Perbincangan pengguna:Idzuafi

Kandungan laman tidak disokong dalam bahasa lain.
Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Pada 9 Mei 2018, kerajaan baru Pakatan Harapan telah berjaya membentuk kerajaan setelah mendapat majoriti mudah dengan mendapat 113 kerusi berbanding parti Barisan Nasional yang hanya mendapat 79 undi ketika itu di dalam Pilihan Raya Umum ke-14. Pakatan parti-parti politik di dalam kerajaan Pakatan Harapan yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) telah membentangkan manifesto Pakatan Harapan sebelum menghadapi Pilihan raya Umum ke-14 di antara lain adalah berhubung dengan Janji 16 Mengembalikan Wibawa Institusi Parlimen. [1]

Parlimen sebagai salah sebuah cabang kerajaan yang telah berusia 60 tahun di Malaysia diberi perhatian untuk ditambah baik selari dengan amalan terbaik demokrasi berparlimen di negara luar. Parlimen di Malaysia mempunyai sejarah perkembangan yang panjang. Ini dapat dilihat berasaskan susur galur sejarah badan perundangan ini sebagai sebuah institusi badan perundangan yang diilhamkan oleh penjajah British untuk membuat undang-undang yang dikenali dengan nama Federal Council pada tahun 1909, ditambah baik pada tahun 1927 seterusnya menjadi Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan pada tahun 1948 sehinggalah negara mencapai kemerdekaan dan berlangsungnya Mesyuarat Pertama, Parlimen Pertama pada tanggal 11 September 1959.[2]

Kedudukan Parlimen di dalam Sistem Demokrasi Berparlimen di Malaysia

Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen secara bicameral (dua dewan) yang terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Suruhanjaya Perlembagaan Reid di awal penubuhannya pada tahun 1956 ketika diminta untuk merangka Perlembagaan Persekutuan secara jelas telah diberikan panduan untuk ‘to make recommendations for a federal form of constitution for the country as a single, independent, self-govrning unit within the Commonwealth based on Parliamentary dempocracy with a bicameral legislature’.[3]

Sejak itu, Perlembagaan Persekutuan telah mengkanunkan di dalam Perkara 44 yang berbunyi “Kuasa perundangan Persekutuan hendaklah terletak hak pada Parlimen yang hendaklah terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang dikenali sebagai Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Manakala di dalam Perkara 45 dan 46, Perlembagaan Persekutuan menyentuh berhubung dengan keanggotaan di dalam Dewan Negara dan Dewan Rakyat.[4]

Bagi memastikan perbincangan dan proses pembuatan undang-undang di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara dapat dijalankan dengan tertib, kedua-dua Dewan di jaga oleh Yang di-Pertua dan Timbalan-timbalan Yang di-Pertua di Dewan Rakyat dan di Dewan Negara. Kedudukan kedua-dua sosok tubuh ini dikanunkan di dalam Perkara 56 dan Perkara 57, Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa yang sama juga, Perlembagaan Persekutuan menjamin kedudukan istimewa institusi Parlimen melalui Perkara 62 dan Perkara 63, Perlembagaan Persekutuan dengan memberikan keistimewaan kepada institusi Parlimen dan ahli-ahli Parlimen. Peruntukan di dalam Perlembagaan ini memberikan institusi Parlimen boleh dikawal selia melalui undang-undangnya tersendiri; Peraturan-peraturan Mesyuarat dan sebarang tindakan melibatkan tatacara di dalam Parlimen tidak boleh dicabar di Mahkamah.

Usaha Reformasi Parlimen di Malaysia

Usaha Reformasi Parlimen Malaysia bukanlah usaha yang baru malahan idea untuk memodenkan dan menambah baik Parlimen telah dilontarkan sama ada daripada pembangkang, badan bukan kerajaan mahu pun kerajaan sendiri supaya Parlimen Malaysia menjadi badan perundangan dan tempat perbincangan yang berkesan sepertimana badan perundangan lain di negara-negara maju khususnya United Kingdom, Australia dan sebagainya.

Seawal tahun 1980, Yang Berhormat Lim Kit Siang telah membangkitkan idea agar sebuah Persidangan Speaker Mengenai Reformasi Parlimen diusahakan di dalam Dewan Rakyat. Hal yang dibangkitkan beliau ketika itu agar Parlimen melihat dan menambah baik amalan di Parlimen dengan menambah baik juga pengawalan terhadap Eksekutif oleh Parlimen. Walau bagaimana pun, usul ini telah dibahaskan dan gagal untuk diterima ahli-ahli Dewan ketika itu.[5]

Hanya pada 2015 apabila idea Pelan Transformasi Parlimen digagaskan Yang di-Pertua Dewan Rakyat sendiri ketika itu, Yang Berhormat Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar_Amin_Muliapada 19 Mei 2015 barulah kerajaan memandang serius idea untuk mengtransformasikan Parlimen. Idea Transformasi Parlimen ketika itu mempunyai empat asas penting merangkumi penambah baikan kepada pertanyaan lisan Menteri, kewujudan Dewan Kedua, penubuhan jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Dewan dan kewujudan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.https://www.bharian.com.my/node/113182

Idea Transformasi Parlimen ini telah dijalankan dengan dua fasa. Fasa pertama melibatkan pindaan-pindaan yang perlu dilakukan terhadap Peraturan-peraturan Mesyuarat melalui Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat. Ini termasuklah pindaan-pindaan yang melibatkan proses memasukkan klausa Pertanyaan Lisan kepada Menteri, pembentukan Kamar Khas, dan pembentukan Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Dewan.

Manakala fasa kedua pula adalah melibatkan kewujudan semula Akta Perkhidmatan Parlimen yang telah dimansuhkan pada tahun 1992 dengan memperkenalkan Akta Perkhidmatan Parlimen yang baharu. Akta Perkhidmatan Parlimen Malaysia yang baru nanti ini, akan mengasingkan kakitangan Parlimen Malaysia daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan akan menjadi perkhidmatan institusi Parlimen yang berkecuali daripada badan eksekutif, sepertimana negara-negara Komanwel yang lain.

Tiga cadangan Transformasi Parlimen ini telah disokong Jemaah Menteri pada 20 Januari 2016. Antaranya termasuklah mengurangkan tempoh notis pertanyaan jawab lisan daripada 14 hari kepada 10 hari dan tiga pertanyaan daripada sepuluh pertanyaan itu boleh dikemukakan semasa persidangan dewan berlangsung.

Kedua adalah mewujudkan Kamar Khas (Special Chamber) bagi urusan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 17 (ucapan penangguhan) dan Peraturan Mesyuarat 18 (perkara tertentu berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendak disegerakan) dan ketiga adalah berhubung dengan Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri (Minister’s Question Time) diadakan selama 30 minit (10.00 pagi sehingga 10.30pagi) pada setiap hari Selasa dan Khamis bagi memberi ruang kepada ahli Parlimen mengemukakan pertanyaan berhubung isu-isu terkini (Penyata Rasmi, 2016) .

Kamar Khas secara rasminya telah berfungsi pada 16 Mei 2016 setelah Penyata Jawatankuasa Peraturan-peraturan Mesyuarat, Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (D.R. 2/2016) diluluskan pada 7 April 2016. Terdapat sembilan cadangan pindaan yang dilakukan kepada peraturan mesyuarat iaitu Peraturan Mesyuarat 13, 14, 16, 17, 18, 22, 24, Peraturan Mesyuarat baru 14A dan Peraturan Mesyuarat baru 24A, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bagi membolehkan Kamar Khas dan Pertanyaan Lisan Menteri dapat berjalan secara sah di bawah peruntukan undang-undang.

Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri (Minister’s Question Time) telah berjalan secara rasmi pada 18 Oktober 2016. Pertanyaan pertama semasa Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri ini telah dijawab Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Tujuan utama diwujudkan Waktu Pertanyaan Menteri ini adalah bagi memberi ruang kepada ahli Parlimen mengemukakan pertanyaan berhubung isu-isu terkini dan relevan semasa Parlimen bersidang berhubung dengan sesuatu perkara penting di bawah bidang kuasa Menteri terbabit.

Pada tahun 2016, Jawatankuasa Dewan juga bersetuju agar Akta Perkhidmatan Parlimen diwujudkan kembali selari dengan amalan Parlimen di negara luar yang turut sama mempunyai kakitangan Parlimen yang tersendiri dan terasing daripada badan Eksekutif. Namun begitu, kewujudan kembali Akta Perkhidmatan Parlimen ini telah tertangguh hinggalah Pilihan Raya Umum ke-14 di adakan pada bulan Mei 2018 yang lalu.

Reformasi Parlimen selepas Pilihanraya Umum ke-14

1. Penubuhan sistem Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang bebas dari badan Eksekutif.

Sistem Jawatankuasa Pilihan Parlimen adalah ciri penting bagaimana institusi Parlimen dapat berperanan di dalam menyemak dan memeriksa badan Eksekutif. Peranan semak dan imbang terhadap setiap kementerian dan agensi kerajaan dapat dilaksanakan dengan memeriksa dan menambah baik dasar-dasar kerajaan, memberi pertimbangan terhadap rang undang-undang sebelum dibentang ke dalam Dewan, memastikan perbelanjaan yang digunakan dibuat mengikut tatacara yang betul dan telus serta sebagainya.

Amalan rentas parti dan membenarkan perbincangan dan memanggil orang awam (individu, ahli akademik atau masyarakat madani) akan membantu dasar kerajaan ini ditambah baik.

Pindaan peraturan mesyuarat bagi memberikan kebenaran sistem Jawatankuasa Pilihan di Parlimen untuk disiar secara langsung perlu dilaksanakan. Ini selari dengan urus tadbir yang baik dan prinsip governans yang menjadi asas penting kepada sistem jawatankuasa pilihan.

2. Mewujudkan Akta Perkhidmatan Parlimen

Pemansuhan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 pada tahun 1992 merupakan salah satu manifestasi institusi Parlimen telah kehilangan kebebasan dan autonominya.

Akta Perkhidmatan Parlimen membolehkan institusi Parlimen dapat mengurus dan mentadbir institusinya tanpa dikongkong badan Eksekutif. Dengan adanya Akta Perkhidmatan Parlimen, institusi Parlimen dijamin autonomi dan kebebasannya melalui kakitangan pentadbirannnya dan dana kewangannya sendiri.

Prinsip penting di dalam amalan pentadbiran dan kewangan institusi Parlimen ini akan membolehkan Parlimen Malaysia mempunyai prinsip yang sama dan selari dengan saranan melalui Commonwealth Parliamentary Association Recommended Benchmark malahan Akta Perkhidmatan Parlimen Australia 1999 khususnya mengariskan kedudukan kakitangan Parlimen secara terang sebagai bukan sebahagian dari kakitangan Eksekutif. Collaborative model dengan kerjasama badan Eksekutif di dalam mendanai kewangan institusi Parlimen yang diguna pakai di pelbagai negara di dunia adalah mekanisme penting untuk menambah baik struktur kewangan institusi Parlimen di Malaysia.

3. Mengiktiraf dan Menginstitusikan Peranan Pembangkang

Peranan pembangkang sebagai sebuah entiti di dalam sebuah pemerintahan demokrasi berparlimen haruslah diiktiraf kerajaan. Hak untuk di dengar suara mereka dan diiktiraf kedudukan mereka adalah ciri penting sebuah kerajaan berparlimen (Hickling, 1997).

Pembangkang di dalam sesebuah kerajaan bertanggungjawab memainkan peranan menegur dan memberikan dasar alternatif kepada kerajaan. Justeru, peranan pembangkang dapat ditambah baik dengan Ketua Pembangkang diberikan status sewajarnya setaraf Menteri, diberikan peruntukan yang sama sebagai Ahli Parlimen, diberikan sistem sokongan melalui penyediaan kakitangan di bahagian Gubalan untuk menyokong peranan mereka membuat Rang undang-undang Persendirian dan sebagainya.

Bagi memastikan pembangkang dapat mengemukakan hujah dengan fakta yang tepat di dalam Parlimen, akses kepada maklumat kerajaan harus diberikan kepada mereka. Sebahagian ahli-ahli Parlimen ini percaya rakyat mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat dan dengan adanya Akta Kebebasan Maklumat ini sepertimana di negeri Selangor dan Pulau Pinang, ia akan menjurus kerajaan menjadi lebih telus dan bertanggung jawab (Deborah Loh, 2011).

4. Pindaan Peraturan Mesyuarat Dewan di dalam Parlimen

Pindaan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang relevan perlu dibuat oleh Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat bagi melengkapkan reformasi parlimen. Penubuhan sebuah Jawatankuasa Kecil yang berfungsi untuk menyelaras pindaan-pindaan ini dengan melibatkan partisipasi bidang kepakaran ahli-ahli akademik di universiti bagi memberikan buah fikiran yang sesuai boleh diwujudkan bagi memastikan Peraturan Mesyuarat benar-benar dipinda selari dengan peredaran zaman.

Walau pun Peraturan Mesyuarat sering dipinda namun penambah baikan khususnya yang melibatkan reformasi parlimen sepertimana menginstitusikan sistem jawatankuasa pilihan sedia ada, kedudukan Ketua Pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dan sebagainya adalah antara contoh keperluan yang memerlukan pindaan di dalam Peraturan Mesyuarat.

5. Institusi Penyelidikan Parlimen Malaysia

Bagi memastikan ahli-ahli Parlimen dapat menjalankan tanggungjawabnya di dalam Dewan maka penyelidikan parlimen yang bersifat non partisan dan bebas perlu diwujudkan bagi membantu ahli-ahli Prlimen dapat menjalankan tugas di dalam Parlimen dengan berkesan.

Pada ketika ini,. Parlimen Malaysia mempunyai seramai 15 orang penyelidik sejak kewujudannya pada tahun 2005, proses menjenamakan semula Bahagian Penyelidikan Parlimen ini boleh dilaksanakan di bawah reformasi Parlimen. Idea Institusi Penyelidikan Parlimen Malaysia seperti mana Congressional Research Services di Amerika Syarikat boleh menjadi penanda aras dengan jumlah kakitangan penyelidikan di Parlimen di tambah berasaskan ratio yang sesuai dan di danai dengan dana yang mencukupi untuk melonjakkan penyelidikan di Parlimen.

6. Merakyatkan institusi Parlimen

Parlimen adalah institusi rakyat. Ahli-ahli Parlimen yang dipilih setiap lima tahun sekali mewakili kepentingan rakyat di kawasannya. Bahkan, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat madani juga mempunyai peranan dan tanggungjawab bagi membantu ahli-ahli Parlimen.

Justeru, sewajarnya penubuhan All Political Parties Parliamentary Group (APPG) di alu-alukan agar ahli-ahli Parlimen dapat berinteraksi dengan individu, badan bukan kerajaan tertentu dan sebagainya bagi percambahan idea dan dibantu bagi menjalankan kerja mereka sebagai wakil rakyat.

Pada masa yang sama, penubuhan Bahagian Pendidikan Politik dan Demokrasi bagi memberikan pencerahan kepada rakyat berhubung dengan amalan demokrasi berparlimen kepada kanak-kanak, remaja dan pelajar universiti harus dipertingkatkan.

Pendidikan politik dan demokrasi ala millenial melalui mobile apps, permainan alam maya, youtube dan sebagainya boleh diusahakan bagi memastikan rakyat celik politik. Dengan hal demikian ia akan menjadikan Parlimen benar-benar berfungsi sebagai institusi rakyat.

  1. ^ https://kempen.s3.amazonaws.com/pdf/Buku_Harapan.pdf
  2. ^ Penyata Rasmi Dewan Rakyat bertarikh 12 September 1959, https://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DR-12091959.pdf
  3. ^ Laporan Suruhanjaya Perlembagaan Reid, di muka surat 5, http://www.catholiclawyersmalaysia.org/sites/default/files/Reid%20Commission%20Report%201957.pdf
  4. ^ Perkara 44, Perlembagaan Persekutuan,
  5. ^ Penyata Rasmi Parlimen Dewan Rakyat 1980