Pergi ke kandungan

Songkran

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sambutan Tahun Baru, Rodnam Damhua, bersama orang tua.
Sambutan Tahun Baru berdekatan Jalan Khao San

Songkran ialah perkataan Thai (Bahasa Thai: สงกรานต์Songkran) berasal daripada bahasa Sanskrit saṅkrānti, yang digunakan bagi merujuk kepada Hari Tahun Baharu yang disambut di Thailand, Laos, Kemboja, Myanmar, Sri Lanka, dan beberapa kawasan timur laut India, Vietnam, Sipsongbanna di China dan Kedah di Malaysia[1]. Songkran bermula apabila matahari memasuki Aries, tanda astrologi pertama dalam zodiak, menurut waktu siderius.

Selain nama Songkran di Thailand, ia turut dikenali dengan Sangken di kawasan India, perayaan percikan air di China, Tahun Baharu Sinhala di Sri Lanka, Tahun Baharu Khmer di Kemboja, Tahun Baharu Laos di Laos dan Thingyan di Myanmar.

Asalnya, tarikh perayaan ditentukan berdasarkan perhitungan astrologi, tetapi sekarang ditetapkan tarikh dalam takwim. Perayaan Songkran jatuh pada hari yang paling hangat dalam setiap tahun di Thailand, di penghujung musim kemarau. Mulanya, Tahun Baru Thai merupakan awal tahun di Thailand. Pada tahun 1888, tarikh tahun baru dialih ke 1 April dan pada tahun 1940, 1 Januari pula menjadi tarikh tahun baru rasmi. Semenjak itu, sambutan tahun baru Thai masih dijadikan cuti umum.

Tradisi tahun baru

[sunting | sunting sumber]
Perayaan Songkran di Wat Thai di Los Angeles

Nyata sekali perayaan Songkran diterajui adat menyimbah air. Orang ramai merayau-rayau di jalanan dengan membawa baldi berisi air atau pistol air, atau berdiri di tepi jalan sambil memegang hos lalu mecurahkan air ke arah orang lain. Adat menyimbah air asalnya merupakan cara memberi hormat kepada orang lain dengan menangkap air "bertuah" yang sudah dicurahkan untuk membersihkan patung Buddha lalu dicurahkan ke arah baru orang tua untuk memberi tuah kepada mereka sekeluarga. Bagi golongan muda pula, oleh sebab bulan April merupakan bulan terhangat di Thailand (suhunya boleh mencecah 40°C), perayaan ini dijadikan hari berseronok dengan menyimbahkan air ke arah orang lain, sehingga timbulnya gejala seperti berlawan air dan menyimbah air ke arah orang yang memandu kenderaan.

Sebenarnya kegiatan ini tidak semestinya dijadikan keutamaan dalam sambutan tahun baru. Sewajarnya, Songkran dijadikan masa untuk menziarahi dan membalas budi orang-orang tua dan sanak saudara.

Ucapan tradisi tahun baru berbunyi "sa-wat-dee pi mai-thai" (สวัสดีปีใหม่ไทย) yang bermaksud "Selamat tahun baru Thailand", tetapi ramai orang lebih gemar mengucapkan "suk-san wan songkran" (สุขสันต์วันสงกรานต์) iaitu "Selamat Hari Songkran" kerana pi mai lebih kepada 1 Januari.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ "Umno gesa sambutan Songkran Kedah masuk kalendar pelancongan". Malaysiakini. 2023-04-13. Dicapai pada 2024-04-14.