapan dan sudut pencahayaan.[2][3] Ia sering disebabkan oleh pelbagai pantulan daripada dua atau lebih permukaan lut cahaya di mana anjakan fasa gelombang dan interferens pantulan memodulasikan cahaya sampingan (dengan menguatkan atau melemahkan sesetengah frekuensi daripada yang lain).[2][4] Corak interferens ditentukan oleh ketebalan lapisan bahan. Pendarrona contohnya boleh disebabkan oleh "interferens saput nipis" yang boleh diibaratkan pelemahan jarak gelombang terpilih seperti yang diperlihatkan dengan interferometer Fabry–Pérot [en], dan terdapat dalam saput minyak pada air dan busa sabun. Pendarrona juga terdapat pada tumbuh-tumbuhan, haiwan dan banyak lagi. Julat warna objek pendarrona semula jadi mungkin tidak terlalu lebar, contohnya yang beralih antara dua atau tiga warna apabila sudut pandangan berubah.[5][6]

Biofilem pendarrona pada permukaan tangki ikan membelau cahaya yang terpantul, menghasilkan keseluruhan spektrum warna. Warna merah terlihat dari sudut tuju yang lebih panjang daripada biru.

Pendarrona juga boleh terhasil daripada belauan (difraksi). Ini terdapat pada benda-benda seperti CD, DVD, sesetengah jenis prisma, atau awan.[7] Dalam hal belauan, biasanya seluruh spektrum warna akan terperhati seiring dengan peralihan sudut pandangan. Dalam biologi, pendarrona jenis ini terhasil daripada pembentukan parutan belauan di permukaan, seperti barisan sel yang panjang pada otot berjalur [en], atau sisik perut yang terkhusus pada labah-labah merak Maratus robinsoni dan M. chrysomelas.[8] Sesetengah jenis kelopak bunga juga boleh menghasilkan parutan belauan, tetapi pendarronanya tidak kelihatan kepada manusia mahupun serangga yang menghinggapi bunga kerana isyarat belauan disembunyikan oleh pewarnaan yang berpunca dari pigmen tumbuhan.[9][10][11]

Dalam penggunaan biologi (dan biomimetik), warna-warna yang dihasilkan selain daripada pigmen atau pewarna dipanggil pewarnaan struktur. Mikrostruktur yang selalunya berbilang lapisan, digunakan untuk menghasilkan warna yang cerah tetapi kadangkala tiada pendarrona: perlunya susunan yang agak rumit untuk mengelak pemantulan warna-warna yang berbeza ke arah-arah yang berbeza. [12] Pewarnaan struktur telah difahami secara umum sejak buku Micrographia karya Robert Hooke pada tahun 1665, di mana beliau menyatakan dengan tepat bahawa pigmen bukan satu faktor memandangkan pendarrona pada bulu burung merak hilang apabila dicelup ke dalam air, tetapi muncul semula apabila dikembalikan ke udara. [13] [14] Kemudiannya didapati bahawa pendarrona pada burung merak adalah disebabkan oleh suatu kristal fotonik yang kompleks. [15]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Online Etymology Dictionary". etymonline.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-04-07.
  2. ^ a b Srinivasarao, Mohan (July 1999). "Nano-Optics in the Biological World: Beetles, Butterflies, Birds, and Moths". Chemical Reviews. 99 (7): 1935–1962. doi:10.1021/cr970080y. PMID 11849015.
  3. ^ Kinoshita, S; Yoshioka, S; Miyazaki, J (1 July 2008). "Physics of structural colors". Reports on Progress in Physics. 71 (7): 076401. Bibcode:2008RPPh...71g6401K. doi:10.1088/0034-4885/71/7/076401.
  4. ^ Meadows, Melissa G; Butler, Michael W; Morehouse, Nathan I; Taylor, Lisa A; Toomey, Matthew B; McGraw, Kevin J; Rutowski, Ronald L (23 February 2009). "Iridescence: views from many angles". Journal of the Royal Society Interface. 6 (suppl_2): S107-13. doi:10.1098/rsif.2009.0013.focus. PMC 2706472. PMID 19336343.
  5. ^ Yoshioka, S.; Matsuhana, B.; Tanaka, S.; Inouye, Y.; Oshima, N.; Kinoshita, S. (16 June 2010). "Mechanism of variable structural colour in the neon tetra: quantitative evaluation of the Venetian blind model". Journal of the Royal Society Interface. 8 (54): 56–66. doi:10.1098/rsif.2010.0253. PMC 3024824. PMID 20554565.
  6. ^ Rutowski, R.L; Macedonia, J.M; Morehouse, N; Taylor-Taft, L (2 September 2005). "Pterin pigments amplify iridescent ultraviolet signal in males of the orange sulphur butterfly". Proceedings of the Royal Society B: Biological Sciences. 272 (1578): 2329–2335. doi:10.1098/rspb.2005.3216. PMC 1560183. PMID 16191648.
  7. ^ Ackerman, Steven A.; Knox, John A. (2013). Meteorology: Understanding the Atmosphere. Jones & Bartlett Learning. m/s. 173–175. ISBN 978-1-284-03080-8.
  8. ^ Hsiung, Bor-Kai; Siddique, Radwanul Hasan; Stavenga, Doekele G.; Otto, Jürgen C.; Allen, Michael C.; Liu, Ying; Lu, Yong-Feng; Deheyn, Dimitri D.; Shawkey, Matthew D. (22 December 2017). "Rainbow peacock spiders inspire miniature super-iridescent optics". Nature Communications. 8 (1): 2278. Bibcode:2017NatCo...8.2278H. doi:10.1038/s41467-017-02451-x. PMC 5741626. PMID 29273708.
  9. ^ Lee, David (2007). Nature's Palette: The Science of Plant Color. University of Chicago Press. ISBN 978-0-226-47052-8.[halaman diperlukan]
  10. ^ van der Kooi, Casper J.; Wilts, Bodo D.; Leertouwer, Hein L.; Staal, Marten; Elzenga, J. Theo M.; Stavenga, Doekele G. (July 2014). "Iridescent flowers? Contribution of surface structures to optical signaling" (PDF). New Phytologist. 203 (2): 667–673. doi:10.1111/nph.12808. PMID 24713039.
  11. ^ van der Kooi, Casper J.; Dyer, Adrian G.; Stavenga, Doekele G. (January 2015). "Is floral iridescence a biologically relevant cue in plant-pollinator signaling?". New Phytologist. 205 (1): 18–20. doi:10.1111/nph.13066. PMID 25243861.
  12. ^ Hsiung, Bor-Kai; Siddique, Radwanul Hasan; Jiang, Lijia; Liu, Ying; Lu, Yongfeng; Shawkey, Matthew D.; Blackledge, Todd A. (January 2017). "Tarantula-Inspired Noniridescent Photonics with Long-Range Order". Advanced Optical Materials. 5 (2): 1600599. doi:10.1002/adom.201600599.
  13. ^ Hooke, Robert. Micrographia. Chapter 36 ('Observ. XXXVI. Of Peacoks, Ducks, and Other Feathers of Changeable Colours.')
  14. ^ Ball, Philip (17 April 2012). "Nature's Color Tricks". Scientific American. 306 (5): 74–79. Bibcode:2012SciAm.306e..74B. doi:10.1038/scientificamerican0512-74. PMID 22550931.
  15. ^ Zi, Jian; Yu, Xindi; Li, Yizhou; Hu, Xinhua; Xu, Chun; Wang, Xingjun; Liu, Xiaohan; Fu, Rongtang (28 October 2003). "Coloration strategies in peacock feathers". Proceedings of the National Academy of Sciences of the United States of America. 100 (22): 12576–12578. Bibcode:2003PNAS..10012576Z. doi:10.1073/pnas.2133313100. PMC 240659. PMID 14557541.