Sailor Uranus

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Sailor Uranus (セーラーウラヌス Sērā Uranusu?), adalah salah satu watak dalam Sailor Moon. Dia adalah watak adiwira bagi Haruka Tenoh (天王 はるか Ten'ō Haruka?, atau Amara Tenoh di dalam adaptasi Amerika), seorang remaja perempuan dan juga seorang Srikandi Sailor, yang melindungi Sistem Suria dari sebarang kuasa-kuasa jahat.

Sailor Uranus berjuang bersama pasangannya Sailor Neptune dan memiliki kuasa yang berkaitan dengan langit serta memiliki sebilah Pedang Angkasa.

Profil[sunting | sunting sumber]

Haruka ialah seorang yang degil, bersifat pelindung, namun juga bersifat cekal, berkemampuan dan manis. Dia muncul buat pertama kalinya dalam Siri S bersama dengan Sailor Neptune.

Dia adalah pemandu kereta lumba di Jepun, walaupun baru berusia 16 tahun. Dikatakan, dia dan Michiru adalah satu kelas di atas para Srikandi Sailor yang lain.

Haruka juga suka menggoda gadis-gadis cantik, kerana sifatnya yang seperti lelaki, dan pernah cuba, untuk suka-suka, mengurat Usagi. Di dalam anime pula, Haruka memanggil Usagi sebagai "odango", dan kemudiannya "ko-neko" (anak kucing).

Perhubungannya dengan Sailor Neptune amat rapat, sehingga disangkakan sebagai pasangan kekasih, kerana sifat kelelakian Haruka. Namun, hubungan rapat mereka dizahirkan hanya melalui berpegangan tangan dan usik-mengusik.

Beliau juga mempunyai hubungan rapat dengan Setsuna Meioh, kerana berkongsi tugas yang sama, iaitu melindungi Sistem Suria dari ancaman kuasa jahat dari luar sistem. Manga menyatakan bahawa, selepas Death Busters ditumpaskan, dia, Michiru dan Setsuna menjaga Hotaru yang telah dilahirkan semula sebagai seorang bayi.


Identiti[sunting | sunting sumber]

Dia memakai uniform kelasi berwarna biru gelap and kuning, dan sarung tangannya hanya menutupi setengah dari lengannya. Gelarannya termasuklah Srikandi Langit dan Srikandi Pawana. Gelaran Srikandi Langit berkait rapat dengan nama dewa Uranus, dewa orang Rom yang tinggal di langit. Sailor Uranus memiliki Pedang Angkasa, iaitu salah satu dari tiga Azimat yang dimiliki para Srikandi jalur luar Sistem Suria.

Simbol astrologi Uranus

Apabila dia menjadi semakin kuat, pakaian Sailor Uranus juga berubah. Di dalam manga (Act 39), dia memperoleh Kristal Uranus dan menjadi seperti Super Sailor Moon. Dalam Siri Bintang (Act 42), dia sekali lagi memperoleh pakaian baru yang sama seperti Sailor Moon Abadi.

Puteri Uranus[sunting | sunting sumber]

Semasa hayatnya di Nusa Bulan, beliau adalah puteri di bintangnya, iaitu planet Uranus. Permaisuri Serenity, pada masa itu, telah memberi tugas (bersama dengan Neptune dan Pluto) untuk melindungi Nusa Bulan dan Sistem Suria dari kuasa jahat. Puteri Uranus tinggal di Istana Miranda dan mengenakan gaun berwarna biru gelap.

Kuasa dan Item Khas[sunting | sunting sumber]

Haruka mampu mengesan sebarang kuasa jahat melalui deruan angin dan melalui mimpi (yang juga dikongsi oleh Michiru dan Setsuna). Serangan pertama beliau di dalam anime, iaitu "Gempita Bumi" (World Shaking, 天界震), dilepaskan apabila Uranus mengangkat tangannya, mengumpul semua tenaga dari langit dan menghempaskannya ke bumi.

Serangan keduanya, iaitu "Letusan Pedang Angkasa" (Space Sword Blaster,宇宙剣乱風) menggunakan Pedang Angkasa yang juga adalah salah satu dari 3 Azimat dimiliki Neptune dan Pluto.

Serangan terkuatnya yang hanya muncul dalam manga, iaitu "Golakan Angkasa" (Space Turbulence, 宇宙乱気流), adalah serangan yang melengkapkan strategi pertarungan Sailor Uranus.

Kristal Uranus adalah sumber kekuatan Sailor Uranus. Ia telah dikurniakan kepadanya oleh Sailor Saturn dalam manga (Act 39).