Pergi ke kandungan

Tularemia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Tularemia
Pengelasan dan sumber luaran
Lesion tularemia pada kulit dorsal tangan kanan manusia.
ICD-10A21
ICD-9021
P. Data Penyakit13454
MedlinePlus000856
eMedicinemed/2326 emerg/591 ped/2327
MeSHD014406
Wikipedia tidak memberikan nasihat perubatan Penafian perubatan

Tularemia (juga dikenali sebagai wabak Lembah Pahvant,[1] demam arnab,[1] atau demam Ohara [2]:286) ialah sejenis penyakit berjangkit serius yang disebabkan oleh bakteria Francisella tularensis.[3] Bakteria tersebut yang merupakan kokobasilus bukan motil Gram-negatif ini terbahagi kepada beberapa subspesies yang berbeza-beza tahap kevirulenannya. Yang paling penting ialah F. tularensis tularensis (Jenis A), yang terdapat dalam lagomorfa di Amerika Utara dan sangat mudarat bagi manusia dan arnab jinak. F. tularensis palaearctica (Jenis B) banyak dihidap oleh rodensia akuatik (beaver, muskrat) di Amerika Utara, dan juga kelinci dan rodensia kecil di Eurasia utara, tetapi kurang mudarat bagi manusia dan arnab.[4] Vektor utamanya ialah sengkenit dan lalat Chrysops, tetapi penyakit ini juga boleh direbakkan oleh jenis-jenis artropod yang lain.[3] Penyakit ini dinamakan sempena Kaunti Tulare, California.

Epidemiologi

[sunting | sunting sumber]

Penyakit ini endemik di North America, dan sesebahagian Eropah dan Asia. Cara penjangkitan yang paling biasa adalah melalui vektor artropod. Jenis-jenis sengkenit yang terlibat termasuk Amblyomma, Dermacentor, Haemaphysalis, dan Ixodes.[5] Rodensia dan arnab sering dijadikan perumah takungan,[6] tetapi jangkitan bawaan air menyumbangkan 5%–10% semua kes tularemia di Amerika Syarikat.[7] Tularemia juga boleh dijangkitkan melalui lalat yang menggigit, khususnya spesies Chrysops discalis. Seekor lalat ini boleh terus menjangkit selama 14 hari, dan sengkenit pula lebih 2 tahun. Tularemia juga boleh dijangkitkan dengan tersentuh haiwan atau bahan yang terjangkit secara langsung, memakan daging haiwan terjangkit yang tidak dimasak sebaiknya atau air yang tercemar, ataupun secara menarik nafas.

Manifestasi klinikal dan diagnosis mikrobiologi

[sunting | sunting sumber]

Bergantung pada tempat jangkitan, tularemia mempunyai enam sindrom klinikal yang tipikal, iaitu: ulserokelenjar (jenis paling biasa yang mewakili 75% daripada semua bentuk), kelenjar, orofarinks, pneumonia, okulokelenjar, dan tifoid.[8]

Tempoh pengeraman tularemia adalah 1 hingga 14 hari; kebanyakan jangkitan manusia menjadi ketara selepas 3 hingga 5 hari.[9] Bagi mamalia-mamalia yang paling terdedah kepada penyakit ini, petanda-petanda klinikalnya termasuk demam, kelesuan, anoreksia, tanda-tanda septisemia, dan mungkin juga kematian. Haiwan jarang mengalami lesion kulit yang terdapat pada manusia. Jangkitan subklinikal juga biasa, maka setiap haiwan sering menghasilkan antibodi yang khusus untuk jenisnya. Demamnya sederhana hingga sangat panas, dan pada tahap inilah basilus tularemia boleh diasingkan daripada kultur darah. Muka dan mata menjadi merah dan meradang. Keradangan merebak lalu membesarkan nodus limfa, dan boleh menyebabkan nanah (seolah-olah wabak bubonik). Penglibatan nodus limfa diiringi oleh demam panas. Kebarangkalian haiwan itu mati hanya 1% jika terapi dilaksanakan segera.

Satu kultur Francisella tularensis.

Ahli mikrobiologi mesti dimaklumkan bila tularemia disyaki kerana F. tularensis memerlukan bahantara khas untuk pengkulturan, seperti eksrak yis arang bertimbal. Kuman ini tidak boleh diasingkan dalam bahantara kultur yang rutin kerana perlunya penderma kumpulan sulfhidril (seperti sistein). Ujian serologi (pengesanan antibodi dalam serum pesakit) banyak terdapat dan digunakan. Ketindakbalasan silang dengan Brucella boleh mengaburi tafsiran hasilnya, oleh itu diagnosis tidak patut hanya bergantung pada serologi. Kaedah-kaedah molekul seperti reaksi rantai polimerase terdapat dalam makmal rujukan.

Bakteria ini boleh menembusi badan melalui membran kulit dan mukus yang rosak, ataupun melalui penarikan nafas. Manusia paling sering dijangkiti oleh gigitan sengkenit atau perbuatan mengurus haiwan yang terjangkit. Pengingesan air, tanih atau makanan yang terjangkit juga menyebabkan jangkitan. Golongan pemburu juga mendapat risiko tinggi menghidap penyakit ini atas sebab kemungkinan besar tersedut bakteria ketika proses mengulit buruan.

Francisella tularensis ialah sejenis bakteria intrasel, iaitu ia boleh hidup sebagai parasel di dalam sel perumah. Kuman ini terutamanya menjangkiti makrofaj, sejenis sel darah putih, justeru mampu terlepas dari sistem imun. Perjalanan penyakit ini melibatkan perebakan organisme tersebut ke dalam pelbagai sistem organ, termasuk paru-paru, hati, limpa, dan sistem limfa, tetapi berbeza-beza mengikut laluan keterdedahan. Kadar kematian pesakit yang tak terawat (pada zaman sebelum terciptanya antibiotik) adalah setinggi 50% bagi bentuk-bentuk pneumonia dan tifoid penyakit ini yang hanya menyumbang tak lebih 10% kes jangkitan keseluruhan.[10] Kadar kematian keseluruhan adalah 7% bagi kes yang tak terawat, maka penyakit ini mudah dibasmi oleh antibiotik dengan kadar kematian sekitar 1% sahaja. Punca kematian yang sebetulnya tidak dipastikan, tetapi disangkakan sebagai kegagalan berbilang sistem organ serentak.

Rawatan dan pencegahan

[sunting | sunting sumber]

Streptomisin merupakan ubat pilihan bagi tularemia.[11] Akan tetapi, tularemia juga boleh dirawat dengan gentamicin selama 10 hari, drug kelas tetrasiklin seperti doxycycline selama 2–3 minggu,[12] kloramfenicol atau fluorokuinolon.

Tularemia sebagai senjata biologi

[sunting | sunting sumber]

Pusat-Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit memandang F. tularensis sebagai sejenis agen biosenjata yang berdaya maju. Malah, spesies bakteria ini disertakan dalam program peperangan biologi Amerika Syarikat, Soviet dan Jepun dalam sejarah.[13] Seorang bekas saintis senjata biologi Soviet, Kenneth Alibek, pernah mendakwa bahawa wabak Tularemia di kalangan askar Jerman tidak lama sebelum serangan Stalingrad adalah disebabkan tindakan tentera Soviet melepaskan F. tularensis, tetapi hujah tersebut ditolak oleh pihak lain yang pernah mengkaji wabak tersebut.[14] Di AS, penyelidikan amali terhadap penggunaan demam arnab sebagai biosenjata diadakan di Pine Bluff Arsenal, Arkansas pada tahun 1954, sebagai lanjutan program Camp Detrick.[15] Oleh itu, bakteria tularemia ini dianggap sebagai agen yang menarik kerana:

  • ia mudah disimpan dalam aerosol
  • ia amat berjangkit; 10-50 bakteria diperlukan untuk menjangkit
  • ia tidak tahan lama dan mudah didekontaminasikan (berbeza dengan antraks)
  • ia cepat melumpuhkan orang terjangkit
  • kemautannya agak rendah, oleh itu berguna di mana askar musuh dekat dengan bukan penempur, misalnya orang awam
  1. ^ a b Rapini, Ronald P.; Bolognia, Jean L.; Jorizzo, Joseph L. (2007). Dermatology: 2-Volume Set. St. Louis: Mosby. ISBN 1-4160-2999-0.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  2. ^ James, William D.; Berger, Timothy G.; dll. (2006). Andrews' Diseases of the Skin: clinical Dermatology. Saunders Elsevier. ISBN 0-7216-2921-0. Explicit use of et al. in: |author= (bantuan)CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  3. ^ a b Ryan KJ, Ray CG (editors) (2004). Sherris Medical Microbiology (ed. 4th). McGraw Hill. m/s. 488–90. ISBN 0838585299.CS1 maint: extra text: authors list (link)
  4. ^ Pearson A (1998). Zoonoses: biology, clinical practice, and public health control (Soulsby EJ, Palmer SL eds.). Oxford [Oxfordshire]: Oxford University Press. m/s. 276–9. ISBN 0-19-262380-X.
  5. ^ George W. Beran; James H. Steele (22 Oktober 1994). Handbook of Zoonoses: Bacterial, rickettsial, chlamydial, and mycotic. CRC Press. m/s. 117–. ISBN 9780849332050. Dicapai pada 28 Oktober 2010.
  6. ^ Mörner T (1992). "The ecology of tularaemia". Rev. Sci. Tech. 11 (4): 1123–30. PMID 1305858. Unknown parameter |month= ignored (bantuan)
  7. ^ Jellison WL, Owen C, Bell JF, Kohls GM (1961). "Tularemia and animal populations". Wildl Dis. 17: 1–22.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  8. ^ Plourde PJ, Embree J, Friesen F, Lindsay G, Williams T (1992). "Glandular tularemia with typhoidal features in a Manitoba child". CMAJ. 146 (11): 1953–5. PMC 1490377. PMID 1596844. Unknown parameter |month= ignored (bantuan)CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  9. ^ Office international des épizooties. (2000). Manual of standards for diagnostic tests and vaccines: lists A and B diseases of mammals, birds and bees. Paris, Perancis: Office international des épizooties. m/s. 494–6, 1394. ISBN 92-9044-510-6.
  10. ^ "Tularemia: Current, comprehensive information on pathogenesis, microbiology, epidemiology, diagnosis, treatment, and prophylaxis". CIDRAP. Dicapai pada 2008-09-29.
  11. ^ Enderlin G, Morales L, Jacobs RF, Cross JT (1994). "Streptomycin and alternative agents for the treatment of tularemia: review of the literature". Clin. Infect. Dis. 19 (1): 42–7. PMID 7948556. Unknown parameter |month= ignored (bantuan)CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  12. ^ "Tularemia: FAQ About Tularemia". CDC. 2003-10-08. Dicapai pada 2008-09-29.
  13. ^ Dennis DT, Inglesby TV, Henderson DA; dll. (2001). "Tularemia as a biological weapon: medical and public health management". JAMA. 285 (21): 2763–73. doi:10.1001/jama.285.21.2763. PMID 11386933. Unknown parameter |month= ignored (bantuan); Explicit use of et al. in: |author= (bantuan)CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  14. ^ Sjöstedt A (2007). "Tularemia: history, epidemiology, pathogen physiology, and clinical manifestations". Ann. N. Y. Acad. Sci. 1105: 1–29. doi:10.1196/annals.1409.009. PMID 17395726. Unknown parameter |month= ignored (bantuan)[pautan mati kekal]
  15. ^ Kanti Ghosh, Tushar, Prelas, Mark, Viswanath, Dabir: Science and Technology of Terrorism and Counterterrorism. CRC Press, 2002. Page 97. ISBN 0-8247-0870-9

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]