Mikroplastik

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Gentian mikroplastik yang dikenalpasti dalam persekitaran marin
a) Padang bola sepak sintetik ditabur getah tayar halus (ground tyre rubber, GTR) untuk tujuan pengkusyenan.
b) Butiran mikroplastik dari padang tersebut yang dijumpai di sebatang anak sungai yang berdekatan hasil bawaan air hujan.

Mikroplastik ialah partikel-partikel plastik yang dijumpai dalam alam sekitar. Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Amerika Syarikat mengkelaskan jenis plastik ini berdasarkan saiznya yang kurang daripada 5 mm,[1] namun ada juga pertikaian yang dibincangkan mengenai spesifikasi ini. Parikel-partikel ini datang daripada pelbagai sumber, termasuk kosmetik, pakaian, dan proses industri.

Mikroplastik datangnya dalam dua kelas: jenis primer hasil penggunaan bahan mentah dan produk oleh manusia, dan jenis sekunder iaitu sisa plastik mikroskopik hasik penguraian puing plastik yang lebih besar. Kedua-dua jenis mikroplastik ini dikenalpasti bersifat tahan lasak dalam alam sekitar pada tahap yang tinggi, terutamanya di ekosistem-ekosistem akuatik dan laut.

Sifat plastik yang tidak mudah mengurai meskipun selepas bertahun-tahun menjadikannya mudah ditelan dan terkumpul dalam badan dan tisu kebanyakan organisma.[2] Keseluruhan kitaran mikroplastik tidaklah begitu diketahui, namun penyelidikan giat dijalankan untuk memahami isu ini.

Saintis dari Vrije Universiteit Amsterdam Belanda melakukan kajian ke atas 22 sukarelawan dan telah menemukan cebisan mikroplastik dalam sampel darah yang diambil.[3]

Jenis[sunting | sunting sumber]

Mikroplastik primer[sunting | sunting sumber]

Partikel-partikel mikroskopik ini dihasilkan secara sengajanya untuk tujuan tertentu seperti dalam bahan pencuci muka (menggantikan bahan semulajadi terdahulu yang bertujuan sama seperti badam, oat atau pumis) dan kosmetik, malah juga sebagai bahan vektor untuk dadah tertentu.[4] Partikel ini turut digunakan dalam proses pembagasan udara (air blasting) bertujuan membersihkan jentera, enjin dan badan kapal dengan butiran akrilik, melamin atau poliester untuk menanggalkan karat dan lapisan cat, namun ia sering dicemari logam berat seperti kadmium, kromium dan plumbum selepas beberapa kali digunakan.[5]

Mikroplastik sekunder[sunting | sunting sumber]

Mikroplastik jenis ini terhasil daripada penguraian kepingan plastik yang lebih besar melalui banyak unsur fizikal, biologi dan kimia lalu menjadi semakin terhakis. Faktor ini dapat dikenalpasti berdasarkan bentuk partikel yang kelihatan tidak sekata.[6]

Impak yang berkemungkinan[sunting | sunting sumber]

Mikroplastik sering masuk ke dalam tisu haiwan melalui penelanan atau pernafasan, di mana partikel-partikel ini boleh kekal dalam badan organisma selama sekurang-kurangnya 14 hari sebelum ditinja (berbanding 2 hari pada kadar biasa), namun keadaan ini boleh dijejaskan dengan lebih lanjut lagi apabila partikel terperangkap dalam insang haiwan tertentu.[7] Mikroplastik turut boleh menyerap bahan pencemar kimia yang boleh disebarkan ke dalam tisu badan organisma.[8] Tambahan lagi, haiwan yang bersaiz kecil pula berisiko kekurangan makanan akibat disangka kenyang atau kecederaan fizikal yang lain memakan partikel sebegini. Kesemua aspek ini berkait rapat dengan kesannya kepada manusia yang menjadikan makananan laut sebagai suatu sumber protein yang utama, terutamanya dalam kalangan satu perlima daripada penduduk dunia.[9]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Arthur, Courtney; Baker, Joel; Bamford, Holly (Januari 2009). "Proceedings of the International Research Workshop on the Occurrence, Effects and Fate of Microplastic Marine Debris". NOAA Technical Memorandum.
  2. ^ Grossman, Elizabeth (15 Januari 2015). "How Plastics from Your Clothes Can End up in Your Fish". Time.
  3. ^ Saharudin, Effi (25 Mac 2022). "Partikel Plastik Ditemukan Pula Dalam Darah Manusia". Amanz. https://amanz.my/2022331633/
  4. ^ Patel, M.M.; Goyal, B.R.; Bhadada, S.V.; Bhatt, J.S.; Amin, A.F. (2009). "Getting into the brain: approaches to enhance brain drug delivery". CNS Drugs. 23: 35–58. doi:10.2165/0023210-200923010-00003.
  5. ^ Cole Matthew (2011). "Microplastics as contaminants in the marine environment: A review". Marine Pollution Bulletin. 62: 2588–2597. doi:10.1016/j.marpolbul.2011.09.025.
  6. ^ Browne, Mark A. (1 Januari 2015). Bergmann, Melanie; Gutow, Lars; Klages, Michael (penyunting). Sources and Pathways of Microplastics to Habitats (dalam bahasa Inggeris). Springer International Publishing. m/s. 229–244. doi:10.1007/978-3-319-16510-3_9. ISBN 9783319165097.
  7. ^ Akpan, Nsikan (8 Julai 2014). "Microplastics Lodge in Crab Gills and Guts". Science News.
  8. ^ Wardrop, Peter; Shimeta, Jeff; Nugegoda, Dayanthi; Morrison, Paul D.; Miranda, Ana; Tang, Min; Clarke, Bradley O. (2016-04-05). "Chemical Pollutants Sorbed to Ingested Microbeads from Personal Care Products Accumulate in Fish". Environmental Science & Technology. 50 (7): 4037–4044. doi:10.1021/acs.est.5b06280. ISSN 0013-936X.
  9. ^ Tabung Alam Sedunia: "Unsustainable fishing", 2010