Skala kelabu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Imej skala kelabu burung nuri

Dalam bidang fotografi digital, imej janaan komputer dan kolorimetri, imej skala kelabu merupakan imej dengan nilai setiap piksel ialah sampel tunggal yang mewakili hanya satu nilai cahaya; maksudnya ia membawa maklumat tentang nilai keamatan sahaja. Imej skala kelabu, sejenis monokrom hitam putih atau kelabu, terdiri secara eksklusif daripada warna kelabu. Kontras berjulat daripada hitam pada keamatan paling lemah kepada putih dengan keamatan paling kuat.[1]

Imej skala kelabu berbeza dengan imej hitam-putih dwiton berbit-satu, dalam konteks pengimejan komputer ia bermakna suatu imej dengan dua warna sahaja: hitam dan putih (juga dipanggil imej dwiaras atau binari). Imej skala kelabu mempunyai banyak warna kelabu di antaranya.

Imej skala kelabu boleh jadi merupakan hasil daripada pengukuran keamatan cahaya pada setiap piksel mengikut gabungan wajar frekuensi (atau panjang gelombang) tertentu, dan dalam kes sedemikian ia bersifat monokrom nyata apabila hanya terdapat satu frekuensi (secara amalinya mempunyai jalur frekuensi yang sempit) yang ditangkap. Frekuensi pada dasarnya boleh berasal dari mana-mana dalam spektrum elektromagnet (contoh seperti inframerah, cahaya tampak, ultraungu dan lain-lain).

Imej skala kelabu kolorimetrik (atau lebih khusus fotometrik) ialah sebuah imej yang mempunyai suatu ruang warna skala kelabu tertentu yang memetakan nilai sampel berangka tersimpan ke saluran akromatik bagi suatu ruang warna standard, dan ia sendiri adalah berdasarkan sifat terukur penglihatan manusia.

Jika imej warna asal tidak mempunyai ruang warna yang ditentukan, atau jika imej skala kelabu tidak bertujuan untuk mempunyai keamatan akromatik yang dirasakan manusia yang sama seperti imej warna, maka tiada pemetaan unik daripada imej warna sedemikian kepada imej skala kelabu.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Johnson, Stephen (2006). Stephen Johnson on Digital Photography. O'Reilly. ISBN 0-596-52370-X.