Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Peay Min

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Peay Min atau nama ringkasnya SJK(C) Peay Min, merupakan sebuah Sekolah jenis kebangsaan Cina yang terletak di Teluk Ramunia.

Murid- murid yang menuntut pelajaran di sekolah ini terdiri daripada kaum Cina, Melayu dan Iban.

Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Peay Min
Lokasi
 Malaysia Teluk Ramunia,, 81620, Kota Tinggi,, [Johor Darul Takzim
Malaysia
Maklumat
Jenis sekolahSekolah jenis kebangsaan Cina, Sekolah kerajaan
Nombor sekolah6078263662
Kod sekolahJBC3014
PengetuaEn. Tan Wee Beng
GPK Pentadbiran dan AkademikPn. Phoon Sau Ping
Penolong Kanan Hal Ehwal MuridPn. Cheong Shu Mi
Penolong Kanan KokurikulumEn. Albert Chin Jun Cheng
Faks6078263662


Pada tahun 2009, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Peay Min memiliki 16 pelajar lelaki dan 20 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 36 orang. Ia mempunyai seramai 5 orang guru. Pada tahun 2019 pula, SJK(C) Peay Min mempunyai 13 orang murid dan 8 orang guru.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sebelum tahun 1948, ramai penduduk telah menetap di Kampung Simon, Teluk Ramunia, Pengerang Johor. Kebanyakan daripada penduduk bekerja sebagai nelayan, pekerja lombong dan pekebun.

Maka menjelang tahun 1948, penduduk di tempat ini telah bertambah ramai. Dengan itu, sebuah sekolah rendah telah ditubuhkan dalam tahun itu dengan sokongan dan dorongan dari pihak pemimpin- pemimpin dan tokoh-tokoh tempatan seperti En. Chia Foh Kee, En. Chew Kiang, En Yew Ei Seng dan lain-lain. Sekolah ini telah dinamakan Sekolah Peay Min.

Pada mulanya, bangunan sekolah ini hanya dua bilik darjah dan satu dewan dengan bumbung atap yang didirikan ditapak sewaan dengan kadar RM30.00 setahun. Bilangan murid pada masa itu hanya lebih kurang 100 orang dan dikendalikan oleh En. Teo Chung Teck sebagai Guru Besar dan tiga orang guru.

Dalam zaman penjajahan British, pendidikan bangsa-bangsa tempatan tetap diketepikan. Semua gaji guru-guru dan perbelanjaan-perbelanjaan sekolah dibayar dengan kutipan yuran murid-murid atau derma bulanan dari orang ramai. Guru-guru pada masa itu dibayar dengan gaji yang rendah. Oleh itu, guru besar dan guru-guru sentiasa meletakkan jawatan untuk mencari pekerjaan yang lain. Akibatnya pelajaran murid tidak dapat dijamin. Kelengkapan di sekolah pada masa itu sangat kekurangan melainkan beberapa buah kerusi dan dua keeping papan hitam sahaja.

Selepas kemerdekaan tanah air pada tahun 1957, sekolah ini telah mendapat sumbangan kewangan dari kerajaan sebanyak RM2,000.00 untuk membina bangunan yang rosak. Dengan ini, sekolah mempunyai 3 buah bilih darjah, 1 buah dewan, 1 buah pejabat dan 2 buah bilik guru, 1 buah bilik stor yang berbumbung zink dan berdinding papan. Selepas itu, sekolah telah dibaiki dan dicat semula oleh pihak JKR Kota Tinggi dalam tempoh tahun 1967 hingga 1974.

Pada tahun 1957, sekolah ini juga diberi peruntukan sebanyak RM5,000.00 dari Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membina sebuah tandas dan bilik air yang dilengkapi dengan air paip.

Pada tahun 1982, sekolah ini telah membina sebuah bilik perpustakaan dengan peruntukan dari Kementerian Pendidikan Malaysia. Pada tahun 1982, Guru Besar En. Chen Sham yang berkhidmat di sekolah ini selama 14 tahun ditukarkan ke sekolah lain. Seterusnya, En. Tan Cheng Lok mengambil alih jawatan tersebut. Dengan jagaan beliau sekolah ini dimajukan dari segi fizikal dan pentadbiran. Malangnya beliau telah meninggal dunia pada tahun 1983 setelah berkhidmat selama setahun di sekolah ini.

Dalam tempoh Mei 1983 hingga September 1983, sekolah ini telah mengalami kesulitan terutama dari segi pentadbiran kerana tiada guru besar dan ini merupakan sejarah gelap sekolah ini. Akan tetepi, En. Woon Ka Sin telah mengambih alih jawatan guru besar pada bulan September 1983.

Pada bulan September 1984, sekolah ini telah menerima bantuan kawangan sebanyak RM2,000.00 untuk membaiki bahagian–bahagian bangunan yang rosak dan juga memasang lampu elektrik serta kipas angin.

Pada tahun 1987, sekolah ini telah menerima peruntukan sebanyak RM2,000.00 untuk membeli buku-buku bacaan untuk perpustakaan sekolah. Pada tarikh 16.12.1987 Guru Besar En. Woon Ka Sin telah naik pangkat dan ditukar ke Kulai, Johor. Guru Besar yang baru ini iaitu En. Liw Kim telah mengambil alih jawatan Guru Besar pada 16.12.1987.

Pada tahun 1988, sekolah ini telah menerima peruntukan sebanyak RM1,500.00 untuk membeli perabot seperti peti besi, peti cabinet, meja, kerusi dan lain- lain lagi.

Pada tahun 1989, sekolah ini telah menerima sebuah mesin pendua, sebuah mesin taip, 40 buah kerusi meja daripada pihak Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi. Sekolah ini juga telah mendapat satu peruntukan sebanyak RM3,000.00 daripada wakil rakyat untuk membina dua bilik darjah yang baru. Di samping itu, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi juga meluluskan satu peruntukan sebanyak RM5,000.00 untuk memasang batu blok bagi bangunan sekolah, pagar sekolah serta mengecat semula bangunan sekolah.

Pada tahun 1990, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi telah meluluskan satu peruntukan sebanyak RM2,000.00 untuk memasang batu blok bagi bilik darjah. YAB Menteri Besar juga meluluskan satu peruntukan sebanyak RM2,000.00 untuk membina sebuah bangsal basikal yang baru. Pihak sekolah juga mendapat derma daripada Syarikat Far East supaya memasang tingkap cermin bagi bangunan sekolah. Sekolah ini juga telah membina dua buah tandas sekolah.

Sekolah ini dapat diteruskan dan dikekalkan dengan adanya dorongan dan sokongan serta kerjasama dari pihak kerajaan dan Lembaga Jemaah Pengurus, PIBG, guru besar, guru-guru dan juga ibu bapa yang telah memberi sepenuh kepercayaan kepada sekolah ini.

Pada 11.6.1991, Guru Besar Liw Kim telah ditukar ke sekolah lain, tempatnya diambil oleh En. Lee Tong Heng. Menteri Besar telah meluluskan satu peruntukan sebanyak RM3,000.00 untuk membina sebuah bilik komputer.

Pada 1.2.1994, Encik Jee Teck Chai dilantik sebagai guru besar menggantikkan En. Yeo Heng Pang. Setelah bertugas selama 1 tahun 10 bulan, En. Yeo Heng Pang mengambil tempatnya. En Yeo memohon tukar balik ke kampungnya dan digantikan oleh En. Chee Kooi Cheng.

En. Chan Thoi Sung mengambil tempatnya pada 16.9.1998 setelah beliau memohon tukar. Setelah berkhidmat selama 5 tahun 8 bulan di sekolah ini, En. Chan Thoi Sung bersara wajib pada 29.5.2004. Pn. Heng Guey Looe telah mengambil tempatnya sebagai guru besar mulai 1.6.2004. Pada akhir tahun 2005, satu blok bangunan sekolah dicat semula dengan peruntukan Menteri Besar sebanyak RM5,000.00. Pada 16.12.2006, Cik Pang Mee Nah telah mengambil tempat Pn. Heng sebagai guru besar.

En. Gan Kim Seng telah melaporkan diri sebagai Guru Besar yang baru pada 15 September tahun 2008 yang lepas. Pada akhir tahun 2008, pembinaan bangunan pentadbiran dan dewan sekolah di bawah tajaan Ramunia Holdings Berhad telah siap dibina pada bulan November. Pada 16 Januari 2009, bangunan ini dirasmikan oleh Pengerusi Ramunia Holdings Berhad iaitu Dato’ Azizul Rahman bin Abd Samad. Pada bulan Mac tahun 2009, perpustakaan sekolah telah ditambahbaik dan dibina atas bantuan kewangan Program Pakej Rangsangan Khas bagi sekolah bantuan kewangan.

Pn. Loo Chun Huang telah menggantikan En. Gan Kim Seng sebagai Guru Besar SJK (C) Peay Min yang baru. Beliau melaporkan diri pada 16 Februari tahun 2011. Pada tahun 2012, sekolah telah membina pondok basikal. Bilik darjah smart telah dipasang untuk memanfaatkan para pelajar SJK (C) Peay Min.

Pada tahun 2012, SJKC Peay Min telah mendapat tawaran baru guru besar “New Deal”. Tawaran ini diberikan berdasarkan keputusan UPSR tahun 2010 dan 2011.

Pada tahun 2013, para guru SJKC Peay Min telah berjaya memenangi pertandingan penghasilan “BIGBOOK” LINUS. Kumpulan numerasi telah mendapat tempat ke-5, manakala kumpulan literasi telah mendapat tempat saguhati. Pencapaian ini amat membanggakan dan mengharumkan nama baik sekolah memandangkan SJKC Peay Min merupakan satu-satunya SJK yang muncul sebagai pemenang pertandingan ini peringkat daerah Kota Tinggi.

Pada tahun tersebut juga, projek pembinaan asrama guru dijalankan atas sumbangan kewangan daripada pihak Jemaah Pengurus. Bangunan baharu tersebut siap dibina pada bulan September 2013.

Pada tahun 2014, SJKC Peay Min telah menganjurkan kejohanan sukan tahunan buat kali pertama di padang besar SK Teluk Ramunia bertarikh 26 Mei 2014. Sebelum ini, sekolah hanya menjalankan kejohanan sukan tahunan secara gabungan dengan sekolah lain.

Sepanjang perkhidmatan Pn. Loo Chun Huang sebagai Guru Besar SJK (C) Peay Min, pencapaian murid dalam bidang ko-akademik dan kokurikulum telah menunjukkan peningkatan. Antara pencapaian tertinggi dalam ko-akademik dicatat dalam pertandingan tulisan kaligrafi kategori murid bukan Cina, di mana seorang murid perempuan berbangsa Bidayuh berjaya mendapat tempat pertama dalam pertandingan tulisan kaligrafi sempena karnival Bahasa Cina peringkat daerah Kota Tinggi dan melayakkan diri ke pertandingan tulisan kaligrafi peringkat negeri Johor. Dalam bidang kokurikulum pula, empat orang murid yang mewakili sekolah ke perkhemahan Tunas Kadet Remaja Sekolah peringkat daerah telah memenangi pertandingan ikatan gajet.

Pada akhir tahun 2014, pihak sekolah telah menerima dermaan kelengkapan daripada pihak SJK (C) Pei Cheng, Kampung Jawa yang akan berpindah ke Kulai, Johor. Antara dermaan yang diterima termasuklah peralatan sukan, papan kenyataan, meja dan kerusi murid, meja panjang, almari dan rak.

Pn. Chin Siew Chin telah menggantikan Pn. Loo Chun Huang sebagai Guru Besar SJK (C) Peay Min yang baru. Beliau melaporkan diri pada 25 Januari tahun 2015. Pada tahun 2015, SJKC Peay Min telah dipilih sebagai Sekolah Berfokus di bawah penyeliaan JPNJ.

Di bawah usaha Pn. Chin, kemudahan sekolah telah ditambah baik dengan pembinaan tandas baharu guru dan pemasangan alat pemanas di bilik air lama. Bumbung kawasan letak kereta juga dibaiki dan dinaik taraf. Selain itu, keceriaan sekolah juga menjadi tumpuan beliau. Di samping mengecat semua bangunan dan taman sekolah, beberapa mural juga dihasilkan oleh tujuh orang guru yang berada di bawah pimpinan Pn. Chin. Bagi mewujudkan suasana yang selesa dan kondusif, beliau juga telah memasang langsir di dewan, pusat sumber dan setiap bilik darjah.

Tanggal 25 Oktober 2016, Puan Koh Mary yang berasal dari SJK (C) Ping Ming, Kluang telah melaporkan diri di SJK (C) Peay Min untuk memegang jawatan sebagai Guru Besar bagi menggantikan Puan Chin Siew Chin yang bertukar ke SJK (C) Yu Hwa, Kota Tinggi. Jawatan Puan Koh kemudiannya digantikan oleh Puan Chua Mui Lian yang berasal dari SJK (C) Yu Hwa pada 14 Jun 2017.

Sungguhpun perkhidmatan Puan Koh Mary hanya lebih kurang lapan bulan saja, namun usaha dan pengorbanan beliau juga jelas dilihat. Beliau amat menitikberatkan kebajikan guru dan telah menambah baik kemudahan dapur di asrama guru. Beliau juga meningkatkan kebersihan dan keceriaan kawasan sekolah. Beliau menjadikan kontena sebagai bilik stor.

Pada tahun 2017, sekali lagi nama sekolah muncul sebagai pemenang dalam pertandingan tulisan kaligrafi bagi kategori murid bukan Cina sempena karnival Bahasa Cina daerah Kota Tinggi. Seorang murid Iban dan seorang murid Bidayuh yang terpilih telah melayakkan diri ke pertandingan tulisan kaligrafi peringkat negeri Johor. Salah seorang murid yang bernama Nazarul telah berjaya memenangi sagu hati dalam pertandingan peringkat negeri tersebut.

Di bawah kepimpinan Puan Chua Mui Lian, projek penaiktarafan kemudahan dan infrastruktur dijalankan dengan giat sekali hasil sumbangan daripada dermawan setempat termasuk OUIJV, MUDAJAYA COORPERATION BERHAD, TECHNIPFMC, VIEWPLEX SDN BHD dan KOW HOCK. Projek tersebut dapat dilihat di mana bilik War Room dinaik taraf dengan lantai berjubin dan dilengkapi dengan penghawa dingin, komputer, projektor LCD, meja dan kerusi beroda. Selain itu, pembaikpulihan sistem perparitan serta pembinaan atap di pintu masuk sekolah dan koridor juga dijalankan.

Pada bulan Januari 2018, pihak sekolah juga menerima sepasukan sukarelawan dari RAPID yang menyumbang tenaga dan bantuan kewangan bagi menjayakan aktiviti gotong-royong dan menceriakan kawasan sekolah bersama-sama dengan warga sekolah. Hasil sumbangan daripada masyarakat setempat yang berbentuk wang ringgit, tayar dan cat, keceriaan sekolah berjaya ditingkatkan lagi dengan mewujudkan taman mini eco garden.

Dari segi prasarana pula, pihak sekolah mendapat sumbangan dua mesin pembekal air minuman dan bekalan air mineral daripada Syarikat Cahaya Jaya Murni Trading, Sungai Rengit.

Bukan sahaja demikian, pihak sekolah juga mendapat dermaan berbentuk makanan daripada sukarelawan setempat. Dengan itu, kebajikan murid dijaga di mana mereka dibekalkan minuman Milo dan biskut secara percuma pada setiap pagi.

Pada tahun 2018, bilangan murid semakin berkurangan dan mencecah jumlah di bawah 30 orang murid. Ekorannya, pihak sekolah terpaksa melaksanakan kelas bercantum atas dasar Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pada tahun yang sama, Puan Chua berjaya mencipta sejarah baru dengan mengadakan dua kali lawatan sambil belajar buat kali pertama yang selama ini tidak pernah dianjurkan. Di bawah iringan beliau, murid-murid dapat merasai pengalaman di Ostrich Farm, Teluk Ramunia dan beberapa tempat menarik di sekitar kawasan Johor Bahru.

Di bawah pimpinan beliau, murid-murid juga mencatat kecemerlangan dalam bidang ko-akademik dan sukan. Hal ini dapat dilihat di mana dua orang murid berjaya memenangi Johan dalam pertandingan tulisan kaligrafi kategori bukan Cina dalam Karnival Bahasa Cina peringkat daerah dan melayakkan diri ke pertandingan peringkat negeri pada tahun 2018. Pencapaian yang membanggakan dicatat oleh salah seorang murid yang mendapat sagu hati dalam pertandingan peringkat negeri tersebut.

Pada tahun 2019, seorang murid Iban yang bernama Emily juga mendapat sagu hati dalam pertandingan tulisan kaligrafi kategori bukan Cina sempena karnival Bahasa Cina peringkat daerah Kota Tinggi. Dalam karnival Bahasa Malaysia pula, nama baik sekolah juga berjaya diharumkan, di mana seorang murid iaitu Emily mendapat tempat ketiga dalam pertandingan bertulis peringkat daerah dan seterusnya mewakili daerah Kota Tinggi ke peringkat negeri Johor. Sementara bidang sukan pula, seorang murid Tahun Enam yang bernama Lee Boon Kuan berjaya memecah rekod sekolah dengan mencatat tempat pertama dalam lompat tinggi L12 dan tempat kedua dalam acara larian 200m L12 dalam MSSD Pengerang. Murid tersebut juga dipilih untuk mewakili MSSD Pengerang ke peringkat MSSJ.

Memandangkan kekurangan sumber murid baharu dan projek RAPID yang akan melibatkan kawasan sekolah, Puan Chua telah mengambil tindakan untuk mengadakan beberapa kali mesyuarat dengan ahli Jemaah Pengurus bagi mengusulkan hal-hal berkaitan perpindahan sekolah. Namun, tiada kata putus yang muktamad.

Setelah berkhidmat selama 2 tahun 2 bulan di SJK (C) Peay Min, jawatan Puan Chua diambil alih oleh Encik Tan Wee Beng yang berasal dari SJK (C) Chien Chi.

Akhir kata, minta maaf jika terdapat sebarang kesilapan atau ketinggalan dalam usaha menyusun dan menulis kembali sejarah ringkas sekolah ini kerana sumber dan bahan-bahan ini dikumpulkan dari rekod- rekod simpanan sekolah dan juga melalui cerita mulut ahli- ahli Lembaga Pengurus sekolah ini.

Pencapaian[sunting | sunting sumber]


Alamat[sunting | sunting sumber]

Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Peay Min
Teluk Ramunia,
81620, Pengerang
Johor, Malaysia
Telefon = 6078263662
Fax = 6078263662

Pautan luar[sunting | sunting sumber]