Pereputan politik

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Pereputan politik ialah teori politik, pada asalnya diterangkan Samuel P. Huntington,[1] yang menerangkan bagaimana huru-hara dan kekecohan boleh timbul daripada pemodenan sosial lebih pantas daripada pemodenan politik dan institusi. Huntington memberikan takrifan yang berbeza dalam pembangunan politik, dan menerangkan bentuk pereputan politik mengikut pelbagai takrifan. Huntington memberi tumpuan terutamanya kepada pembangunan politik sebagai pemodenan dan penginstitusian. Walau bagaimanapun, beliau merujuk kepada definisi pembangunan politik yang berbeza sebagai cara yang am untuk memahami kebangkitan sistem politik dan hubungan antara sistem politik di negara yang berbeza.

Perkembangan politik[sunting | sunting sumber]

Huntington mengenal pasti dua ciri pembangunan politik. Pertama ialah pembangunan sinonim dengan pemodenan, justeru pembangunan politik boleh ditakrifkan sebagai pemodenan politik. Poin kedua ialah terdapat banyak kriteria untuk mengukur pembangunan politik kerana pemodenan dan pembangunan adalah topik yang begitu luas dan meliputi banyak bidang. Empat kriteria dipersetujui secara umum: yang pertama ialah rasionalisasi, yang melibatkan pergerakan daripada partikularisme kepada universalisme, atau, dari sudut politik, tumpuan pada pembezaan fungsi dan kriteria pencapaian. Kriteria kedua ialah nasionalisme dan integrasi nasional. Ini menekankan negara bangsa dan pembinaan negara bangsa sebagai aspek utama pembangunan politik. Kriteria ketiga ialah tumpuan kepada pendemokrasian, yang pada asasnya fokus kepada persaingan dan penyamaan kuasa. Kriteria terakhir ialah mobilisasi, iaitu tumpuan kepada penyertaan politik. Lebih besar pembangunan, lebih besar pemodenan, lebih besar mobilisasi, dan oleh itu lebih besar penyertaan politik. Akhirnya, pembangunan politik boleh ditakrifkan sebagai peningkatan dalam perpaduan politik negara dan peningkatan dalam penyertaan politik.[petikan diperlukan]

Pemodenan[sunting | sunting sumber]

Menurut definisi Huntington dalam pembangunan politik sebagai pemodenan, pereputan politik adalah bertentangan dengan idea linear kemajuan sosial, walaupun regresi sosial adalah tak mungkin dalam model pemodenan. Sebaliknya, pereputan politik berlaku kerana "negara moden dan pemodenan boleh berubah melalui kehilangan keupayaan setara kadar dengan pemerolehannya. Di samping itu, keuntungan dalam mana-mana satu keupayaan biasanya melibatkan tanggungan terhadap yang lain."[1]:393 Model pemodenan digunakan untuk membandingkan sistem politik negara yang berbeza dengan pembangunan sosial yang mencerminkan perkembangan linear institusi politik.[1]:391 Walau bagaimanapun, kajian ke atas hubungan antara pembangunan institusi politik dan pemodenan telah menunjukkan pembangunan yang tidak konsisten. Dalam sesetengah sistem politik, seperti wilayah Amerika Latin tertentu, kerajaan telah dipengaruhi oleh campur tangan ketenteraan akibat ketidakupayaan kerajaan untuk menghadapi tekanan pemodenan.[2]

Institusi[sunting | sunting sumber]

Di bawah kerangka pembangunan politik sebagai pembangunan institusi, pereputan politik berlaku apabila institusi gagal untuk berubah atau menyesuaikan diri apabila ia menjadi lapuk akibat perubahan sosial atau ekonomi. Dan Halvorson mencabar idea pereputan politik sebagai kegagalan institusi dengan mendakwa bahawa idea pereputan politik terikat dengan cita-cita institusi politik Barat tanpa mengambil kira institusi dalam aneka budaya secara meluas dan ketidakupayaan negara pascakolonial untuk menyesuaikan diri dengan kerangka Barat.[3] Fukuyama merujuk kepada pereputan politik sebagai kuasa sosial dan ekonomi yang mengganggu keseimbangan susunan politik yang mantap.[4] Institusi kerajaan Empayar Rom gagal memenuhi keperluan moral dan ekonomi rakyat, mengakibatkan keadaan yang akan memudahkan pereputan politik dan kejatuhan Rom.[5] Di bawah model institusi, pereputan politik boleh dilihat sebagai penurunan kecekapan dan kredibiliti dan penubuhan korupsi institusi dalam satu tempoh masa.[6]

Ketidakstabilan[sunting | sunting sumber]

Faktor sosial dan ekonomi yang berbeza menyumbang kepada pembangunan serta pereputan politik negara. Kuasa luar seperti kuasa asing menjejaskan kestabilan pentadbiran yang ditubuhkan disebabkan institusi sosial atau kepentingan ekonomi yang berbeza. Untuk dianggap stabil, prosedur dan institusi mesti mengekalkan autonomi dan kalis terhadap agen luar.[1]:402 Kuasa sosial dan ekonomi yang mewujudkan kestabilan politik boleh berubah atau menghilang, membawa kepada ketidakstabilan dalaman.[4] Pembangunan ekonomi, seperti peralihan daripada ekonomi berasaskan pertanian kepada pembuatan, serta kejatuhan ekonomi, juga boleh membawa kepada ketidakstabilan politik. Perkembangan sosial, seperti perluasan populasi celik huruf, membawa kepada kebangkitan dan penyebaran idea-idea baru.

Ketidakstabilan politik[sunting | sunting sumber]

Ketidakstabilan politik berlaku apabila satu puak dalam kerajaan negeri bertentang dengan puak lain atau institusi lain dalam pentadbiran. Ketidakstabilan politik berlaku pada akhir abad ke-18 di Perancis dan bahagian lain Eropah pada abad ke-19. Perkembangan politik di Perancis, seperti pembangunan birokrasi dan institusi lain, membawa kepada permintaan yang lebih besar bagi meritokrasi dan konflik politik yang lebih besar dalam kalangan kelas pemerintah.[7] Sri Lanka menyaksikan tempoh ketidakstabilan politik selepas pilihan raya pada 1994 disebabkan oleh cita-cita pemimpin politik. Presiden terpilih Chandrika Kumaratunga cuba mengubah perlembagaan dan membubarkan parlimen agar terus berkuasa, membawa kepada perubahan mendadak dalam struktur badan penggubal undang-undang.[8]

Dalam sesetengah kes, pecahan politik boleh berlaku dalam rangka perlembagaan sesebuah negeri. India mempunyai peruntukan dalam perlembagaannya yang memberikan pemimpin kuasa untuk melanggar atau menentang perlembagaan dalam darurat. Pelanggaran undang-undang negara seperti ini dari dalam sistem politik boleh membawa kepada pereputan politik.[9]

Perkembangan sosial[sunting | sunting sumber]

Model pembangunan dan pereputan politik Huntington menggambarkan unsur-unsur seperti perindustrian, pembandaran, pendidikan dan celik huruf sebagai perkembangan sosial yang mewujudkan ketidakstabilan. Kehadiran konflik ganas tidak selalu menunjukkan pereputan sosial. Oleh kerana sifat kompleks pembinaan negara dan perubahan sistem politik, keganasan bukanlah penunjuk yang boleh dipercayai dalam pereputan atau pembangunan politik.[10] Sosialisasi undang-undang ialah proses di mana perundangan diubah untuk menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi dan sosial. Sosialisasi undang-undang adalah salah satu kuasa yang menentang pereputan politik dalam struktur pemodenan Huntington, dengan memastikan bahawa institusi politik yang ada dapat bertahan dalam ketidakstabilan sosial.[11]

Perluasan teori[sunting | sunting sumber]

Bekas pelajar Huntington, Francis Fukuyama, telah membangunkan teori pereputan politik dengan menganalisis kerosakan institusi demokrasi di Amerika Syarikat dan di tempat lain. Di sini, beliau berhujah bahawa institusi politik terlalu lambat untuk mengikuti perubahan keadaan negara oleh kerana inersia institusi mereka di sebalik status quo. Sebagai contoh, di Amerika Syarikat, oligarki kewangan baharu mengukuhkan ketidaksamaan pendapatan dan kekayaan, dan mengurangkan mobiliti sosial, lalu membawa kepada kerosakan dalam masyarakat, kontrak sosial dan keyakinan terhadap pemerintah.[12]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d Huntington, Samuel P. (1965). "Political Development and Political Decay". World Politics. 17: 386–430. doi:10.2307/2009286. JSTOR 2009286.
  2. ^ Geller, Daniel S. "Economic Modernization and Political Instability: A Casual Analysis of Bureaucratic-Authoritarianism" The Western Political Quarterly 35, no. 1 (March 1982): 45
  3. ^ Halvorson, Dan. States of Disorder: Understanding State Failure and Intervention in the Periphery. Burlington, VT: Ashgate Publishing Company, 2013. 19
  4. ^ a b Fukuyama, Francis, The Origins of Political Order: From Prehuman Times to the French Revolution. New York: Farrar, Straus and Giroux, 2011. 139.
  5. ^ Boyd, James Harrington. "Permanence of the American Democracy" American Journal of Sociology 30, no. 1 (July 1924): 3
  6. ^ Young, Crawford. "Zaire: Is There a State?" Canadian Journal of African Studies 18, no. 2 (1984): 80-82
  7. ^ Gillis, John R. "Political Decay and the European Revolutions, 1789-1848." World Politics 22, no. 3 (April 1970): 344-370.
  8. ^ DeVotta, Niel. "Sri Lanka in 2004: Enduring Political Decay and a Failing Peace Process." Asian Survey 15, no. 1 (January/February 2005: 98-104
  9. ^ Hart, Henry C. "The Indian Constitution: Political Development and Decay." Asian Survey 20, no. 4 (April 1980): 428-451
  10. ^ Cohen, Youssef, Brown, Brian R., Orgnaski, A.F.K. "The Paradoxical Nature of State Making: The Violent Creation of Order." The American Political Science Review 75, no. 4 (December 1981): 901-910
  11. ^ Boyd, James Harrington. "Permanence of the American Democracy." American Journal of Sociology 30, no. 1 (July 1924): 1-21
  12. ^ Fukuyama, 2011 The origins of political order: from prehuman times to the French Revolution