Stesen televisyen

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Stesen televisyen ialah sejenis stesen penyiaran yang menyiarkan kedua-dua audio dan video sekaligus ke penerima televisyen di suatu kawasan tertentu. Asalnya, stesen TV bersiaran dengan menghantar isyarat radio yang dikodkan khas ke udara, dipanggil televisyen terestrial. Sesebuah stesen televisyen lazimnya dikurniakan lesen oleh badan kerajaan untuk menggunakan sebahagian spektrum radio tertentu (iaitu saluran) untuk menyalurkan isyaratnya. Sesetengah stesen menggunakan penterjemah penyiaran LPTV untuk menancarkan atau menyiarkan semula isyaratnya ke kawasan lebih jauh. Stesen televisyen merupakan satu bentuk saluran televisyen, tetapi bukan semua saluran televisyen adalah stesen juga.

Kebanyakan stesen televisyen kini menjalani proses penukaran dari analog (NTSC, PAL, atau SECAM) ke digital (ATSC, DVB, atau ISDB).

Di negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, stesen TV biasanya cuma mempunyai satu unit pemancar (atau dua, jika stesen itu menyiarkan isyarat digital di samping isyarat analog biasanya); kebanyakan stesen-stesen ini adalah berdikari atau bergabung dengan rangkaian televisyen seperti ABC, CBS, Fox, atau NBC.

Di negara-negara lain pula, stesen TV sering disamakan dengan rangkaian televisyen seluruh negara yang menyalurkan seluruh atau kebanyakan besar rancangan televisyen kepada stesen-stesen. Di negara-negara ini, isyarat-isyarat yang dipancarkan di tempat-tempat berbeza selalunya tidak menunjukkan ciri-ciri individu yang ketara di mata orang awam (kecuali sesebuah rangkaian itu menampakkan variasi setempat yang disiarkan dari beberapa pemancar yang berlainan) jadi dari sudut pandangan penonton, tiadanya kelainan yang nyata antara rangkaian dan stesen.