Radoje Domanović

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pergi ke navigasi Pergi ke carian
Radoje Domanović
Info kelahiran(1873-02-16)16 Februari 1873
Ovsište, Serbia
Kematian17 Ogos 1908(1908-08-17) (umur 35)
Belgrade, Serbia
PekerjaanPenulis, wartawan
BahasaBahasa Serbia
Laman sesawang
domanovic.org

Radoje Domanović (16 Februari 187317 Ogos 1908) merupakan seorang penulis, wartawan dan guru yang berasal dari Serbia, terkenal dengan cerpen-cerpen sindirannya.

Biografi[sunting | sunting sumber]

Radoje Domanović dilahirkan di sebuah perkampungan bernama Ovsište di tengah Serbia, merupakan anak lelaki seorang guru dan usahawan tempatan, Miloš Domanović, dan Persida Cukić, berketurunan Pavle Cukić, salah satu panglima tentera Pertama dan Kedua Rusuhan di Serbia. Beliau menghabiskan masa kecilnya di kampung Gornje Jarušice berdekatan Kragujevac, di mana beliau bersekolah rendah. Beliau menamatkan pengajian sekolah menengah di Kragujevac, dan Fakulti Falsafah di Universiti Belgrade, di mana beliau belajar mengenai bahasa dan sejarah Serbia.[1]

Pada tahun 1895, Domanović mendapat lantikkan pertamanya, jawatan pengajar di Pirot, di selatan Serbia, wilayah yang baru sahaja bebas dari Kerajaan Uthmaniyyah. Di Pirot, beliau bertemu dengan Jaša Prodanović (1867–1948), guru dan aktivis yang membantu membentuk pandangan politiknya. Di sana beliau juga bertemu dengan calon isterinya, Natalija Raketić (1875–1939), seorang guru sekolah yang miskin dari Sremski Karlovci, yang akan membantu beliau sepanjang hidupnya yang singkat dan bergolak, dan bersamanya beliau mempunyai tiga orang anak.

Semenjak beliau bergabung dengan pembangkang, Parti Radikal Rakyat, beliau berhadapan konflik dengan pemerintahan dinasti Obrenović, dan beliau dipindahkan ke Vranje pada akhir tahun 1895, dan kemudiannya pada tahun 1896, beliau dipindahkan lagi ke Leskovac. Karier penulisan Domanović juga telah bermula sewaktu beliau masih mengajar, dengan menerbitkan cerpen realistik pertamanya pada tahun 1895. Setelah penampilan umum pertamanya menentang kerajaan pada tahun 1898, beliau dan isterinya diberhentikan dari perkhidmatan awam, dan Domanović pindah bersama keluarganya ke Belgrade.[2]

Di Belgrade, beliau mula bekerja dengan rakan-rakan penulis di dalam jurnal mingguan “Zvezda” (Bintang) dan akhbar politik pembangkang “Odjek” (Gema). Pada waktu ini beliau mula menulis dan menerbitkan kisah-kisah sindirannya, seperti “Syaitan” dan “Penghapusan nafsu”. Kemahsyuran Radoje melonjak naik dengan penerbitan kisah-kisahnya yang terkenal, “Pemimpin” (1901) dan “Stradija” (1902), di mana dia menyerang secara terbuka dan menzahirkan pembohongan serta kesalahan-kesalahan pemerintahan tersebut.[3]

Setelah rampasan kuasa yang mengakhiri zaman pemerintahan Aleksandar Obrenović pada tahun 1903, pada puncak kemahsyurannya, Domanović menerima jawatan sebagai jurutulis di Kementerian Pendidikan, dan kerajaan yang baru membenarkan beliau untuk pergi ke Jerman untuk pengkhususan selama setahun, yang mana beliau menghabiskan masanya di Munich. Sekembali ke Serbia, Radoje merasa kecewa terhadap kurangnya perubahan sebenar di dalam masyarakat. Beliau memulakan jurnal mingguan politiknya sendiri, “Stradija”, di mana beliau berterusan mengkritik kelemahan demokrasi baharu, tetapi penulisannya tidak lagi mempunyai kekuatan dan inspirasi seperti yang pernah dimiliki dahulu.[4]

Radoje Domanović meninggal dunia setengah jam selepas tengah malam pada 17 Ogos 1908, pada usia 35 tahun, setelah lama berjuang dengan penyakit radang paru-paru kronik dan tuberkulosis. Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Baru Belgrade. Karya-karyanya yang masih belum diterbitkan telah hilang semasa Perang Dunia Pertama.[5]

Karya sastera[sunting | sunting sumber]

Antara karya-karya terunggul Radoje Domanović termasuklah:

  • Alasan seekor lembu Serbia biasa, 1902
  • Kraljević Marko antara orang Serbia bagi kali kedua, 1901
  • Laut mati, 1902
  • Pemimpin, 1901
  • Penghapusan nafsu, 1898
  • Rusuhan moden, 1902
  • Stradija, 1902
  • Syaitan, 1898
  • Tanda, 1899

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Vučenov, Dimitrije: Radoje Domanović: Život, doba i geneza dela (Rad, Belgrade 1959), p. 7-44
  2. ^ Vučenov, Dimitrije: Radoje Domanović: Život, doba i geneza dela (Rad, Belgrade 1959), p. 45-69
  3. ^ Vučenov, Dimitrije: Radoje Domanović: Život, doba i geneza dela (Rad, Belgrade 1959), p. 70-122
  4. ^ Vučenov, Dimitrije: Radoje Domanović: Život, doba i geneza dela (Rad, Belgrade 1959), p. 123-153
  5. ^ Vučenov, Dimitrije: Radoje Domanović: Život, doba i geneza dela (Rad, Belgrade 1959), p. 154-175

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Karya lengkap Radoje Domanović (Bahasa Serbia) (Bahasa Melayu)