Pergi ke kandungan

Sultan Mahmud Shah II (Perak)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sultan Mahmud Shah II
Paduka Seri Sultan Perak
Sultan Perak ke-16
Pemerintahan1765–1773
Kemahkotaan20 Julai 1765
Didahului olehSultan Iskandar Dzulkarnain
Diikuti olehSultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda
Kemangkatan17 Jun 1773
PemakamanPulau Besar, Perak
PasanganRaja Kechil Ampuan
AnakandaRaja Ibrahim
Nama penuh
Raja Kimas ibni Sultan Muhammad Shah
Nama diraja
Paduka Seri Sultan Mahmud Shah ibni Almarhum Sultan Muhammad Shah
Nama selepas mangkat
Marhum Muda
KerabatSiak-Perak
AyahandaSultan Muhammad Shah
BondaChe Muda Pahang
AgamaIslam

Sultan Mahmud Shah ibni Almarhum Sultan Muhammad Shah (Jawi: سلطان محمود شاه ابن المرحوم سلطان محمد شاه; mangkat 1773) ialah Sultan Perak yang ke-16. Baginda telah memerintah Perak dari tahun 1765 hingga 1773.[1] Baginda merupakan adinda kepada Sultan sebelumnya, Sultan Iskandar Dzulkarnain.

Kehidupan awal

[sunting | sunting sumber]

Diputerakan sebagai Raja Kimas atau Raja Saleh, baginda merupakan putera kedua kepada Sultan Perak ke-14, Sultan Muhammad Shah dan Che Muda Pahang.[2]

Baginda telah diangkat sebagai Raja Kechil Muda pada tahun 1750, selepas Perak kembali bersatu di bawah pemerintahan Sultan Mudzaffar Shah III.[3] Pada tahun 1754, baginda telah diangkat sebagai Raja Muda setelah kekanda baginda, Sultan Iskandar Dzulkarnain menaiki takhta.[4]

Sultan Mahmud Shah telah berkahwin dengan Raja Kechil Ampuan, puteri kepada Sultan Alauddin Mughayat Shah. Baginda dikurniakan seorang putera bernama Raja Ibrahim dan seorang puteri.[2]

Pemerintahan

[sunting | sunting sumber]

Setelah Sultan Iskandar Dzulkarnain mangkat pada 14 Julai 1765, adinda baginda Raja Muda Kimas menaiki takhta Perak dengan gelaran Sultan Mahmud Shah. Istiadat pertabalan Sultan Mahmud Shah berlangsung di Pulau Indera Sakti pada 20 Julai 1765, sehari setelah istiadat pemakaman kekanda baginda.[5]

Sejurus menaiki takhta, Sultan Mahmud Shah telah menyusun kedudukan para kerabat baginda, di mana Raja Alauddin diangkat sebagai Raja Muda, Raja Chulan sebagai Raja Bendahara, Raja Inu sebagai Raja Kechil Besar, Raja Ibrahim sebagai Raja Kechil Muda dan Raja Ahmaddin sebagai Raja Kechil Bongsu.[6] Baginda pada mulanya bersemayam di Pulau Indera Sakti, namun baginda kemudiannya berpindah ke kawasan tebing Sungai Perak di Pasir Pulai dan menamakannya Pasir Pulai Indera Mulia.[1]

Hubungan dengan Bugis dan Belanda

[sunting | sunting sumber]

Sepanjang pemerintahan Sultan Mahmud Shah, Perak mempunyai hubungan yang baik dengan Bugis berbanding para Sultan sebelumnya. Pada tahun 1770, Raja Haji, seorang pahlawan Bugis dari Riau bersama adindanya Raja Lumu telah datang ke Perak. Raja Lumu telah mengahwini seorang puteri Perak dan seterusnya ditabalkan sebagai Sultan Selangor oleh Sultan Mahmud Shah dengan gelaran Sultan Sallehudin Shah. Setelah berangkat pulang ke Selangor, Sultan Salehuddin Shah ditabalkan lagi dengan laungan nobat di hadapan rakyat baginda. Perkahwinan dan penabalan ini telah mengeratkan lagi hubungan antara Perak dan Bugis.[6]

Sultan Mahmud Shah juga menetapkan dasar yang lebih terbuka terhadap Belanda. Sepanjang pemerintahan baginda, orang Belanda masih menjalankan perdagangan bijih timah di loji perdagangan mereka di Tanjong Putus.[1] Baginda turut meneruskan perjanjian yang terjalin antara Belanda dengan para Sultan sebelumnya. Namun, baginda juga menunjukkan penentangan terhadap Belanda dengan menolak hasrat mereka untuk mengurangkan harga bijih timah di Perak.

Kemangkatan

[sunting | sunting sumber]

Sultan Mahmud Shah II mangkat pada 17 Jun 1773 setelah lapan tahun memerintah Perak.[5] Baginda dimakamkan di Teluk Memali (kini di Kampung Pulau Besar, Pasir Panjang Ulu) dan digelar "Marhum Muda".[1]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. 1 2 3 4 "Senarai Sultan Perak". Pejabat DYMM Paduka Seri Sultan Perak. Dicapai pada 2026-04-17.
  2. 1 2 "The Siak Dynasty - Genealogy - PERAK5". The Royal Ark. September 2008. Dicapai pada 21 Februari 2014.
  3. Jasbindar, Freddie Aziz. "Sultan Muzaffar Shah III (Sultan Perak ke 13)". www.orangperak.com. Dicapai pada 2022-10-03.
  4. Jasbindar, Freddie Aziz. "Sultan Iskandar Zulkarnain (Sultan Perak ke 15)". www.orangperak.com. Dicapai pada 2022-10-03.
  5. 1 2 Barbara Watson, Andaya (1979). "Perak, The Abode of Grace" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Kuala Lumpur: Oxford University Press. ISBN 0 19 580385 X. Dicapai pada 2026-05-26.
  6. 1 2 Chulan, Raja (1966). "Misa Melayu" (PDF). Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara. Dicapai pada 2026-05-22.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]
Didahului oleh
Sultan Iskandar Dzulkarnain
Sultan Perak
1765-1773
Diikuti oleh:
Sultan Alauddin Mansur Shah