Santa Claus

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
"Santa" dilencongkan ke sini. Untuk kegunaan lain, sila lihat Santa (nyahkekaburan).
Rencana ini mengenai watak legenda. Untuk kegunaan lain, sila lihat Santa Claus (nyahkekaburan).
Ilustrasi 1881 oleh Thomas Nast, tentang imej Santa Claus. Imej ini yang diperkuatkan dengan sajak oleh Clement Clarke Moore, membantu mencipta imej moden Santa Claus.

Santa Claus, juga dikenali sebagai Santo Nicholas, Bapa Krismas, Kris Kringle, atau cuma Santa sahaja merupakan figura yang asal-usulnya penuh dengan legenda, sejarah, dan disebut dalam budaya rakyat sebagai pembawa hadiah ketika hari sebelum atau malam Krismas (24 Disember).[1] Bagaimanapun, di sesetengah negara Eropah, kanak-kanak menerima hadiah mereka pada 6 Disember iaitu Hari Santo Nicholas.[2][3] Legenda ini mungkin berdasarkan kisah-kisah hagiografi mengenai tokoh Santo Nicholas yang bersejarah.

Secara umumnya, Santa Claus digambarkan sebagai lelaki tua berjanggut putih, gemuk dan periang, memakai pakaian serba merah dengan manset dan kolar berwarna putih dengan tali pinggang kulit dan but hitamnya, sambil membawa beg yang dipenuhi dengan hadiah. Gambaran figura tersebut menjadi terkenal di Amerika Syarikat dan Kanada pada abad ke-19 kerana pengaruh ketara sajak 1823 bertajuk "Kunjungan daripada St. Nicholas" dan karikatur daripada kartunis politik, Thomas Nast.[4][5][6] Imej tersebut telah dikekalkan dan dikuatkan lagi melalui lagu, radio, televisyen, dan filem.

Satu legenda yang berkaitan dengan Santa menceritakan bahawa dia tinggal jauh di bahagian utara, di sebuah tempat yang dituruni salji sepanjang masa. Dalam versi Amerika, Santa Claus tinggal di Kutub Utara, manakala Bapa Krismas dipercayai tinggal di Finland. Butiran-butiran lain termasuklah dia sudah berkahwin dan tinggal bersama Puan Claus, membuat satu senarai kanak-kanak di seluruh dunia dan mengelaskan kanak-kanak itu mengikut perilaku mereka. Santa Claus akan menghantar hadiah, termasuk mainan, gula-gula, dan lain-lain kepada semua kanak-kanak yang berkelakuan baik di seluruh dunia dan kadang-kala arang atau kayu diberi kepada mereka yang nakal, dalam jangka masa satu malam dan dia menyelesaikan kerja berat ini dengan bantuan orang halus yang bekerja membuat mainan serta sembilan ekor rusa kutub boleh terbang yang menarik pedatinya.[7][8] Santa Claus seringkali digambarkan mengucapkan perkataan "ho ho ho".

Pemupukan kepercayaan terhadap Santa Claus kepada kanak-kanak yang sekian lama juga menghadapi tentangan. Sesetengah penganut agama Kristian mendakwa bahawa tradisi Santa menyimpang daripada asal-usul keagamaan dan tujuan sebenar Krismas. Mereka yang lain pula merasakan bahawa Santa Claus ialah satu pembohongan yang besar, dan adalah tidak beretika untuk ibu bapa mengajar anak-anak mereka mempercayai kewujudan Santa.[9] Ada juga yang menentang Santa Claus sebagai lambang pengkomersialan perayaan Krismas, atau suatu pencabulan terhadap tradisi kebangsaan mereka.[10]

Tradisi dan amalan[sunting | sunting sumber]

Menulis surat kepada Santa Claus merupakan tradisi Krismas yang telah lama diamalkan oleh kanak-kanak. Surat-surat ini mengandungi senarai permainan dan hasrat yang mereka minta daripada Santa Claus kerana berkelakuan baik. Santa Claus digambarkan memasuki rumah melalui serombong asap rumah untuk meletakkan hadiah-hadiah untuk kanak-kanak ini.

Di kebanyakan negara barat yang menyambut Krismas, perkhidmatan pos mereka menerima surat yang dialamatkan kepada Santa Claus. Surat-surat ini kemudian dijawab oleh pekerja pos dan sukarelawan.

Galeri[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. "Poll: In a changing nation, Santa endures" (dalam bahasa Inggeris). NBC News. 22 Disember 2006. Diperoleh pada 1 Disember 2014. 
  2. "Saint Nicholas:::Around the World" (dalam bahasa Inggeris). St. Nicholas Center.org. Diperoleh pada 7 November 2011. 
  3. "About Santa Claus, Sinterklaas" (dalam bahasa Inggeris). 1234 Christmas.com. 20 September 2014. Diperoleh pada 1 Disember 2014. 
  4. Jim Auchmutey (10 Disember 2007). "Coke denies claims it bottled familiar Santa image". Rocky Mountain News. 
  5. "Santa's arrival lights up the Green" (dalam bahasa Inggeris). 
  6. Penne L. Restad. Christmas in America: A History (dalam bahasa Inggeris). 
  7. B. K. Swartz, Jr. "THE ORIGIN OF AMERICAN CHRISTMAS MYTH AND CUSTOMS". Diperoleh pada 22 Disember 2007. 
  8. Jeff Westover. "The Legendary Role of Reindeer in Christmas". Diperoleh pada 22 Disember 2007. 
  9. Austin Cline. "Santa Claus: Should Parents Perpetuate the Santa Claus Myth?" (dalam bahasa Inggeris). About.com. 
  10. Better Watch Out, Better Not Cry di Wayback Machine (diarkibkan pada Januari 20, 2007), Hilda Hoy, The Prague Post, 13 Disember 2006.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]