Perang Jawa (1741–1743)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Perang Jawa 1741-1743 (juga dikenali sebagai Perang Cina) merupakan konflik bersenjata gabungan Cina dan Jawa menentang Belanda. Pertempuran berlaku di Jawa Tengah dan Timur. Belanda telah memenangi perang ini dan menyaksikan kejatuhan Kesultanan Mataram, dan berdirinya Kasunanan Surakarta dan Kesultanan Yogyakarta.

Selepas Belanda membunuh beramai-ramai lebih kurang 10,000 orang masyarakat Cina Indonesia di Batavia (kini, Jakarta), mereka yang terselamat telah berpindah ke Semarang dan diketuai oleh Khe Pandjang. Walaupun telah diingatkan mengenai pemberontakan akan berlaku, ketua tentera Syarikat Hindia Timur Belanda, Bartholomeus Visscher telah bertindak mengabaikannya. Segala persiapan ketenteraan tidak dipersiapkan. Akibatnya Sunan Mutaram, Pakubuwana II bertindak menyokong masyarakat Cina disamping berpura-pura membantu Belanda.

Setelah korban pertama berlaku pada 1 Februari 1741 di Pati, pemberontakan masyarakat Cina tersebar ke seluruh Jawa tengah. Pemberontakan ini dibantu oleh masyarakat Jawa sementera berpura-pura bertempur melawan masyarakat Cina agar mereka dapat memperdayakan Belanda yang menyangka masyarakat Jawa berada di pihak mereka. Penipuan semakin jelas dan pemberontak Cina bergerak semakin hampir ke Semarang. Visscher pula menjadi semakin tidak keruan. Selepas menawan Rembang, Tanjung, dan Jepara, tentera Cina dan Jawa berjaya mengepung Semarang pada Jun 1741. Hal ini menyebabkan Visscher mengarahkan agar kesemua orang Cina dihapuskan. Putera Cakraningrat IV dari Madura menawarkan bantuan, dan dari Madura ke arah barat mereka membunuh semua orang Cina yang ditemui dan memadamkan pemberontakan di Jawa Timur.

Pada akhir 1741, pengepungan Semarang berjaya dipatahkan apabila tentera Pakubuwono II melarikan diri setelah menyedari kekuatan senjata yang dimiliki oleh tentera Belanda. Kempen ketenteraan Belanda sepanjang tahun 1742 memaksa Pakubuwono II menyerah diri, namun terdapat Putera Jawa masih mahu meneruskan perang. Pada 6 April, sepupu Pakubuwono II, Raden Mas Garendi dipilih menggantikan Pakubuwono II dan sekaligus menjadi Sultan.

Selepas Belanda berjaya menawan semula kota-kota di pantai utara Jawa, para pemberontak telah menyerang ibu kota Pakubuwono II di Kartosuro, dan memaksa Baginda melarikan diri bersama keluarganya. Cakraningrat IV merebut kembali kota tersebut pada Disember 1742, dan pada awal 1743, pemberontak Cina terakhir menyerah diri. Selepas perang tersebut, Belanda menguatkan penguasaannya di Jawa melalui perjanjian bersama Pakubuwono II.