Antonius dan Cleopatra

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Antonius dan Cleopatra oleh Lawrence Alma-Tadema.

Antonius and Cleopatra adalah sebuah kisah tragedi karya William Shakespeare. Drama ini mula-mula dicetak dalam First Folio 1623. Plotnya berasaskan terjemahan Thomas North ke atas karya Riwayat Bangsawan Yunani dan Rom oleh Plutarch, mengikuti hubungan cinta antara Cleopatra dengan Mark Antonius dari ketika pemberontakan Sicily hinggalah pembunuhan diri Cleopatra sewaktu Perang Terakhir Republik Rom. Antagonis utamanya ialah Octavius Caesar, iaitu rakan sejawat Antonius dan bakal Maharaja Rom yang pertama. Tragedi ini merupakan drama Rom yang bercirikan anjakan panorama dari segi latar tempat dan laras, berulang-alik antara Iskandariah yang mengghairahkan dan penuh khayalan dengan Rom yang lebih pragmatik dan susila.

Peranan Cleopatra dalam drama ini dianggap ramai sebagai antara watak perempuan yang paling kompleks dalam seluruh karya Shakespeare.[1]:p.45 Cleopatra sering bersikap angkuh dan dramatik hingga membuat penonton ingin mencemuhnya; pada masa yang sama, usaha-usaha Shakespeare melaburi Cleopatra dan Antonius dengan kemegahan tragis. Ciri-ciri yang bercanggahan ini telah menyebabkan ulasan kritis yang berbelah-bahagi.[2]

Sinopsis[sunting | sunting sumber]

Cleopatra oleh John William Waterhouse (1888)

Mark Antonius – salah seorang Pemerintah Bertiga Rom di samping Octavian dan Lepidus – telah mengabaikan tugas-tugas ketenteraannya setelah ditawan hati oleh Cleopatra, Ratu Mesir. Dia mengabaikan masalah dalaman Rom, termasuklah kenyataan bahawa isteri ketiganya, Fulvia memberontak terhadap Octavian lalu terkorban.

Octavian menyuruh Antonius pulang ke Rom dari Iskandariah untuk bersama-sama melawan Sextus Pompey, Menecrates, dan Menas, iaitu tiga maha lanun Mediterranean. Di Iskandariah, Cleopatra merayu kepada Antonius supaya tidak pergi; walaupun Antonius mengiyakan cinta yang ghairah dan ikhlas terhadap Cleopatra, namun dia pergi juga.

Sementara di Rom, seorang jeneral mengemukakan cadangan agar Antonius dikahwinkan dengan adinda Octavian iaitu Octavia demi mengukuhkan silaturahim antara Antonius dan Octavian. Akan tetapi, Enobarbus iaitu leftenan kepada Antonius yakin bahawa Octavia tidak boleh sesekali memuaskan hatinya berbanding Cleopatra. Enobarbus memerikan daya tarikan Cleopatra dalam rangkap yang berikut:

Age cannot wither her,
nor custom stale
Her infinite variety:
other women cloy
The appetites they feed
but she makes hungry
Where most she satisfies.

Tak akan dia layu dek usia,
atau basi dek adat
Ragamnya tak terhingga:
dicemburui wanita lain
Perut yang diisi mereka
dilaparkannya semula
Yang mana dia paling memuaskan.

Seorang tukang ramal memberi Antonius amaran bahawa dia pasti tewas seandainya dia sesekali cuba menentang Octavian.

Di Mesir, Cleopatra mendapat khabar akan perkahwinan Antonius dengan Octavia lalu membalas dendam dengan murkanya terhadap utusan yang menyampaikan beritanya. Dia hanya berpuas hati apabila para orang istananya memujuknya bahawa Octavia itu hina: berbadan bantut, rendah cita rasa, berwajah bulat dan berambut kusut.

Pada suatu persemukaan, para pemerintah bertiga berunding dengan Sextus Pompey untuk menawarkan kedamaian sementara. Sextus boleh menyimpan Sicily dan Sardinia asalkan dapat menolong mereka "menghapuskan lanun di laut" serta menghantarkan mereka ufti. Setelah teragak-agak sebentar, Sextus akur. Maka mereka berjamuan hingga mabuk di atas ghali Sextus, tetapi Octavian yang mulia meninggalkan jamuan awal-awal dalam keadaan tidak mabuk. Menas menghasut Sextus untuk membunuh ketiga-tiga pemerintah itu dan merampas tampuk pemerintahan Rom, tetapi dia enggan kerana terasa malu. Kemudian, Octavian dan Lepidus memutuskan perdamaian dengan Sextus lalu berperang terhadapnya. Ini membuat Antonius tidak senang dan marah.

Antonius kembali ke Iskandariah, Mesir lalu menabalkan dirinya dengan Cleopatra sebagai pemerintah Mesir dan juga sepertiga timur wilayah Empayar Rom (iaitu bahagian Antonius selaku seorang pemerintah bertiga). Antonius menuduh Octavian tidak berkongsi adil wilayah Sextus dengannya, malah berasa marah bahawa Lepidus dipenjarakan oleh Octavian dan tersingkir dari pemerintahan bertiga. Octavian akur kepada tuntutan pertama, tetapi tetap marah dengan perbuatan Antonius.

Dalam gambaran barok ini, Pertempuran Actium oleh Lorenzo A. Castro (1672), Cleopatra (kiri bawah) melarikan diri dengan menaiki kapal yang dengan angkuk Fortuna.

Antonius bersiap untuk memerangi Octavian. Enobarbus menggesa Antonius untuk bertarung di atas daratan demi kelebihan, daripada laut di mana tentera laut Octavius lebih ringan, lebih senang bergerak dan lebih terlatih. Antonius ingkar kerana dicabar oleh Octavian untuk bertarung di laut. Cleopatra menyandarkan tentera lautnya untuk membantu Antonius. Bagaimanapun, sewaktu Perang Actium di tepi pantai barat Yunani, Cleopatra melarikan diri dengan seangkatan 60 kapalnya, maka Antonius mengekorinya sambil meninggalkan bala tenteranya dalam kehancuran. Dengan rasa serba salah atas perbuatannya demi cintanya kepada Cleopatra, Antonius menegur ratunya kerana menjadikannya seorang pengecut, tetapi juga mementingkan cinta yang tulus ikhlas ini daripada segala-galanya dengan meminta kuncupan.

Octavian menghantar seorang utusan untuk meminta Cleopatra supaya menyerahkan Antonius dan datang menghadapnya. Cleopatra teragak-agak lalu bermain cinta dengan utusan itu, tetapi disampuk oleh Antonius yang mengetuk kelakuan Cleopatra sekeras-kerasnya. Antonius menjatuhkan hukuman sebat ke atas utusan itu. Akhirnya, Antonius memaafi Cleopatra serta berikrar untuk bertarung sekali lagi demi ratunya, kali ini di atas daratan.

Pada hari sebelum pertempuran, bala tentera Antonius terdengar petanda-petanda aneh yang ditafsirkan mereka sebagai Hercules yang berhenti melindungi Antonius. Lebih-lebih lagi, Enobarbus sebagai leftenan setia Antonius berpaling tadah lalu berpihak dengan Octavian. Daripada merampas harta benda Enobarbus yang tidak dibawa perginya apabila berlari, Antonius mengarahkan supaya ianya dihantar kepada Enobarbus. Enobarbus tertawan oleh kemurahan hati Antonius, malah begitu serba salah dengan ketidaksetiaan dirinya, hingga dia mati kerana luluh hati.

Antonius kalah dalam peperangan apabila bala tenteranya berpaling tadah beramai-ramai, lalu dia mengecam Cleopatra kerana belot kepadanya dan berazam untuk membunuhnya. Cleopatra berfikir bahawa satu-satunya cara untuk menawan semula cinta Antonius adalah menghantarkannya khabar bahawa dia membunuh dirinya sambil menyebut namanya. Cleopatra mengurungkan diri di tugunya sambil menunggu kembalinya Antonius.

Kemangkatan Cleopatra oleh Reginald Arthur (1892)

Rancangan Cleopatra gagal: daripada meluru kembali dengan rasa insaf untuk menjenguk Cleopatra yang "mati", Antonius memilih untuk membunuh diri dengan meminta salah seorang pembantunya, Eros, untuk merodoknya dengan pedang, tetapi Eros membunuh dirinya pula kerana tidak sanggup melakukannya. Antonius kagum akan keberanian Eros lalu cuba melakukan yang sedemikian, tetapi hanya mampu mencederakan dirinya. Sambil menanggung kesakitan yang teruk, Antonius menyedari bahawa Cleopatra sesungguhnya masih hidup. Dia diangkat kepada ratunya di tugu lalu menghembuskan nafas terakhir dalam dakapannya.

Octavian bersemuka dengan Cleopatra untuk menggesanya supaya menyerah kalah. Cleopatra dengan murkanya menolak kerana terbayangkan seteruk-teruknya dirinya diarakkan sambil berantai di sepanjang jalan-jalanan Rom lalu diburuk-burukkan namanya sepanjang zaman. Keluhnya:

the quick comedians
Extemporally will stage us, and present
Our Alexandrian revels:

Antony
Shall be brought drunken forth,
and I shall see
Some squeaking Cleopatra boy my greatness
I' th' posture of a whore

Para pelawak yang tangkas
Akan spontan mementaskan kami, dan mempersilakan
Temasya Iskandariah kami:

Antonius
Akan dihadapkan sambil mabuk,
maka akan kulihat
Alahai Cleopatra si budak nyaring
Berlagak bagai perempuan murahan

Ucapan ini penuh dengan ironi dramatis kerana pada zaman Shakespeare, Cleopatra sesungguhnya dilakonkan oleh budak lelaki yang belum baligh, malah pementasan Shakespeare sememangnya menggambarkan pesta pora kemabukan Antonius.

Cleopatra dikhianati lalu ditawan oleh pihak Rom. Dia memberi Octavian apa yang dikatakannya sebagai perkiraan yang lengkap tentang harta bendanya, tetapi dikhianati pula oleh bendaharinya yang mendakwa Cleopatra menggelapkan sesetengah khazanahnya. Octavian memujuk Cleopatra bahawa dia tidak berminat dengan harta bendanya, tetapi Dolabella berpesan kepada Cleopatra bahawa Octavian berhasrat untuk memperarakkannya di sambutan kemenangannya.

Cleopatra membunuh dirinya dengan menggunakan racun ular asp. Maka dia menghembuskan nyawa terakhir dengan tenang dan gembira sekali, terbayangkan pertemuan semulanya dengan Antonius di alam seterusnya. Pembantu-pembantunya, Iras dan Charmian turut membunuh diri sekali. Octavian menemui mayat-mayat mereka lalu mengalami emosi yang bercampur-campur. Pemergian Antonius dan Cleopatra membolehkan Octavian untuk menjadi Maharaja Rom yang pertama, tetapi dia turut terasa simpati kepada mereka:

She shall be buried by her Antony.
No grave upon the earth shall clip in it
A pair so famous..."

Akan dia dikebumikan di sisi Antonius-nya.
Jangan ditandainya dengan sebarang batu nisan
Sepasangan yang begitu masyhur...

Maka Octavian menitahkan upacara persemadian rasmi buat mereka berdua.

Tarikh dan karangan[sunting | sunting sumber]

Faksimili halaman pertama Antony and Cleopatra dari First Folio, terbitan 1623.

Ramai ilmuwan berpendapat bahawa karya ini dikarang pada tahun 1606–07,[lower-alpha 1] tetapi ada juga yang mengemukakan tarikh yang lebih awal iaitu sekitar 1603–04.[10] Antonius dan Cleopatra disertakan dalam Stationers' Register (suatu bentuk hak cipta untuk karya cetak pada zaman dahulu) pada Mei 1608, tetapi nampaknya tidak tercetak hinggalah penerbitan First Folio pada tahun 1623. Oleh itu, First Folio adalah satu-satunya teks berwibawa yang wujud pada hari ini. Sesetengah ilmuwan berpendapat bahawa karya ini dipetik dari draf atau "kertas kotor" Shakespeare sendiri kerana terdapat kesilapan kecil pada label dialog dan arahan pentas yang disangkakan sebagai mencirikan si pengarang di tengah-tengah mengarang.[11]

Edisi moden memecahkan drama ini kepada struktur lima bab yang berasingan, tetapi seperti drama-drama terdahulu beliau, Shakespeare tidak membuat pembahagian bab-bab sebegitu. Dramanya disampaikan dalam 40 'adegan' berasingan, iaitu yang terbanyak dalam kesemua karya dramanya. Begitu pun, 'adegan' mungkin tidak sesuai untuk memerikannya kerana babak berubah-ubah dengan sungguh deras seakan-akan montaj. Begitu banyaknya adegan itu adalah perlu kerana aksinya kerap beralih-alih dari Iskandarian, Itali, Messina di Sicily, Syria, Athens dan lain-lain wilayah Mesir dan Empayar Rom. Drama ini mengandungi 34 orang watak bersuara, iaitu kebiasaan bagi drama Shakespeare yang sebegini besar.

Drama TV 1974 Antony dan Cleopatra

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. E. g., Wilders,[3]:p.69–75 Miola,[4]:p.209 Bloom,[5]:p.577 Kermode,[6]:p.217 Hunter,[7]:p.129 Braunmuller,[8]:p.433 and Kennedy.[9]:p.258

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Neill, Michael, ed. Antony and Cleopatra. Oxford: Oxford University Press, 1994
  2. Bevington, David, ed. Antonius and Cleopatra. Cambridge: Cambridge University Press, 1990: 12–14 ISBN 0521848334.
  3. Wilders, John (ed.) "Antony and Cleopatra" (Arden third series, 1995)
  4. Miola, Robert S. (2002). "Shakespeare's ancient Rome: difference and identity". In Hattaway, Michael. The Cambridge Companion to Shakespeare's History Plays. Cambridge University Press. doi:10.1017/CCOL052177277X. ISBN 0521775396. 
  5. Bloom, Harold. "Shakespeare: The Invention of the Human" (Riverhead Books, 1998) ISBN 157322751X.
  6. Kermode, Frank. "Shakespeare's Language" (Penguin, 2000) ISBN 014028592X.
  7. Hunter, G. K. (1986). "Shakespeare and the Traditions of Tragedy". In Wells, Stanley. The Cambridge Companion to Shakespeare Studies. Cambridge University Press. ISBN 0521318416. 
  8. A. R. Braunmuller and Michael Hattaway (eds.) "The Cambridge Companion to English Renaissance Drama" 2nd edition (Cambridge University Press, 2003) ISBN 0521527996
  9. Kennedy, Dennis (2001). "Shakespeare Worldwide". In de Grazia, Margreta; Wells, Stanley. The Cambridge Companion to Shakespeare. Cambridge: Cambridge University Press. doi:10.1017/CCOL0521650941. 
  10. Alfred Harbage Pelican/Viking editions of Shakespeare 1969/1977, preface.
  11. Wells, Stanley, and Gary Taylor. William Shakespeare: A Textual Companion. Oxford: Oxford University Press, 1987: 549 ISBN 039331667X.