Aparteid

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Aparteid bermaksud penyisihan dalam bahasa Afrikaans. Di Afrika Selatan, aparteid merujuk kepada pemisahan kaum kulit putih dari kaum bukan kulit putih. Hendrik Frensch Verwoerd iaitu perdana menteri Afrika Selatan ke-7, terkenal sebagai arkitek aparteid dan telah melaksanakannya secara berleluasa sewaktu pemerintahannya. Dalam dasar Aparteid, kaum bukan kulit putih (terutamanya kaum kulit hitam) dianggap sebagai lebih rendah dan diberi layanan kelas kedua dari segi politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan kebudayaan. Semua bentuk diskriminasi perkauman adalah sah dari segi undang-undang dan undang-undang telah disalahgunakan oleh pihak pemerintah kulit putih untuk memastikan kekuasaan atau dominasi mereka ke atas kaum majoriti iaitu kaum kulit hitam.

Dasar ini telah dilaksanakan dalam beberapa siri undang-undang perkauman di Afrika Selatan antara tahun 1948 hingga 1991. Dibawah dasar ini, rasisme telah dibenarkan dan ia menyentuh segala aspek kehidupan termasuklah larangan perkahwinan antara kulit putih dengan bukan kulit putih, tempat larangan untuk bangsa bukan kulit putih dan pekerjaan yang dikhaskan untuk orang berkulit putih sahaja. Kaum kulit hitam telah dipindahkan secara beramai-ramai ke beberapa buah "negara" yang dipanggil bantustan atau "homelands", supaya mereka hilang hak mengundi dan hak kerakyatan yang lain. Tindak-tanduk regim Aparteid jelas sekali bertentangan dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia.

Pada 1950, Akta Pendaftaran Penduduk menghendaki semua penduduk Afrika Selatan untuk diklasifikasikan kepada tiga kumpulan: putih, hitam (orang Afrika), atau berwarna (darah campur). Kumpulan berwarna termasuklah kumpulan India dan Asia. Jabatan Dalam Negeri adalah bertanggungjawab dalam menentukan klasifikasi ini dilaksanakan. Mereka yang menentang undang-undang perkauman akan dikenakan hukuman yang teruk. Semua penduduk kulit hitam diwajibkan membawa "pass book" sejenis kad pengenalan yang mengandungi cap jari, foto dan maklumat lain untuk memasuki kawasan kulit putih. Peristiwa berdarah di Sharpeville pada Mac, 1960 adalah disebabkan penentangan warga kulit hitam terhadap undang-undang tersebut. Lebihkurang 69 pemberontak terkorban sewaktu rusuhan itu.

Dasar aparteid akhirnya dimansuhkan pada 1994 apabila Nelson Mandela menjadi presiden kulit hitam pertama di Afrika Selatan. Namun demikian sehingga ke hari ini, kesannya telah mengakibatkan jurang pendapatan yang sangat ketara di antara kaum kulit putih dengan kulit hitam di negara ini.