Penjara Changi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Bangunan utama penjara Changi (dibina tahun 2000)

Kompleks Penjara Changi (Cina: 樟宜监狱, Bahasa Tamil: சாங்கி சிறைச்சாலை, Bahasa Inggeris: Changi Prison) ataupun ringkasnya dikenali sebagai Penjara Changi merupakan sebuah penjara terletak di Changi di bahagian timur Singapura.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Binaan pertama dan sebagai kem tawanan perang[sunting | sunting sumber]

Tawanan perang Berikat setelah pembebasan Penjara Changi, Singapura – sekitar tahun 1945

Penjara ini asalnya dibina oleh pentadbiran negeri-negeri Selat sebagai tempat penahanan warga awam pada tahun 1936.

Semasa Perang Dunia Kedua berikutan Pertempuran Singapura pada bulan Februari 1942, pihak Jepun menahan sekitar 3000 orang awam dalam penjara ini yang dibina untuk menampung hanya 600 tahanan. Pihak Jepun menggunakan berek Selarang milik Tentera British sebagai tempat penahanan tawanan perang yang termasuk kira-kira 50,000 askar Berikat, kebanyakannya dari Britain dan Australia serta askar Belanda yang dibawa dari pulau-pulau Hindia Timur Belanda (kini Indonesia).[1] Tawanan perang jarang ditahan di dalam penjara orang awam, namun nama Changi menjadi begitu disinonimkan dengan kem tahanan tersebut dalam kalangan warga UK, Australia, Belanda dan negara-negara lain.

Sebanyak kira-kira 850 orang tawanan perang meninggal dunia ketika ditahan sewaktu pendudukan Jepun di Singapura,[2] iaitu kadar yang rendah berbanding kepada keseluruhan kadar kematian 27% untuk tawanan perang di kem-kem Jepun.[3] Bagaimanapun, lebih banyak tawanan perang meninggal setelah dipindahkan dari Changi ke pelbagai kem buruh paksa di luar Singapura, termasuk di Burma dan Sandakan.

Perobohan[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2000, penjara lama Changi dirobohkan dan para penghuninya dipindahkan ke suatu kompleks penjara di suatu tapak yang berdekatan. Penguasa Pemeliharaan Monumen bekerja sama dengan Perkhidmatan Penjara Singapura dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar untuk membenarkan pemeliharaan dan pemindahan pintu depan ke kompleks penjara baru tersebut. Pada tahun 1994, Penjara Wanita Changi dan Pusat Pemulihan Dadah dibuka.

Keadaan semasa[sunting | sunting sumber]

Penjara baru ini kini menjadi tempat penahanan penjenayah yang paling berbahaya di Singapura, termasuklah mereka yang menjalani hukuman tempoh panjang serta mereka yang telah dihukum mati. Ia berfungsi sebagai tempat penahanan banduan hukuman gantung di Changi sebelum mereka menjalani hukuman mereka pada pagi hari Jumaat.

Pada 15 Februari 2016, binaan penjara asal yang masih ada iaitu pintu masuk, dinding dan menara telah ditetapkan sebagai monumen negara Singapura ke-72.[4][5]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Changi Heritage: Changi and the War". Habitatnews.nus.edu.sg. Dicapai 3 December 2016. 
  2. ^ "Journal of the Australian War Memorial | Australian War Memorial". Awm.gov.au. Dicapai 3 Disember 2016. 
  3. ^ "Military History Online". Military History Online. Dicapai 3 Disember 2016. 
  4. ^ "NHB gazettes Changi Prison entrance gate, wall, turrets as National Monument". Channel NewsAsia. Dicapai 3 Disember 2016. 
  5. ^ "Archived copy". Diarkibkan daripada asal pada 22 Februari 2016. Dicapai 15 Februari 2016. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]