Simen

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
С

Simen (dari Latin caementum) adalah komponen utama yang penting dalam industri pembinaan. Ia merupakan sejenis debu lembut, yang apabila dicampur dengan air akan menjadi keras. Ini disebabkan oleh berlaku tindak balas kimia yang menukarkan debu simen menjadi hablur-hablur yang saling bepaut, sehinggalah simen itu menjadi keras.

Penghasilan[sunting | sunting sumber]

Simen adalah bahan buatan daripada hasil campuran tanah liat dan batu baur (batu kerikil). Campuran itu dipanaskan ke suhu setinggi 1400 °C membentuk clinker atau batu hangus, dan kemudian ditumbuk halus menjadi tepung. Dalam kebanyakan projek pembinaan, jenis simen yang digunakan adalah dari jenis Portland yang bergred 20.

Agregat[sunting | sunting sumber]

Di sini agregat mempunyai dua jenis iaitu halus dan kasar. Bagi jenis halus ia adalah terdiri daripada bahan seperti pasir manakala bagi jenis kasar pula ia adalah terdiri daripada bahan batu baur.

Pasir[sunting | sunting sumber]

Pasir adalah komponen utama dalam mortar dan juga komponen kedua terpenting dalam pembuatan konkrit. Dalam pembuatan mortar mahupun konkrit, ia mestilah bersih dan tidak mengandungi bahan bendasing di dalamnya semasa kerja-kerja pembancuhan dilakukan. ini adalah untuk meningkatkan mutu pembinaan sesebuah bangunan itu sendiri.

Pasir digunakan bersama simen untuk kerja-kerja pembinaan dinding, tiang, coping, aras lantai, rasuk tanah, tangga dan juga teres. Dalam projek pembinaan , biasanya dua gred pasir digunakan iaitu dari jenis 1:3 dan 1:6 iaitu bahagian simen dan pasir dicampurkan sekali.

Batu baur[sunting | sunting sumber]

Batu baur adalah komponen utama dalam pembinaan struktur konkrit. Ia memainkan peranan yang penting dalam proses membancuh konkrit. Batu baur kasar adalah terdiri daripada serpihan batu yang saiznya melebihi 5 mm sehingga saiz maksimum yang dibenarkan untuk kerja-kerja konkrit yang tertentu, biasanya tidak melebihi 50 mm.

Batu baur kasar boleh didapati daripada lombong atau kuari batu dan batu besar dihancurkan dengan mesin dan digredkan mengikut kegunaannya yang tertentu. Kadangkala batu baur besar juga diperolehi daripada sungai. Jenis batu ini biasanya berbentuk bulat dan permukaannya licin.

Bagi batu baur yang keras, padat dan tahan lasak menghasilkan konkrit yang bermutu tinggi. Jenis batu yang lazimnya digunakan dalam industri pembinaan tempatan ialah batu granit dan batu kapur kerana dua jenis batu ini mudah didapati dan harganya murah. Bagi kebanyakan projek pembinaan, agregat kasar yang digunakan adalah gred 20.