Trieu Thi Trinh

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Triệu Thị Trinh (bahasa Cina-Vietnam: 趙氏貞 ; 2 Oktober 225 - 248), juga dikenali sebagai Triệu Ẩu (趙嫗) atau Bà Triệu (Lady Trieu), ialah hulubalang wanita Vietnam yang berjaya menentang pihak Cina buat suatu tempoh semasa pendudukan mereka di Vietnam pada abad ke-3. Beliau telah diperihalkan sebagai "Joan dari Arc" versi Vietnam.

Masa awal[sunting | sunting sumber]

Dilahirkan di Kampung Son Trung, Daerah Trieu Son, provinsi Thanh Hoa (di Vietnam Utara masa kini), Triệu Thị Trinh menjadi anak yatim piatu ketika masih muda lagi, dan tinggal dengan abang serta isterinya sehingga berumur 20 tahun. Beliau dikatakan diperlakukan sebagai abdi di rumah abangnya.

Ketika berumur 20 tahun, Triệu Thị Trinh tidak tahan lagi melihat sikap tidak hormat China terhadap Vietnam ketika beliau menyaksikan kekejaman orang Cina yang dikenakan pada rakyatnya serta penganiayaan yang disinonimkan dengan proses pencinaan. Beliau melarikan diri ke dalam hutan dan mengasaskan sebuah kem tentera sendiri dan berjaya mengumpulkan sekurang-kurangnya seribu orang askar lelaki dan wanita.

Pemberontakan[sunting | sunting sumber]

Triệu Thị Trinh berjaya membebaskan sebuah kawasan di Vietnam dan memulakan sebuah pentadbiran sendiri di wilayah tersebut. Ketika Thị Trinh berumur 23 tahun, beliau menewaskan kemaraan tentera Cina sebanyak tiga puluh kali berasingan. Beliau berupaya mempertahankan wilayahnya buat beberapa bulan, dan dikatakan berpakaian baju zirah emas serta memegang sebilah pegang dengan setiap tangannya semasa menunggang gajah dalam perang. Suatu petikan Cina pada masa itu berkata: "Adalah lebih mudah untuk melawan harimau, berbanding dengan melawan si Permaisuri."

Bagaimanapun pada tahun 248, tentera Cina akhirnya menewaskan tentera Thị Trinh dan menawan semula wilayah yang dibebaskan Thị Trinh. Untuk melindungi maruahnya serta untuk mengelakkan kematian di tangan orang Cina, Thị Trinh membunuh diri melalui mati lemas di sebatang sungai yang berhampiran. Terdapat lagi suatu versi bunuh dirinya yang mengatakan bahawa beliau diinjak-injak oleh gajah-gajahnya sehingga mati.

Kesan[sunting | sunting sumber]

Cerita-cerita Triệu Thị Trinh dan hulubalang-hulubaang wanita yang terkenal seperti Trung Bersaudari, telah disebut oleh sesetengah ahli sejarah sebagai bayangan bahawa masyarakat Vietnam sebelum pencinaan merupakan sebuah masyarakat kuasa ibu, dengan tiadanya sebarang halangan terhadap peranan kepimpinan wanita.

Triệu Thị Trinh merupakan srikandi Vietnam yang amat terkenal, dengan banyak jalan raya di kota-kota Vietnam serta sebahagian Hanoi dinamai sempena namanya. Sebuah hari kelepasan negara juga didedikasikan untuk memperingatinya.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]