Pensindiketan penyiaran

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Dalam bidang penyiaran, pensindiketan bermaksud penjualan hak penyiaran rancangan radio dan rancangan televisyen kepada berbilang stesen individu tanpa memerlukan kebenaran rangkaian penyiaran. Amalan pensindiketan ini sering dilakukan di sesetengah negara di mana jadual siaran TV diselaraskan untuk waktu-waktu tertentu oleh rangkaian TV yang dianggotai stesen-stesen sekutu setempat yang juga mengamalkan jadual sendiri di waktu-waktu lain, khususnya di Amerika Syarikat dan Jepun. Di negara lain pula, rangkaian televisyen adalah terpusat tanpa stesen sekutu setempat yang mengamalkan jadual tersendiri, maka pensindiketan sedemikian tidak diamalkan, selain rancangan yang boleh disindiketkan ke luar negara.

Am[sunting | sunting sumber]

Terdapat beberapa jenis pensindiketan rancangan:

  • Pensindiketan tayangan pertama ialah penyiaran sesebuah rancangan buat kali pertama sebagai bahan bersindiket (bukan dalam kawalan mana-mana rangkaian tertentu), sekurang-kurangnya dalam sesebuah negara (rancangan yang asalnya diterbit dan disiarkan di rangkaian negara asalnya, biasanya disindiketkan ke negara-negara lain);
  • Pensindiketan luar rangkaian adalah mengulang tayang atau menyambung sesebuah rancangan yang mula-mulanya disiarkan dalam rangkaian televisyen atau disindeketkan untuk tayangan pertama;
  • Pensindiketan penyiaran awam timbul di Amerika Syarikat dalam bentuk perkhidmatan selari kepada stesen-stesen naungan PBS dan sebilangan kecil stesen bebas.

Apabila mensindiketkan sesebuah rancangan, syarikat penerbit, pengedar atau "pensindiket", biasanya cuba menjual rancangannya kepada sebuah stesen di setiap pasaran media atau kawasan yang disasarkan di dalam dan luar negara. Sekiranya berjaya, memang menguntungkan; tetapi pihak sindiket mungkin hanya mampu menjual rancangannya kepada sebahagian kecil pasaran-pasarannya.

Penjualan secara bersindiket adalah berbeza penjualan rancangan kepada rangkaian penyiaran; sebaik sahaja diambil oleh rangkaian, sepastinya rancangan itu disiarkan oleh kebanyakan besar atau semua sekali stesen sekutu rangkaian berkenaan, pada waktu yang sama dan hari dalam minggu yang sama (dalam lingkungan sesebuah zon waktu).

Sesebuah rancangan bersindiket dijual kepada stesen untuk meraih "tunai" (hak penyiaran dibayar oleh stesen untuk memasukkan iklan untuk pendapatan sendiri); diberi kepada stesen untuk mendapatkan waktu siaran secara "barter" (iaitu pihak pensindiket meraih pendapatan iklan); atau kedua-duanya sekali.

Biarpun penembusan sangat berbeza-beza dari pasaran ke pasaran dan hasil pendapatan sukar ditentukan dengan setepatnya, namun pihak penerbit rancangan sedemikian selalunya lebih bebas menentukan kandungan kerana tiadanya peraturan rangkaian. Selalunya, rancangan yang menampilkan idea yang inovatif disindiketkan untuk tayangan pertama, memandangkan pihak rangkaian keberatan untuk menyiarkan rancangan sebegini. Pada masa yang sama, rancangan bersindiket yang paling tinggi ratingnya di Amerika Syarikat biasanya mencapai 98% pasaran domestik.

Selalunya, rancangan TV yang disiarkan secara pensindiketan mengalami potongan atas pelbagai sebab. Contohnya, sebuah sitkom AS biasanya disediakan berpanjang 22 minit, tetapi selepas disindiketkan mungkin terpaksa dipotong dua minit untuk membuka lebih ruang untuk iklan.

Pensindiketan tayangan pertama[sunting | sunting sumber]

Di Amerika Syarikat, rancangan temu bual The Oprah Winfrey Show merupakan contoh rancangan bersindiket yang terkenal sekali. Rancangan tersohor ini diterbitkan oleh Harpo Productions, syarikat milik Oprah Winfrey sendiri, dan diedarkan oleh CBS Television Distribution ke 215 buah stesen di seluruh Amerika Syarikat[1], di samping dieksport ke 147 buah negara di dunia. Sebagai contoh bagaimana sesebuah rancangan boleh disiarkan tanpa mengira naungan rangkaian, Oprah disiarkan oleh WABC-TV (stesen milik rangkaian ABC) di Bandar Raya New York, KHOU-TV (sekutu rangkaian CBS) di Houston, Texas, dan KSDK (sekutu rangkaian NBC) di St. Louis, Missouri.

Pensindiketan luar rangkaian[sunting | sunting sumber]

Pendekatan ini diambil terhadap rancangan yang mendapat sambutan di bawah jangkaan ketika disiarkan melalui rangkaian dahulu. Contohnya ialah rancangan TV Star Trek yang mula-mulanya disiarkan oleh rangkaian NBC selama tiga musim mulai tahun 1966 hingga 1969, sayangnya mencatat ratings yang suam kuku dan sentiasa diancam pengguguran di tengah jalan sepanjang ketiga-tiga musim, tetapi mujurlah setelah dipindahkan ke saluran sindiket, akhirnya Star Trek mendapat sambutan yang amat hangat dan menjadi ikutan ramai pada 1970-an.

Pendekatan ini juga diambil bagi rancangan yang disiarkan oleh rangkaian yang tidak menikmati liputan seluruh negara. Contohnya TXN ialah rangkaian TV swasta yang terkecil di Jepun dan hanya dianggotai enam stesen tempatan yang meliputi 13 wilayah, iaitu TV Tokyo (liputan di Tokyo, Kanagawa, Saitama, Chiba, Gunma, Ibaraki, dan Tochigi); TV Osaka (Osaka); TV Aichi (Aichi); TVQ (Fukuoka); TV Hokkaido (Hokkaido); dan TV Setouchi (Kagawa dan Okayama). Siri anime terbitan TV Tokyo seperti Pokémon dan Naruto pasti disiarkan oleh sekutu-sekutunya di wilayah liputan masing-masing dalam rangkaian TXN, tetapi di wilayah yang tiada stesen TXN pula, siri-siri anime tersebut dijual secara sindiket baik ke stesen sekutu rangkaian lain mahupun bebas. Misalnya, di wilayah Iwate, Pokémon diedarkan ke Iwate Menkoi Television (sekutu FNS) dan Naruto pula ke Iwate Broadcasting Company (sekutu JNN). Menariknya, tidak semestinya semua penyiar di seluruh Jepun menayangkan sesebuah rancangan secara serentak sesama sendiri ataupun dengan sekutu di Tokyo. Di Iwate lagi, Naruto disiarkan pada 6.15 pagi Ahad, tiga hari selepas TV Tokyo menyiarkannya pada 7.30 petang Khamis.

Pensindiketan ke luar negara juga dikira sebagai pensindiketan luar rangkaian, asalkan bukan diedarkan oleh pihak rangkaian ke stesen-stesen naungannya di negara luar, baik siaran percuma mahupun berbayar. Contohnya, saluran Disney Channel di Asia Tenggara memperoleh kartun-kartun yang diterbitkan oleh Walt Disney Television melalui edaran rangkaian yang juga disalurkan kepada Disney Channel di rantau lain, tetapi juga membeli kartun bukan berjenama Disney secara sindiket untuk tontonan rantau Asia Tenggara tanpa melalui rangkaian Disney, padahal kartun-kartun bukan Disney tersebut ditayangkan oleh saluran pesaingnya (Nickelodeon, Cartoon Network) di rantau lain.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. "Lisa Niemi's First One-on-One Interview Since Patrick Swayze's Death", Oprah, 27 Oktober 2009. Dicapai pada 1 November 2009. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]