Tenaga pengikatan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Fizik nuklear
CNO Cycle.svg
Pereputan radioaktif
Pembelahan nuklear
Pelakuran nuklear

Tenaga pengikatan ialah tenaga mekanikal yang diperlukan untuk meleraikan satu sistem kepada bahagian-bahagian berbeza. Sistem yang terikat biasanya mempunyai tenaga keupayaan yang lebih rendah daripada jumlah bahagian-bahagiannya — inilah yang mengekalkan sistem ini bersama-sama. Selalunya ia bermaksud tenaga dilepaskan sewaktu pembentukan keadaan terikat. Takrifan ini membawa kepada tenaga pengikatan positif. (Takrifan ini juga menyebabkan kekeliruan. Misalnya, istilah yang biasa dalam kimia ialah 'tenaga pengikatan bebas', iaitu perbezaan antara keadaan terikat dan tidak terikat dan nilainya negatif).

Gambaran umum[sunting | sunting sumber]

Secara amnya, tenaga pengikatan melambangkan kerja mekanikal yang perlu dijalankan melawan daya-daya yang memegang satu objek bersama-sama, meleraikan objek kepada bahagian-bahagian tertentu yang terasing pada jarak yang cukup jauh sehinggakan pemisahan seterusnya memerlukan tenaga tambahan yang boleh tidak dikira.

Pada paras atom, tenaga pengikatan atom satu atom diterbitkan daripada interaksi elektromagnet dan ialah tenaga yang diperlukan untuk meleraikan atom kepada elektron bebas dan nukleus. Tenaga pengikatan elektron ialah ukuran tenaga yang diperlukan untuk membebaskan elektron-elektron daripada orbit atomnya. Ini biasanya lebih dikenali sebagai tenaga pengionan.

Pada paras nuklear, tenaga pengikatan juga bersamaan dengan tenaga yang dibebaskan apabila satu nukleus dihasilkan daripada nukleon atau nuklei yang lain. Tenaga pengikatan nuklear ini (tenaga pengikatan nukleon kepada nuklid) diterbitkan daripada daya nuklear (sisa interaksi kuat) dan ialah tenaga yang diperlukan untuk meleraikan nukleus kepada jumlah neutron dan proton bebas dan tidak terikat yang sama dengan jumlah yang membentuk nukleus, sehinggakan nukleon-nukleon berada cukup jauh antara satu sama lain sehinggakan daya nuklear tidak lagi menyebabkan zarah-zarah untuk berinteraksi.

Dalam astrofizik, tenaga pengikatan graviti jasad samawi ialah tenaga yang diperlukan untuk mengembangkan bahan itu sehingga tidak terhingga. Kuantiti ini jangan dikelirukan dengan tenaga keupayaan graviti, iaitu tenaga yang diperlukan untuk mengasingkan dua jasad, seperti jasad samawi dan satelit, sejauh tidak terhingga sementara mengekalkan bentuk kedua-dua jasad (tenaga ini lebih rendah nilainya).

Dalam sistem terikat, sekiranya tenaga pengikatan dikeluarkan daripada sistem, ia perlu ditolak daripada jisim sistem tidak terikat kerana tenaga ini ada jisim. Oleh itu, jika tenaga dikeluarkan (atau dipancarkan) daripada sistem pada masa ia terikat, kehilangan tenaga daripada sistem itu juga akan menyebabkan kehilangan jisim tenaga itu daripada sistem tersebut. Jisim sistem tidak diabadikan di dalam sistem ini kerana sistem ini "terbuka" (dengan kata lain, ia bukannya sistem yang terasing daripada kemasukan atau keluaran jisim atau tenaga) sewaktu proses pengikatan.