Schwerer Gustav

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Perbandingan Schwerer Gustav (hitam) dan pelancar OTR-21 Tochka SRBM (merah) bersama seorang manusia (hitam).
Model meriam Schwerer Gustav.

Schwerer Gustav antara senjata perang yang paling diingati dan terkenal dalam kalangan masyarakat dunia adalah meriam gergasi Schwerer Gustav. Senjata rahsia Jerman yang memiliki berat 1,350 tan dan panjang 42.97 meter itu merupakan meriam paling besar pernah dicipta di dunia serta memerlukan tenaga kerja manusia seramai 1,420 orang bagi mengendali dan menggerakkannya.

Kehebatan sebenar meriam Schwerer Gustav terletak pada pelurunya yang diisi dengan bahan peledak sehingga mencecah 700 kilogram, selain mampu bergerak sejauh 48 kilometer. Oleh kerana meriam ini terlalu berat, tentera Nazi terpaksa membina landasan kereta api khas bagi membolehkannya bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.

Idea asal pembinaan meriam Schwerer Gustav tercetus selepas tentera Perancis yang merupakan anggota negara-negara bersekutu merancang untuk membina senjata yang mampu menembusi ketebalan dinding konkrit. Idea itu menarik perhatian Adolf Hitler yang kemudian mengarahkan kilang senjata terkenal Jerman, Krupp pada bulan Mac 1936 untuk merealisasikan hasrat tersebut, dengan pada awal tahun 1937, tentera Nazi menyalurkan dana sebanyak 10 juta mark.

Dengan memakan masa tiga tahun untuk disiapkan, meriam gergasi itu diberi nama Schwerer Gustav sebagai penghormatan kepada pemilik kilang senjata tersebut, Gustav Krupp von Bohlen und Halbach yang telah menciptanya. Senjata berkenaan telah diuji buat pertama kali oleh tentera Nazi pada tahun 1941 di Hillersleben sebelum digunakan secara rasminya pada bulan Julai 1942 di Sevastopol.

Antara kejayaan meriam ini adalah membantu tentera Nazi apabila berjaya menembusi kubu bawah tanah sedalam 30 meter yang menempatkan gudang peluru senjata Kesatuan Soviet. Selain itu, senjata unik itu turut digunakan tentera Nazi dalam Operasi Barbarossa di Rusia dan menjadi senjata pemusnah utama ketika Pertempuran Perancis.

Bagaimanapun, meriam gergasi itu jatuh ke tangan Amerika Syarikat setelah Jerman kalah dalam Perang Dunia Kedua sebelum dimusnahkan oleh AS kerana bimbang senjata hebat tersebut akan dirampas oleh Tentera Merah (Red Army).