Tahāfut Al-Falāsifah
Ibnu Sina |
---|
Falsafah Ibnu Sina |
Kanun Perubatan |
Kitab Penyembuhan |
Hayy ibn Yaqdhan |
Kritikan terhadap falsafah Ibnu Sina |
Perubatan Unani |
Tahāfut Al-Falāsifah (Arab: تهافت الفلاسفة , "Sengkarut Para Filsuf"), ialah sebuah karya agung oleh Imam Al-Ghazali, seorang ulama daripada aliran falsafah Asy'ariah, yang mengkritik pengikut faham Ibnu Sina.[1] Ahli falsafah Islam seperti Ibnu Sina dan Al-Farabi dikutuk dalam kitab ini kerana mereka tetap mengikut falsafah Yunani walaupun ajaran mereka berselisihan dengan ajaran Islam. Tahāfut Al-Falāsifah berpegang teguh kepada kepercayaan bahawa segala peristiwa dan kejadian terjadi atas kehendak dan takdir Allah dan bukannya kerana perkara-perkara yang saling berhubung kait. Ia menjadi amat popular, dan menandakan peristiwa penting dalam pengasasan falsafah Asy'ariyah dalam falsafah Islam dan perbincangan keagamaan.
Kitab tersebut menaungkan keimanan melebihi falsafah dalam hal-hal yang mujarad dari pandangan manusia.
Latar belakang
[sunting | sunting sumber]Pada bulan Jamadilawal 483 H/Julai 1091 TM, Al-Ghazali dijemput oleh Nizam Al-Mulk untuk menjadi seorang profesor perundangan di Nizamiyah Baghdad, sebuah institusi pengajian tinggi yang terulung pada zaman itu. Maktab tersebut bermatlamat untuk melatih sarjana-sarjana bersedia berdepan dengan dakyah agama daripada kekhalifahan Fatimiyah, dan pelantikan Al-Ghazali merupakan sebahagian dalam matlamat tersebut.[2]
Kitab ini adalah sebahagian daripada empat karya pengajian agama yang beliau tulis semasa bertugas sebagai seorang profesor. Kitab pertama yang beliau karang ialah sebuah rumusan tujuan falsafah berjudul Maqāṣid Al-Falāsifah (مقاصد الفلاسفة, Matlamat Ahli Falsafah), yang menerangkan ajaran falsafah Ibnu Sina.[1] Dalamnya, Al-Ghazali menyatakan bahawa kitab ini adalah kitab pengantar kepada Tahāfut Al-Falasifah, dan beliau juga menyatakan bahawa seorang individu harus fasih dalam fahaman suatu falsafah sebelum melulu menolak idea-idea mereka. Tahāfut Al-Falasifah ialah kitab kedua dalam siri ini. Karya yang ketiga berjudul Mi‘yar Al-‘Ilm fī Fan Al-Mantiq (معيار العلم في فن المنطق, Piawaian Pengetahuan dalam Seni Bahas Akal) ialah kitab pengantar tentang logika Ibnu Sina yang Imam Al-Ghazali masukkan sebagai teks tambahan untuk Tahāfut Al-Falāsifah. Dan yang terakhir berjudul Al-Iqtiṣad fil-I‘tiqād (الاقتصاد في الاعتقاد, Kesederhanaan dalam Kepercayaan) ialah sebuah kitab berkenaan pegangan Asy'ariyah, dan ialah susulan kepada Tahāfut Al-Falāsifah yang merupakan perbahasan lawan beliau terhadap falsafah alam mujarad mereka.[2]
Karya bersiri ini menjelaskan yang Al-Ghazali tidak menolak suluruh sains falsafah seperti ramai sarjana sangkakan. Al-Ghazali menyatakan bahawa beliau tidak mendapati sebarang masalah dalam cabang-cabang falsafah lain seperti fizik, logik, astronomi atau matematik, cuma beliau menyangkal falsafah metafizik kerana menggunakan logik, yang tidak dapat mencerap sesuatu yang abstrak.[2]
Kandungan
[sunting | sunting sumber]Karya ini mempunyai 20 bab, setiap satu merupakan hujah Al-Ghazali untuk menyangkal falsafah Ibnu Sina.[1]
Beliau mendakwa yang Ibnu Sina dan para pengikutnya telah menyimpang dalam tujuh belas perkara (setiap satu dibincangkan dalam bab tersendiri, mendatangkan 17 bab) dan telah melakukan bidaah. Manakala, dalam tiga bab akhir beliau mendakwa mereka telah kufur. Antara hujah yang Al-Ghazali kemukakan terhadap mereka ialah mereka tidak dapat membuktikan kemustahilan adanya dua tuhan.
Berikut ialah kandungan utama ditumpukan dua puluh bab dalam karya ini:
- Menyangkal kepercayaan keazalian alam.
- Menyangkal kepercayaan keabadian alam.
- Mengemukakan perselisihan dalam penyataan mereka: Tuhan ialah pencipta alam dan alam ialah pencipta Tuhan.
- Kegagalan para filsuf untuk membuktikan kewujudan seorang Pencipta.
- Kegagalan para filsuf untuk membuktikan mustahil adanya dua tuhan.
- Penafian para filsuf atas sifat-sifat Allah.
- Menyangkal penyataan mereka: "diri yang Pertama tidak boleh dipisahkan kepada genus dan spesies".
- Menyangkal penyataan mereka: "yang Pertama ialah ciptaan yang bersifat sederhana tanpa intipati".
- Kegagalan para filsuf untuk buktikan bahawa yang Pertama bukannya berjasad.
- Membahaskan kepercayaan kebendaan mereka yang menyimpulkan Pencipta tidak wujud.
- Kegagalan para filsuf untuk buktikan bahawa yang Pertama kenal yang lain.
- Kegagalan para filsuf untuk buktikan bahawa yang Pertama tahu akan dirinya sendiri.
- Menyangkal kepercayaan bahawa yang Pertama tidak kenal Ciptaan lain.
- Menyangkal kepercayaan mereka yang menyatakan: "langit ialah suatu binatang yang bergerak atas kehendaknya sendiri".
- Menyangkal segala yang mereka katakan tentang sebab langit bergerak.
- Menyangkal kepercayaan mereka yang mengatakan jiwa-jiwa langit kenal Ciptaan.
- Menyangkal kepercayaan mereka yang hukum sebab akibat adalah sesuatu yang tetap.
- Menyangkal kenyataan mereka bahawa jiwa manusia ialah intisari yang kekal.
- Menyangkal kenyataan mereka bahawa jiwa manusia itu tidak akan musnah.
- Menyangkal penolakan mereka berkenaan hari kiamat dan nikmat syurga atau azab neraka yang akan mendatang.
Bidaah sesat
[sunting | sunting sumber]Antara kedua puluh perkara yang Al-Ghazali bincangkan, beliau mengecam tiga perkara yang beliau dakwa bukan sahaja bidaah malah murtad.[3]
- Teori keazalian alam. Al-Ghazali menulis bahawa Allah cipta dunia di dalam batas masa, dan seperti segala yang wujud masa juga akan tamat, namun yang kekal hanyalah Allah.
- Allah hanya tahu sifat ciptaan—iaitu bentuk daripada Teori Bentuk Plato.
- Kebangkitan jasad tidak akan berlaku di akhirat kelak, dan cuma roh sahaja akan dibangkitkan.
Fahaman ketentuan
[sunting | sunting sumber]Sengkarut Para Filsuf ada membincangkan tentang teori okasionalisme, atau fahaman di mana segala perkara yang terjadi adalah kerana kententuan Allah. Al-Ghazali berkata apabila api dan kapas bersentuh satu sama lain, kapas tersebut secara langsungnya dibakar oleh Allah dan tidaklah api. Beliau membela dakwaan tersebut menggunakan logik falsafah Islam.
Al-Ghazali menjelaskan oleh kerana Allah ditanggapkan bersifat rasional, perilaku-Nya untuk buat perkara berlaku secara tekal dapat difahamkan ialah hasil daripada hukum yang rasional, yang kita menggelar hukum alam. Namun, hukum ini bukanlah ditetapkan oleh alam tetapi oleh hukum yang Allah tetapkan untuk tadbirkan perilaku-Nya (yakni kemandiriannya)—senang kata, itulah kehendak-Nya yang munasabah.
Kosmologi dan Astronomi
[sunting | sunting sumber]Al-Ghazali membuahkan sokongan beliau ke atas pengkaedahan saintifik berasaskan pembuktian dan pengiraan, sementara juga membincangkan astronomi. Selepas menerangkan gerhana matahari dan bulan, beliau tulis:[4]
"Barang siapa yang sangka menafikan dan membahaskan teori sebegini adalah suatu kewajipan agama hanya akan memudaratkan dan melemahkan agama. Kerana perkara-perkara ini tertakluk kepada pembuktian, dari segi geometri biarpun pengiraan, yang akan melenyapkan keraguan."
Dalam hujah Al-Ghazali untuk membela kepercayaan Asy'ariyah bahawa alam semesta adalah terbatas lawan kepercayaan Aristoteles bahawa alam semesta adalah abadi, beliau mengajukan teori modal tentang alam semesta yang mungkin dapat wujud. Beliau bincangkan bahawa dunia ini ialah dunia yang terbaik berbanding semua dunia yang Allah dapat ciptakan, serta garis masa dan sejarah dunia berlainan. Teori alam semestanya mirip teori oleh Duns Scotus dalam abad ke-14. Akan tetapi, tiada bukti bahawa Al-Ghazali ada memberi pengaruh terhadap Scotus, kerana mereka berdua mungkin mendapat teori tersebut daripada membaca Metafisika Ibnu Sina.[5]
Sambutan pengkritik
[sunting | sunting sumber]Ibnu Rusyd menulis sebuah kritikan terhadap karya Al-Ghazali berjudul Tahāfut At-Tahāfut (maksud: "Sengkarut Sengkarut") di mana beliau mempertahankan kepercayaan falsafah Ibnu Sina dan mengkritik hujah Al-Ghazali. Ia bertulis dalam bentuk dialog: Ibnu Rusyd memetik ayat-ayat Al-Ghazali dan membalasnya. Kitab ini tidak disambut dengan mesra oleh khalayak Muslim.[perlukan penjelasan] Pada abad ke-15, bantahan terhadap hujah balas Ibnu Rusyd dalam Tahāfut At-Tahāfut ditulis oleh Mustafā Ibn Yūsuf Al-Bursawī, seorang ulama Turk, juga dikenali sebagai Khwājah Zādā (m. 1487), yang mengambil pihak Al-Ghazali. Beliau buktikan sekali lagi kepada para ulama Islam tentang kelemahan kefahaman manusia dan kekuatan iman.[6]
Pendahulu Ibnu Rusyd, Ibnu Tufail, membalas hujah Al-Ghazali dengan sedikit kritikan untuk novel falsafah Arab beliau, Hayi bin Yaqzan. Ibnu Tufail menukilkan Al-Ghazali sebagai pemengaruh novelnya terutama sekali dalam pandangan beliau terhadap Kesufian, namun bersikap kritis dalam pandangannya melawan falsafah Ibnu Sina. Ibnu Al-Nafis kemudian menulis sebuah novel, Kitab Fadil bin Natiq, sebagai balas terhadap Hayi bin Yaqzan oleh Ibnu Tufail dan membela pendapat Al-Ghazali.
Kesan
[sunting | sunting sumber]Jauh dari gerah falsafah di dunia Islam, Tahāfut telah terusik kepentingan Islam dalam bidang falsafah: ahli-ahli perundangan tidak lagi takut untuk mempelajari karya-karya Ibnu Sina dan Al-Farabi, seperti yang dilihat dalam karya-karya Ibnu Rusyd dan Fakhruddin Al-Razi. Tahāfut dan bantahan Ibnu Rusyd terus dipelajari di dunia Islam. Sultan Kerajaan Uthmaniyah Muhammad II (alias El-Fatih) menugaskan dua ulama dunia untuk menulis buku meringkaskan gagasan-gagasan daripada dua ahli falsafah besar ini[7] untuk baginda lihat siapa yang memenangi perbahasan ini.
Akan tetapi, pendapat Al-Ghazali yang bertegas akan kehadiran Allah dalam segala perkara telah dianjurkan[8] sebagai salah satu sebab kenapa semangat penyelidikan sains akhirnya rebah di bumi Islam. Jika "tangan Allah tidak dibelenggu", makanya tiada sebab untuk meneroka hukum-hukum alam (dalam erti kata lain, orang-orang akan berkata ia ketentuan Allah kemudian mereka tidak selidik sains bagaimana Dia melakukannya). Contohnya:[petikan diperlukan]
...pihak lawan mendakwa bahawa agen kebakaran hanyalah api sahaja; ini ialah agen semula jadi, bukan agen rela dan ia tidak dapat menahan dirinya daripada melakukan lumrah kewujudannya apabila bersentuh dengan penerima. Kami membantah mereka dengan berkata: Agen yang membakar ialah Allah, tetapi melalui penghasilan hitam pada kapas dan peleraian kapas oleh-Nya, dan sebenarnya Allahlah yang membuat kapas tersebut terbakar dan menjadikannya abu sama ada dengan malaikat atau secara langsung. Kerana api ialah jasad yang tidak hidup dan tidak mampu melakukan sebarang perbuatan, dan apakah bukti api ialah agen? Sesungguhnya, ahli falsafah mereka tidak mempunyai satu pun bukti selain pemerhatian kebakaran itu, apabila adanya persentuhan dengan api, namun pemerhatian hanya membuktikan keserentakan, bukan kesebaban, dan sesungguhnya tidak ada penyebab lain selain Allah.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b c M. Mahdi, “AVICENNA i. Introductory note,” Encyclopaedia Iranica, III/1, hh. 66-67. Dicapai 3 Disember 2019.
- ^ a b c Ghazālī, Al (2000). The Incoherence of The Philosophers (Tahāfut al-Falāsifah): A Parallel English-Arabic Text. Marmura, Michael E. Utah: Brigham Young University Press. ISBN 0-8425-2466-5.
- ^ Leaman, Oliver (2002). An Introduction to Classical Islamic Philosophy. Cambridge University Press. h. 55. ISBN 978-0-521-79757-3
- ^ Anwar, S. (Oktober 2008), "Is Ghazālī really the Halagu of Science in Islam?", Monthly Renaissance, 18 (10). Dicapai 3 Disember 2019.
- ^ Taneli Kukkonen (2000), "Possible Worlds in the Tahâfut al-Falâsifa: Al-Ghazâlî on Creation and Contingency", Journal of the History of Philosophy, 38 (4): 479–502, doi:10.1353/hph.2005.0033
- ^ Ahmad, J. (September 1994) "Ibn Rushd". Monthly Renaissance. 4 (9), Dicapai 3 Disember 2019.
- ^ Learman, Oliver (2006). The Biographical Encyclopedia of Islamic Philosophy. Thoemmes. h. 151. ISBN 1843711486.
- ^ "Myth 4. That Medieval Islamic Culture was Inhospitable to Science" in Ronald L. Numbers (ed.): Galileo Goes to Jail and Other Myths About Science and Religion, Harvard University Press, 2009, esp. hh. 39-40.
Bacaan lanjut
[sunting | sunting sumber]- Al-Ghazali. (1958, 1963) Tahāfut Al-Falasifah. Terjemahan oleh Sabih Ahmad Kamali (dalam bahasa Inggeris). Pakistan: Lahore.
- Delstone. (2009, 15 September) Tahāfut al-Falasafah (Incoherence of the Philosophers) – Abu Hamid Mumhammed al-Ghazali (Ulasan Tahāfut Al-Falasifah). Considered Islamic Book Reviews.
- Kennedy-Day, K. (1998) Aristotelianism in Islamic Philosophy (Aristotelianisme dalam falsafah Islam) (dalam bahasa Inggeris). Muslim Philosophy. Routledge.
- Marmura, M. E. (2002) Al-Ghazali's The Incoherence of the Philosophers. (edisi ke-2). Brigham Young University Press. Terjemahan Inggeris Tahāfut Al-Falasifah serta teks Arab. ISBN 0-8425-2466-5