Ratu Balqis

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Ratu Balqis juga dikenali sebagai Ratu dari Saba' atau Ratu dari Sheba (Bahasa Arab: ملكة بلقيس‎) adalah seorang ratu yang memerintah kerajaan kuno Saba' yang disebut dalam Injil Ibrani, Perjanjian Baru dan Al-Quran. Ibu kota Saba' dipercayai ialah Ma'arib yang terletak berhampiran kota Sana'a, ibu negara Yaman sekarang.[1] Selain Yaman, daerah kekuasan Saba' mungkin meliputi Eritrea dan Habsyah juga. Kisah lawatan rasmi Ratu Balqis ini terjadi ketika era pemerintahan Nabi Sulaiman a.s. (Raja Sulaiman) yang mahu memperluaskan pengaruh penguasaannya sehingga ke tanah orang Yahudi, Semenanjung Arab dan negeri Habsyah.

Aggadah[sunting | sunting sumber]

Menurut teks bukan kanun dari persuratan rabbinik Yahudi klasik (eksegikal), Josephus (Ant. 8:165–73), berpendapat Ratu dari Saba' adala ratu yang mempunyai empayar penaklukan dari selatan Mesir dan Habsyah. Ratu ini telah dibawa ke Jerusalem, bersamanya dibawa sekali balsam (sejenis tumbuhan yang jarang digunakan untuk membuat pewangi dengan komposisi perubatan). Balsam dari Gilead kini boleh ditemukan di Jerusalem tetapi berasal dari selatan Semenanjung Arab.[2][3] Josephus (Antiquities 2.5-2.10) menonjolkan Cambyses sebagai orang yan berjaya mengawal Aethiopia, dan menukar namanya dari Seba ke Meroe.[4] Josephus menegaskan Ratu dari Saba' ini berasal dari tanah Sheba atau Saba' dari selatan Semenanjung Arab. Terdapat juga hubung kait diantara perkataan Saba dan Sabaco yang merujuk kepada pemerintah awal Aethiopia.[5]

Talmud (Bava Batra 15b) mendesak ia bukannya kerana raja perempuan itu, sebaliknya kerajaan Saba' itu (berdasarkan pelbagai bentuk intepretasi dari perkataan Ibrani yang menyebut mlkt) yang datang tiba ke Jerusalem, secara jelas cuba untuk membuang kisah hubungan anatara Sulaiman dan Ratu itu.[6] Baba Bathra 15b: "Sesiapa mengatakan malkath Sheba (I Raja-raja X, 1) bermaksud perempuan yang membuat kesalahan; ... bermaksud kerajaan (מַלְכֻת) dari Sheba."[7]

Berdasarkan beberapa laporan dari kurun ke-8, ratu itu melawat Sulaiman, boleh ditemukan dari Targum Sheni hingga ke Kitab Ester. Burung hud-hud memberitakan pada Sulaiman bahawa terdapat satu kerajaan di Saba' dimana ratu itu penyembah matahari. Sulaiman kemudiannya menghantar Kitor ke negeri berkenaan dengan sepucuk surat yang diikat di sayapnya dan memerintahkan untuk Ratu itu menghadapnya. Ratu itu kemudian menghantar barang-barang hadiah dan 6000 pemuda yang sama tingginya, semuanya lahir pada waktu yang sama dan berpakaian ungu. Utusan hadiah dari Ratu Saba itu juga membawa surat bahawa baginda ratu akan tiba di Jerusalem dalam tempoh 3 tahun walaupun biasanya perjalanan kapal akan mengambil masa 7 tahun lamanya. Apabila Ratu itu tiba di Istana Sulaiman dkat Jerusalem, Ratu itu menganggap bahawa gelas yang disangka air itu adalah sebuah kolam air yang besar, maka ratu itu pun menyinsing sedikit kainnya yang menutup kakinya. Sulaiman kemudian menegur tentang perbuatan Ratu itu dengan kakinya yang berbulu. Ratu itu bertanya Sulaiman 3 perkara (Targ. Sheni to Esther 1:3) atau, menurut Midrash (Prov. ii. 6; Yalḳ. ii., § 1085, Midrash ha-Hefez), terdapat banyak perjalanan lain untuk menguji hikmat Sulaiman.[6][8][2][3]

Pada kurun ke-11, menurut teks zaman pertengahan (medival), Aksara Ben Sira yang tidak diketahui penulisnya siapa. Teks tersebut juga disebut Hikmah Sirach atau Sirach, atau Kitab Ecclesiasticus /ᵻˌkliːziˈæstɪkəs/ (singkatan Ecclus.)[2] atau Ben Sira,[3] merupakan hasil kerja pengajaran beretika yang telah ditulis oleh orang Yahudi bernama Shimon ben Yeshua ben Eliezer ben Sira dari Jerusalem, kira-kira 175 hingga 200 tahun sebelum masihi. Dalam teks tersebut suatu bentuk penegasan bahawa Raja Nebuchadnezzar, Raja Babylon telah memperakui kesatuan anatara Sulaiman dan Ratu Saba'.[6]

Dalam bidang disiplin atau kaedah falsafah keagamaan Yahudi Kabbalah, Ratu Saba' dianggap sebagai ratu dari golongan jin, dan adakalanya dianggap sebagai sebahagian dari Lilith, pertamanya dalam Targum Yaakub (1:15), dan kemudiannya dalam Zohar dan dalam beberapa penulisan sastera terkemudian. Terdapat mitos dalam kalangan orang Yahudi dan Arab yang mengekalkan Ratu Saba' barangkali merupakan dari golongan jin ataupun sebahagian jin dan sebahagian lagi manusia.[9][10]

Dalam pengamatan cerita-cerita mulut orang Yahudi German dari milinium pertama, atau Ashkenazi, terdapat figura penting yang menggabungkan imej popular Helen dari Troy atau mitologi German Frau Venus. biasanya kata-kata mistik berbaur sihir puak Ashkenazi meletakkan Ratu Sheba sebagai penari bersifat seduktif (menjolok mata). Sehinggalah pada generasi terkini, anggapan ini dilihat telah meresap masuk dalam dunia kanak-kanak, ada cuba mempamerkan ratu sebagai penculik kanak-kanak atau ahli sihir yang jahat.[10]

Kisah menurut Al-Quran[sunting | sunting sumber]

Kisah Ratu ini dengan Nabi Sulaiman a.s. diceritakan dalam Surah An-Naml, surah ke-27 dalam Al-Quran seperti berikut:


Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: "Mengapa aku tidak melihat burung hud-hud? Adakah ia dari mereka yang tidak hadir? (20)
"Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir)".(21)
Burung hud-hud itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): "Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari negeri Saba' dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya. (22)
"Sesungguhnya aku dapati seorang perempuan memerintah mereka dan ia telah diberikan kepadanya (serba sedikit) dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) dan ia pula mempunyai singgahsana yang besar.(23)
"Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah, dan Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk,(24)
"(Mereka dihalangi oleh Syaitan) supaya mereka tidak sujud menyembah Allah yang mengeluarkan benda yang tersembunyi di langit dan di bumi, dan yang mengetahui apa yang kamu rahsiakan serta apa yang kamu zahirkan. (25)
"Allah! - Tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar ".(26)
Nabi Sulaiman berkata: Kami akan fikirkan dengan sehalus-halusnya, adakah benar apa yang engkau katakan itu, ataupun engkau dari golongan yang berdusta.(27)
"Pergilah bawa suratku ini, serta campakkanlah kepada mereka, kemudian berundurlah dari mereka; dalam pada itu perhatikanlah apa tindak balas mereka".(28)
(Setelah membaca surat itu), berkatalah raja perempuan negeri Saba': "Wahai ketua-ketua kamu! Sesungguhnya telah disampaikan kepadaku sepucuk surat yang mulia.(29)
"Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): `Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani,(30)
" `Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku, dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran agama Allah). ' " (31)
Raja perempuan itu berkata lagi: "Wahai ketua-ketua kaum, berilah penjelasan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya".(32)
Mereka menjawab: Kita adalah orang-orang yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperangan; dan perkara itu (walau bagaimanapun) terserahlah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan.(33)
Raja perempuan itu berkata: "Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan.(34)
"Dan bahawa aku hendak menghantarkan hadiah kepada mereka, kemudian aku akan menunggu, apakah balasan yang akan dibawa balik oleh utusan-utusan kita"(35)
Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang mengadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya): "Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta-benda, kerana apa yang telah diberikan Allah kepadaku lebih baik dari apa yang telah diberikanNya kepada kamu; (bukan aku yang memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah yang bergembira dengan hanya kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu (atau yang kamu hadiahkan dengan perasaan megah).(36)
"Kembalilah kepada mereka, (jika mereka tidak juga mahu beriman) maka demi sesungguhnya Kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera yang mereka tidak terdaya menentangnya, dan kami akan mengeluarkan mereka dari negeri Saba' dengan keadaan hina, menjadi orang-orang tawanan."(37)
Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): "Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?"(38)
Berkatalah Ifrit dari golongan jin: "Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah". (39)
Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!" Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah". (40)
Nabi Sulaiman berkata pula (kepada orang-orangnya): "Ubahkanlah keadaan singgahsananya itu, supaya kita melihat adakah ia dapat mencapai pengetahuan yang sebenar (untuk mengenal singgahsananya itu) atau ia termasuk dalam golongan yang tidak dapat mencapai pengetahuan yang demikian".(41)
Maka ketika ia (Ratu) datang mengadap, Nabi Sulaiman bertanya kepadanya: Serupa inikah singahsanamu?" Ia menjawab: "Boleh jadi inilah dia; dan kami telah diberikan ilmu pengetahuan sebelum berlakunya (mukjizat) ini, dan kami pula adalah tetap berserah diri (menjunjung perintah Allah)".(42)
Dan ia dihalangi (daripada memeluk Islam pada masa yang lalu): apa yang ia pernah menyembahnya (dari benda-benda) yang lain dari Allah; sesungguhnya adalah ia (pada masa itu) dari puak yang kafir.(43)
(Setelah itu) dikatakan kepadanya: "Dipersilakan masuk ke dalam istana ini." Maka ketika ia melihatnya, disangkanya halaman istana itu sebuah kolam air, serta dia pun menyingsingkan pakaian dari dua betisnya. Nabi Sulaiman berkata: "Sebenarnya ini adalah sebuah istana yang diperbuat licin berkilat dari kaca". (Mendengar yang demikian), (Ratu itu) berdoa: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri dan (sekarang aku menegaskan bahawa) aku berserah diri memeluk Islam bersama-sama Nabi Sulaiman, kepada Allah Tuhan sekalian alam ". (44)

Analisis[sunting | sunting sumber]

Al-Quran secara spesifiknya tidak menyebut nama Ratu Balqis secara khusus. Namun menyebut negara bernama Saba' itu dengan jelas. Diceritakan Ratu Balqis dianugerahi Allah segala kekuasaaan dan kehebatan. Walau bagaimanapun, baginda dan kaumnya tidak beriman dengan Allah s.w.t. Mereka yang diperdaya oleh syaitan menganggap bahawa perbuatan menyembah matahari adalah suci dan mereka terhalang daripada mendapat petunjuk Allah. Kehebatan kerajaan Saba' Ratu Balqis ini diceritakan oleh burung hud-hud kepada Nabi Sulaiman a.s. Di sinilah bermulanya perundingan dan penawaran Nabi Sulaiman a.s. supaya Ratu Balqis menerima risalah Allah.[11]

Periwayat Muslim terkenal seperti (Tabari, Zamakhshari, Baydawi) menambah beberapa cerita dan beberapa fakta tambahan berkenaan kisah ini. Ratu dari Saba' itu diberi nama Bilkis, perkataan ini mungkin diperolehi dari 2 perkataan berbeza. 1) Yunani iaitu παλλακίς yang membawa maksud "gundik". 2) Bahasa Arab pula memberi pengertian yang jauh berlainan iaitu ﺑﻠﻘﻊ (balqʿ) beerti padang pasir.[12]

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. Canadians uncover 'Queen of Sheba' temple CBC News
  2. 2.0 2.1 Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; teks bagi rujukan ej2-queen tidak disediakan
  3. 3.0 3.1 Ludwig Blau (1905), "SHEBA, QUEEN OF", Jewish Encyclopedia 11, Funk and Wagnall, pp. 235‒236 
  4. William Bodham Donne (1854), "AETHIOPIA", dalam William Smith, Dictionary of Greek and Roman Geography 1, Little, Brown & Co., p. 60b 
  5. William Bodham Donne (1857), "SABA", dalam William Smith, Dictionary of Greek and Roman Geography 2, Murray, p. 863a‒863b 
  6. 6.0 6.1 6.2 Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; teks bagi rujukan ei2-bilkis tidak disediakan
  7. Marcus Jastrow (1903), "מַלְכׇּה", A Dictionary of the Targumim, the Talmud Babli and Yerushalmi, and the Midrashic Literature 2, Luzac, p. 791b 
  8. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; teks bagi rujukan ej2-solomon tidak disediakan
  9. Gershom Scholem (2007), "DEMONS, DEMONOLOGY", Encyclopaedia Judaica 5 (edisi 2nd), Gale, pp. 572–578 
  10. 10.0 10.1 Susannah Heschel (2007), "LILITH", Encyclopaedia Judaica 13 (edisi 2nd), Gale, pp. 17–20 
  11. Wanita Pilihan Institut Kefahaman Islam Malaysia
  12. Georg Freytag (1837), "ﺑَﻠٔﻘَﻊٌ", Lexicon arabico-latinum, Schwetschke, p. 44a 

Sumber utama[sunting | sunting sumber]

  • Joseph, Antiquitates iudaicae viii.6.2
  • Pliny the Elder, Naturalis historis vi.32.154

Sumber kedua[sunting | sunting sumber]

Bibliografi[sunting | sunting sumber]