Tulang rahang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Tulang rahang paus sperma

Bagi haiwan vertebrat, tulang rahang, rahang bawah atau mandibel merupakan tulang yang membentuk tengkorak bersama kranium.

Pada ikan bersirip kuping dan tetrapod purba, tulang yang homolog dengan tulang rahang haiwan adalah sekadar yang terbesar daripada beberapa batang tulang dalam rahang bawah. Untuk haiwan-haiwan sedemikian, tulang ini dipanggil tulang dentari dan membentuk tubuh permukaan luar rahang. Tulang dentari bercantum dengan beberapa batang tulang limpa di bawah, sementara sudut rahang dibentuk oleh sebatang tulang bersudut di bawah dan sebatang suprangular di atasnya. Permukaan dalam rahang digarisi oleh tulang prasendi, sementara tulang sendi membentuk persendian dengan tengkorak sebenar. Akhirnya, satu set tiga batang tulang koronoid yang tirus terletak di atas tulang prasendi. Kebanyakan giginya terpasang pada dentari, tetapi juga terdapat gigi pada tulang koronoid dan prasendi.[1]

Corak primitif yang rumit ini telah sedikit sebanyak diringkaskan untuk kebanyakan vertebrat kerana tulang-tulang berkenaan telah melakur atau lesap sama sekali. Bagi ikan teleost hanya tinggal tulang dentari, sendi dan sudut, sementara dentari amfibia masa kini hanya diiringi oleh prasendi (dan sebatang koronoid untuk salamander). Rahang bawah reptilia cuma ada sebatang tulang koronoid dan limpa, tetapi mengekalkan kesemua tulang primitif yang lain kecuali prasendi dan periosteum.[1]

Pelbagai tulang sedemikian telah melakur menjadi satu untuk burung, tetapi hampir lesap sama sekali untuk mamalia; hanya tinggal dentari yang besar sebagai satu-satunya tulang dalam rahang bawah, iaitu mandibel. Natijahnya, persendian rahang purba antara tulang sendi dan tulang kuadrat telah hilang dan diganti dengan persendian yang berbeza sama sekali antara tulang rahang dan tulang temporal. Peringkat pertengahan boleh dilihat pada sesetengah terapsid, yang mana terdapat kedua-dua titik persendian. Selain dentari, hanya beberapa batang tulang yang lain dari rahang rendah primitif yang kekal dalam mamalia; bekas tulang sendi dan kuadrat telah menjadi maleus dan inkus di tengah salur telinga.[1]

Akhir sekali, ikan berawan seperti ikan yu ketiadaan tulang yang terdapat di rahang bawah vertebrat lain. Sebaliknya, rahang bawahnya terdiri daripada struktur rawan yang berhomolog dengan rawan Meckel dalam kelompok hidupan yang lain. Ini juga kekal sebagai unsur rahang yang penting dalam sesetengah ikan bertulang yang primitif seperti sturgeon.[1]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. 1.0 1.1 1.2 1.3 Romer, Alfred Sherwood; Parsons, Thomas S. (1977). The Vertebrate Body. Philadelphia, PA: Holt-Saunders International. m/s. 244–247. ISBN 0-03-910284-X. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]