Sekolah Kebangsaan Serom 8

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sekolah Kebangsaan Serom 8
Lokasi
Kampung Serom 8, Sungai Mati, Tangkak, Johor Darul Takzim
Malaysia
Maklumat
Jenis sekolahSekolah Kebangsaan, Sekolah kerajaan
Nombor sekolah069752975
Kod sekolahJBA9001
Faks069752975

Sekolah Kebangsaan Serom 8 atau ringkasnya SK Serom 8 merupakan sebuah sekolah kebangsaan yang terletak dalam Kampung Serom 8, di Sungai Mati, Johor Darul Takzim, Malaysia. Pada Jun 2020, SK Serom 8 mempunyai jumlah keseluruhan pelajar sebanyak 111 orang dan termasuk 22 orang guru.[1]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sekolah ini telah diasaskan oleh Encik Karto bin Hassan, Ketua Kampung Serom 8  pada 1 November 1946. Secara umumnya, murid-murid sekolah ini datang daripada tiga kampung yang berhampiran iaitu kampung Serom 8, Kampung Parit Pulai dan Kampung Sri Jaya.

Pada mulanya sekolah ini telah didirikan secara gotong-royong oleh penduduk-penduduk kampung ini dan bahan-bahan kayu didapati dari hutan di sekitar kawasan ini di atas sebidang tanah milik Encik Mingun Bin Hassan yang terletak kira-kira sejauh 1 km dari tapak sekolah sekarang.

Pada 17 Jun 1947, sekolah ini telah dipindahkan di atas tanah milik En. Hasim Ismail dengan seorang tenaga pengajar iaitu Encik Abdul Bin Othman dan gajinya dibayar oleh penduduk kampung ini. Bilangan murid pada ketika itu adalah seramai 51 orang sahaja.

Pada 3 April 1948, Kerajaan telah mula memberi bantuan alat sekolah dan menugaskan seorang guru kerajaan sebagai guru besar pertama sekolah ini, iaitu En. Abdul bin Othman.

Malangnya satu tragedi kebakaran telah berlaku pada 20 Jun 1951, yang mengakibatkan bangunan dan alatan sekolah musnah sama sekali. Buat sementara waktu, murid-murid telah meneruskan pembelajaran di surau kampung ini.

Pada 30 Jun 1951, sebidang tapak baru telah diperolehi dan pada tahun 1952, pihak kerajaan telah mendirikan sebuah bangunan yang mengandungi 6 bilik darjah dan menghantar 3 orang guru serta seorang guru besar. Sebuah bilik guru besar telah didirikan secara gotong-royong.

Pada 1 September 1966, kerajaan telah mendirikan sebuah bangunan baru yang mengandungi 6 bilik darjah dan sebuah bilik guru besar dengan keluasan 30 ' x 130' yang boleh menampung seramai kira-kira 260 orang murid sahaja. Bangunan lama pula telah dirobohkan. Bangunan baru ini telah dirasmikan oleh Menteri Pelajaran, Encik Khir Bin Johari pada 31 Oktober 1968.

Disebabkan pertambahan murid yang begitu ramai dari setahun ke setahun, manakala bangunan yang ada tidak dapat menampung murid-murid tersebut, maka dengan permintaan beberapa penduduk kampung di sekeliling Serom 8 itu, akhirnya kerajaan telah bersetuju mendirikan sebuah lagi bangunan tambahan pada 1 September 1976, yang mengandungi 3 bilik darjah, sebuah bilik rehat, pejabat dan sebuah kantin yang lengkap dengan perabut, api elektrik serta paip air. Ramai murid-murid pada masa itu ialah 346 orang. Manakala tenaga pengajar ialah seramai 15 orang dan 6 orang pekerja sekolah.

Pada 2 Jun 1982, sebuah bangunan perpustakaan separuh kekal telah dibina hasil derma orang ramai sebagai kegunaan murid-murid sekolah ini.

Pada 31 Julai 1998, YAB Menteri Besar Johor, Tan Sri Abdul Ghani bin Othman telah mengeluarkan peruntukan bagi membina sebuah dewan terbuka sebagai bangunan tanbahan Pusat Sumber sekolah ini.

Pada 11 Jun 2003, Kerajaan telah membangunkan bangunan 4 tingkat mengandungi makmal sains, bengkel kemahiran hidup, makmal komputer, pusat akses , kelas pemulihan , pra sekolah , pendidikan khas dan dewan terbuka. 

Alamat[sunting | sunting sumber]

SK Serom 8
Kampung Serom 8, Sungai Mati
Johor, Malaysia
Kod sekolah: JBA9001

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) (30 Jun 2020). "Senarai Sekolah Rendah dan Menengah Jun 2020" (XLSX). Dicapai pada 7 April 2021.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]