Afrika Selatan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Koordinat: 30°S 25°E / 30°S 25°T / -30; 25

Rencana ini adalah tentang sebuah negara. Untuk rencana mengenai bahagian selatan benua Afrika, lihat Selatan Afrika
Republik Afrika Selatan
Republiek van Suid-Afrika
Republic of South Africa
Jata Afrika Selatan
Bendera
Moto: !ke e: ǀxarra ǁke  (ǀXam)
“Bersatu dalam Kepelbagaian”
(pada asalnya “Perpaduan Pelbagai Kaum”)
Lagu: Lagu Kebangsaan Afrika Selatan[1]
Ibu negara Pretoria (eksekutif)
Bloemfontein (kehakiman)
Cape Town (perundangan)
Bandar terbesar Johannesburg
Bahasa rasmi Bahasa Afrikaans, Inggeris, Zulu, Xhosa, Swati, Ndebele, Sotho Selatan, Sotho Utara, Tsonga, Tswana, Venda
Kerajaan Demokrasi Berparlimen
 -  Presiden Jacob Zuma
Kemerdekaan daripada United Kingdom
 -  Kesatuan 31 Mei 1910 
 -  Statute
   Westminster
11 Disember 1931 
 -  Republik 31 Mei 1961 
 -  Perairan (%) sedikit sahaja
Populasi
 -  2005 (anggaran) 47,432,000 (26)
 -  2001 (anggaran) 44,819,278
KDNK (PPP) 2005 anggaran
 -  Jumlah $570.2 bilion (18)
 -  Per kapita $12 161 (55)
HDI (2004) 0.653 (sederhana / 121)
Mata wang rand (ZAR)
Zon waktu SAST (UTC+2)
Kod panggilan 27
Internet TLD .za

Afrika Selatan adalah sebuah republik di selatan Afrika. Ia bersempadan dengan Namibia, Botswana dan Zimbabwe di utara, Mozambique dan Swaziland di timur laut. Manakala, keseluruhan negara Lesotho terletak di pedalaman Afrika Selatan. [1]

Pada suatu masa dahulu, kerajaan negara ini dikecam kerana dasar aparteidnya tetapi sekarang ia adalah sebuah negara demokratik dengan penduduk kulit putih terbesar di benua Afrika. Afrika Selatan merupakan negara pelbagai bangsa dan ia mempunyai 11 bahasa rasmi. Ia juga terkenal sebagai pengeluar berlian, emas dan platinum yang utama di dunia.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Untuk rencana lanjutan lihat: Sejarah Afrika Selatan

Afrika Selatan merupakan negara yang mempunyai kesan peninggalan di antara yang tertua di dunia.[2] Ramai puak telah menjadi penghuninya termasuklah puak Khoi, Bushmen, Xhosa dan Zulu. Peneroka Belanda telah tiba di sini pada 1652 dan mereka dikenali sebagai Afrikaner. Namun demikian, pihak British juga berminat dengan negara ini, terutamanya selepas penemuan berlian yang banyak. Ini telah mencetus Perang British-Belanda dan dua perang Boer. Pada 1910, empat republik utama telah digabungkan di bawah kesatuan Afrika Selatan. Pada 1931, Afrika Selatan telah menjadi jajahan British sepenuhnya.

Walaupun negara ini berada di bawah jajahan British, mereka terpaksa berkongsi kuasa dengan pihak Afrikaner. Perkongsian kuasa ini telah berlanjutan hingga 1940an, bila parti pro-Afrikaner iaitu Parti Kebangsaan (NP) mencapai majoriti di Parlimen. Para strategi parti tersebut telah mencipta dasar aparteid (yang dikuatkuasakan pada tahun 1948), suatu cara untuk mengawal sistem ekonomi dan sosial negara dengan mengekalkan penguasaan kulit putih dan diskriminasi perkauman. Namun demikian kerajaan British kerap menggagalkan usaha Aparteid yang menyeluruh di Afrika Selatan. Oleh itu pada tahun 1961, selepas suatu pungutan suara kaum kulit putih, negara ini telah diisytiharkan sebagai sebuah republik. Di samping itu pada tahun yang sama, Afrika Selatan telah keluar daripada komanwel. Oleh itu, kerajaan yang diterajui kaum Afrikaner ini tidak lagi tertakluk kepada pengaruh British. Bermula pada 1960an, program Grand Apartheid telah dilaksanakan secara besar-besaran; yang menekankan pengasingan wilayah dan kezaliman pihak polis.

Penindasan kaum kulit hitam telah berlanjutan sehingga akhir abad ke 20. Pada Februari 1990, rentetan dari pemulauan antarabangsa dan tentangan hebat daripada pelbagai gerakan anti-aparteid terutamanya Kongres Kebangsaan Afrika (ANC), kerajaan Parti Kebangsaan di bawah pimpinan Presiden F.W. de Klerk telah menarik balik pengharaman Kongres Kebangsaan Afrika dan persatuan politik berhaluan kiri yang lain dan membebaskan Nelson Mandela dari penjara. Undang-undang aparteid telah dimansuhkan secara perlahan-lahan dan pilihan raya pelbagai bangsa yang pertama telah diadakan pada tahun 1994. Parti ANC telah meraih kemenangan yang besar dan Nelson Mandela, telah dilantik sebagai Presiden kulit hitam yang pertama di Afrika Selatan. Walaupun kuasa telah berada di tangan kaum kulit hitam, berjuta-juta penduduknya masih hidup dalam kemiskinan.

Sewaktu Nelson Mandela menjadi Presiden negara ini selama 5 tahun, kerajaannya telah berjanji untuk melaksanakan perubahan terutamanya dalam isu-isu yang telah diabaikan semasa era aparteid. Antara isu-isu yang ditangani oleh kerajaan pimpinan ANC termasuklah pengangguran, wabak AIDS, kekurangan perumahan dan jenayah. Pentadbiran Mandela juga mula memperkenalkan kembali Afrika Selatan kepada ekonomi global setelah beberapa tahun dipulaukan disebabkan dasar aparteidnya. Selain itu, dalam usaha mereka untuk menyatukan rakyat semula kerajaan telah menubuhkan satu suruhanjaya yang dikenali sebagai Truth and Reconciliation Committee (TRC) di bawah pimpinan Biskop Desmond Tutu. Suruhanjaya ini berperanan untuk memantau agensi kerajaan seperti agensi polis agar masyarakat Afrika Selatan boleh hidup dalam aman dan harmoni. President Mandela telah menumpukan sepenuh perhatiannya terhadap pendamaian di tahap nasional, dan telah cuba untuk membentuk satu identiti untuk Afrika Selatan dalam masyarakat majmuk yang terpisah akibat konflik perkauman sejak beberapa dekad. Kebolehan Mandela dalam mencapai objektifnya jelas terbukti kerana selepas 1994 negara ini telah bebas dari keganasan politik. Nelson Mandela telah meletak jawatan sebagai Presiden parti ANC pada Disember 1997, untuk memberi laluan kepada Presiden yang baru iaitu Thabo Mbeki. Mbeki dipilih sebagai presiden Afrika Selatan selepas memenangi pilihan raya nasional pada tahun 1999, dan partinya menang tipis dua pertiga majoriti di parlimen. Presiden Mbeki telah mengalih tumpuan kerajaan daripada pendamaian kepada perubahan, terutamanya dari segi ekonomi negara. Pada pilihan raya terakhir pada 22 April 2009, parti ANC yang diterajui Jacob Zuma berjaya memenangi 65.9% kerusi di parlimen dan kini Jacob Zuma adalah presiden Afrika Selatan yang baru. [3]

Jacob Zuma presiden Afrika Selatan yang penuh kontroversi

Politik[sunting | sunting sumber]

Untuk rencana lanjutan lihat: Politik Afrika Selatan

Afrika Selatan merupakan negara demokrasi berperlembagaan dengan sistem tiga tingkat dan institusi kehakiman yang bebas. Terdapat tiga peringkat iaitu kebangsaan, wilayah dan kerajaan tempatan yang mempunyai badan perundangan serta eksekutif dengan bidangkuasa yang terhad dalam sfera masing-masing.

Presiden Afrika Selatan memegang dua jawatan iaitu sebagai Ketua Negara dan juga Ketua kerajaan. Beliau dipilih sewaktu kedua-dua dewan bergabung, iaitu Perhimpunan Kebangsaan (National Assembly) dan Majlis Wilayah-wilayah Kebangsaan (National Council of Provinces). Lazimnya, Presiden adalah pemimpin parti majoriti di Parlimen.

Perhimpunan Kebangsaan mempunyai 400 ahli yang dipilih melalui pilihan raya secara perwakilan berkadar. Majlis Negeri-Negeri Kebangsaan (NCoP), yang telah menggantikan Senat pada 1997, terdiri daripada 90 ahli yang mewakili setiap 9 negeri termasuk bandar-bandar besar di Afrika Selatan.

Di Afrika Selatan, pilihan raya diadakan setiap 5 tahun dan setiap rakyat berusia 18 tahun ke atas diwajibkan mengundi. Pilihan raya terakhir ialah pada 22 April 2009, di mana parti ANC yang diterajui Jacob Zuma [4] berjaya memenangi 65.9% kerusi di parlimen. Parti pembangkang utama Democratic Alliance (DA) atau Perikatan Demokratik (16.66%) , parti serpihan ANC yang pro Thabo Mbeki iaitu Kongres untuk Rakyat atau COPE (7.4%), manakala parti Inkatha hanya 4.5%.

Di samping itu, setiap negeri di Afrika Selatan mempunyai satu penggubal undang-undang negeri dan Majlis Eksekutif yang diketuai oleh seorang Perdana Menteri atau "Premier".

Bangunan Dewan Undangan di Cape Town


Dasar Luar Negara[sunting | sunting sumber]

Sewaktu era aparteid, negara ini telah dipulaukan oleh kebanyakan negara termasuk Malaysia. Malah, Afrika Selatan telah berperang secara sulit dengan negara jirannya seperti Angola yang menyokong fahaman komunisme. Pada 1 Jun, 1994, Afrika Selatan dengan rasminya telah menyertai semula organisasi Komanwel dan pada 23 Jun tahun yang sama, negara ini telah diterima semula ke dalam Perhimpunan Agung PBB. Selain itu, negara ini telah menyertai Organisasi Kesatuan Afrika (OAU), yang kini dikenali sebagai Kesatuan Afrika; dan perubahan ini telah dicadangkan oleh Presiden Afrika Selatan iaitu Thabo Mbeki pada 2002.

Sejak kemunculannya selepas pemulauan antarabangsa sewaktu era aparteid, negara ini telah memainkan peranan yang penting di arena global. Dasar luar negaranya yang utama ialah untuk menjalin perhubungan yang baik dengan semua negara, terutamanya dengan negara-negara jiran dalam Komuniti Pembangunan Selatan Afrika (SADC) dan ahli-ahli lain dalam Kesatuan Afrika. Di samping itu, negara ini telah memainkan peranan penting dalam menamatkan konflik serta krisis politik yang melanda rantau ini, termasuklah di Burundi, Republik Congo, Comoros, dan Zimbabwe. Pada Ogos 1998, negara ini telah mempengerusikan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), yang berakhir pada Julai 2002.

Swaziland telah meminta Afrika Selatan untuk membuka perundingan berkenaan menggabungkan semula beberapa wilayahnya yang berhampiran yang diduduki etnik Swazi atau kawasan yang merupakan sebahagian kerajaan Swazi yang lampau.

Selain itu, status Afrika Selatan sebagai pusat pemindahan perkapalan bagi dadah heroin dan kokaina telah mencetuskan kontroversi. Penyalahgunaan dadah tempatan yang agak tinggi telah merangsangkan perdagangan dadah; serta meningkatkan lagi permintaan kokaina di negara ini. Malah, Afrika Selatan adalah terkenal sebagai pasaran dunia terbesar bagi dadah methaqualone, yang dikenali oleh penduduk tempatan sebagai "Mandrax". Dadah ini biasanya diimport secara haram dari India melalui beberapa negara Afrika Timur. Penanaman ganja secara haram juga amat berleluasa di sini.

Afrika Selatan juga telah meningkatkan bilangan tenteranya di sempadan Zimbabwe untuk membendung pelarian dari negara tersebut. Kadar pelarian semakin meningkat akibat pemerintahan kuku besi Presiden Zimbabwe iaitu Robert Mugabe.

Tentera[sunting | sunting sumber]

Untuk rencana lanjutan sila lihat: Tentera Afrika Selatan

Angkatan Tentera Afrika Selatan atau lebih dikenali sebagai Angkatan Pertahanan Nasional Afrika Selatan (SANDF), telah ditubuhkan pada tahun 1994. Sebelum itu, ia dikenali sebagai Angkatan Pertahanan Afrika Selatan (SADF). Angkatan yang baru ini terdiri daripada angkatan tentera lama, berserta pasukan militari daripada beberapa organisasi yang berjuang untuk kebebasan kaum kulit hitam iaitu Umkhonto we Sizwe (MK), Tentera Kebebasan Rakyat Azania (APLA), dan angkatan tentera dari bekas kawasan "homeland". SANDF boleh dibahagikan kepada empat cabang utama, Tentera Afrika Selatan, Tentera Udara Afrika Selatan, Tentera Laut Afrika Selatan, dan Khidmat Kesihatan Ketenteraan Afrika Selatan.

Sewaktu era aparteid di bawah pentadbiran Botha, negara ini telah menjalankan program senjata nuklear, kononnya dengan bantuan pihak Israel. SADF juga mungkin pernah melancarkan ujian nuklear di Atlantik pada 1979, tetapi sejak itu negara ini telah menolak program nuklearnya dan menandatangani Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) pada 1991 selepas menghapuskan longgokan nuklearnya yang kecil. Hanya Afrika Selatan berjaya membangunkan senjata nuklear di benua Afrika ini, dan merupakan salah satu negara yang secara sukarela memansuhkan program nuklearnya. Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) menggalakkan negara ahli yang berjaya dalam program nuklear untuk menarik balik program tersebut.

Sejak kebelakangan ini, SANDF telah menjadi angkatan keamanan utama di rantau ini, dan telah terlibat dalam pelbagai operasi termasuk di Lesotho, Republik Demokratik Congo, serta Burundi. Angkatan ini juga turut terlibat dalam pasukan pengaman multinasional di bawah PBB.

Organisasi antarabangsa[sunting | sunting sumber]

Afrika Selatan adalah ahli kepada beberapa organisasi antarabangsa, antaranya:

Geografi[sunting | sunting sumber]

Untuk rencana lanjutan lihat: Iklim Afrika Selatan

Afrika Selatan terletak di 29° 00' S, 24° 00' T. Luas kawasannya adalah 1,219,912 km² termasuk Pulau Robben dan Kepulauan Prince Edwards (Pulau Marion dan Pulau Prince Edward). Afrika Selatan bersempadan dengan Lautan Atlantik di pantai barat dan Lautan Selatan dan Lautan Hindi di pantai timur. Arus utama di lautan tersebut adalah arus sejuk Benguela dan arus suam Agulhas. Titik paling rendah adalah Lautan Atlantik pada 0 m dan paling tinggi ialah Njesuthi pada ketinggian 3,408 m.

Afrika Selatan mempunyai iklim yang berbeza-beza. Di barat-daya negara ini, iklimnya adalah Mediterranean, di kawasan pedalaman ia beriklim sederhana, dan di timur-laut iklimnya adalah separa tropika atau "subtropical".

Afrika selatan merupakan sebuah negara yang kaya dengan galian bernilai seperti emas, platinum dan berlian. Galian semula jadinya termasuklah emas, kromium, antimoni, arang, bijih besi, manganese, nikel, fosfat, bijih timah, uranium, berlian, platinum, kuprum, vanadium, garam, gas asli.

Wilayah dan bandar[sunting | sunting sumber]

Peta Afrika Selatan

Afrika Selatan terdiri daripada sembilan wilayah iaitu:

Pada amnya Pretoria adalah ibunegara Afrika Selatan. Namun pusat kerajaannya terbahagi kepada tiga iaitu:

Bandar-bandar utama di Afrika Selatan termasuk Johannesburg, Durban, Cape Town, Pretoria, Kimberley, Pelabuhan Elizabeth dan Bloemfontein.

Iklim[sunting | sunting sumber]

Afrika Selatan mempunyai beberapa iklim yang berlainan. Ia dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti aras ketinggian dan arus laut. Di barat-daya negara ini, iklimnya adalah Mediterranean, di kawasan pedalaman ia beriklim sederhana, dan di timur-laut iklimnya adalah separa tropikal atau "subtropical". Sebahagian kecil kawasan di barat-laut Afrika Selatan bergurun dan beriklim kering. Sebahagian besar negara ini bercuaca sederhana panas dengan hari yang cerah dan malam yang sejuk.

Dari segi suhu, suhu yang biasa disini ialah antara 17 °C hingga 30 °C. Misalnya, purata suhu tahunan di Cape Town is 17 °C, dan di Pretoria, 17.5 °C. Suhu maksimum biasanya melebihi 32 °C pada musim panas, dan di beberapa tempat di utara ia boleh mencecah 38 °C. Suhu paling tinggi yang pernah dicatatkan ialah lebih kurang 48 °C, telah berlaku di Northern Cape dan Mpumalanga (sebelum ini dikenali sebagai Eastern Transvaal). Suhu paling rendah telah dicatit 250 km timur-laut bandar Cape Town, dimana purata suhu minimumnya adalah serendah -6.1 °C. Rekod salji (hampir 50sm) berlaku pada Julai 1994 di kawasan pergunungan yang bersempadan dengan Lesotho.

Musim hujan biasanya berlaku pada musim panas (November hingga Mac), tetapi di barat-daya, di sekeliling Tanjung Harapan, musim hujannya adalah pada musim sejuk (Jun hingga Ogos).

Di barat-laut, hujan tahunannya adalah di bawah paras 200mm. Manakala di timur Highveld, tempat ini menerima 500mm hingga 900mm hujan setiap tahun; kadangkala hujannya melebihi 2,000mm. Sebahagian besar zon pertengahannya menerima purata lebih kurang 400mm hujan.

Ekonomi[sunting | sunting sumber]

Untuk rencana lanjutan lihat: Ekonomi Afrika Selatan

Afrika Selatan adalah sebuah negara maju dengan penduduk yang berpendapatan sederhana. Negara ini kaya dengan galian terutamanya galian bernilai tinggi seperti emas, platinum dan berlian. Ia juga mempunyai sistem kewangan, perundangan, telekomunikasi, tenaga, infrastruktur yang maju dan moden. Bursa sahamnya di Johannesburg begitu aktif, sehinggakan ia pernah berada di tangga ke-10 terbesar di dunia.

Sejak kedatangan British di sini, ekonomi negara bergantung kepada sektor perlombongan. Tetapi beberapa dekad yang lalu, ia telah digantikan oleh sektor pengeluaran. Sektor industri Afrika Selatan yang sangat maju, telah menjadikannya ekonomi ke-25 terbesar di dunia. Dengan hanya 7% penduduk dan 4% jumlah kawasan keseluruhan Afrika, Afrika Selatan mengeluarkan lebih satu pertiga produk dan perkhidmatan di Afrika, dan hampir 40 % pengeluaran industri di Afrika. Selain itu, KDNK per kapitanya telah meletakkan negara ini dikalangan 50 negara terkaya didunia. Namun secara realitinya, pembangunan hanyalah tertumpu pada empat kawasan utama: Cape Town, Pelabuhan Elizabeth, Durban, dan Pretoria-Johannesburg. Manakala kebanyakan tempat lain masih mundur. Akibatnya Afrika Selatan mempunyai kadar ketidaksamaan pendapatan yang tertinggi di dunia. Dasar Aparteid yang dilaksanakan selama lebih empat dekad, merupakan punca utama kemiskinan di kalangan penduduk kulit hitam di Afrika Selatan. Pada akhir 1980an, dianggarkan 16 juta penduduknya hidup di bawah paras kemiskinan dan 2.3 juta orang berisiko kebuluran dan kurang zat makanan. Walaupun begitu, kerajaan kulit hitam Afrika Selatan telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan dari 42% pada 1994 ke 24% pada tahun 2003.

Sun City sebuah resort kasino yang dibuka pada 1976 di tengah-tengah kawasan golongan orang miskin di Bophuthatswana

Antara masalah lain yang telah melanda negara ini ialah jangkitan HIV. Wabak ini merupakan masalah kritikal di Afrika Selatan. Dianggarkan 4.79 juta penduduknya dijangkiti HIV/AIDS dan kerajaan Afrika yang baru terpaksa berbelanja berjuta-juta Rand untuk menangani masalah ini. Sejak Afrika Selatan membuka sempadannya selepas tamatnya Apartheid, sindiket jenayah antarabangsa telah menembusi negara ini. Kini, Afrika Selatan adalah pengeluar dadah ganja terbesar di dunia. Pergolakan politik di Zimbabwe juga memberi impak yang buruk kepada ekonomi negara ini. Ramai pelabur asing bimbang masalah ini akan berlanjutan ke Afrika Selatan. Pada tahun 2002, masalah-masalah ini telah menjadi faktor utama penurunan nilai Rand sebanyak 30 peratus tetapi sejak kebelakangan ini matawang Rand telah kembali kukuh.

Dari segi pengangkutan, pengangkutuan darat seperti jalanraya dan lebuhraya masih merupakan sistem utama bagi menghubungi satu tempat dengan tempat lain. Syarikat kereta api nasional, Spoornet, mempunyai lintasan kereta api sepanjang 20,319km. Namun demikian, dianggarkan 80 peratus muatan diangkut melalui jalanraya seperti melalui lori, trak dan sebagainya.

Demografi[sunting | sunting sumber]

Demografi di Afrika Selatan boleh dibahagikan kepada empat kumpulan utama iaitu: orang kulit hitam, orang kulit putih, orang berwarna (orang dari Asia atau peranakan) dan orang berbangsa India.

Jalan Bo-Kaap di Cape Town yang merupakan perkampungan orang Melayu Tanjung di Afrika Selatan

Kaum yang terbesar di Afrika Selatan adalah kaum pribumi berkulit hitam iaitu 77% jumlah penduduk di sini. Penduduk kulit hitam terdiri daripada masyarakat majmuk yang boleh diklasifikasikan kepada empat kumpulan etnik berdasarkan kepada bahasa masing-masing. Kumpulan yang terbesar iaitu 50% penduduk Afrika disini adalah yang berbahasa Nguni termasuk bangsa Ndebele, Swazi, Xhosa dan Zulu. Kumpulan yang kedua terbesar adalah yang berbahasa Sotho-Tswana, termasuklah beberapa bangsa Sotho, Pedi, dan Tswana dan merupakan majoriti di kebanyakan kawasan Highveld. Dua kumpulan yang terakhir adalah Tsonga, atau Shangaan, yang tertumpu di Utara dan wilayah Mpumalanga, dan Venda, yang juga tertumpu di wilayah utara Afrika Selatan.

11% penduduk di sini terdiri daripada kaum kulit putih yang berbangsa Belanda, Perancis, Inggeris dan Jerman. Kebanyakan orang Eropah di negara ini adalah keturunan peneroka-peneroka awal di koloni Cape. Terdapat juga kumpulan minoriti Portugis — kumpulan pertama daripada keturunan peneroka Eropah yang awal. Dari segi budaya dan linguistik kaum kulit putih boleh dibahagikan kepada dua kumpulan yang besar iaitu Afrikaner dan Inggeris. Sejak tahun 1994, iaitu apabila berakhirnya era aparteid kaum kulit putih telah berkurangan akibat kadar kelahiran yang rendah dan penghijrahan; lebih 100,000 telah berhijrah ke negara lain atas beberapa sebab seperti kadar jenayah yang tinggi dan dasar kerajaan yang memihak kepada kaum kulit hitam. Dijangkakan pada tahun 2010 kurang 10% penduduknya adalah dari kaum kulit putih.[5] Namun demikian, imigran kulit putih yang bukan dari Afrika Selatan semakin bertambah terutamanya dari negara seperti Britain dan Zimbabwe. Contohnya pada tahun 2005, dianggarkan 212,000 rakyat British telah bermastautin di nagara ini.

9% daripada penduduk Afrika Selatan terdiri daripada bangsa berwarna atau coloured. Bangsa ini termasuklah kumpulan peranakan dan juga pendatang Asia, termasuk orang Melayu dan Indonesia (dipanggil Melayu Tanjung) yang dibawa masuk untuk bekerja sebagai kuli di Natal. Manakala, 3% lagi terdiri dari bangsa India yang berasal dari pedagang-pedagang India.

Dari segi agihan pendapatan pula, kaum kulit putih masih mendominasi ekonomi negara. Hampir 100,000 kaum kulit putih mempunyai pendapatan tahunan lebih daripada ASD$60,000; hanya 5,000 kaum kulit hitam mempunyai pendapatan yang sama. Walaupun begitu lebih kurang 300,000 kaum kulit hitam boleh dikategorikan sebagai kelas pertengahan (dengan pendapatan antara ASD$13,000 dan ASD$23,000 setahun) walaupun 40% pengangguran masih berlaku di kalangan masyarakat kulit hitam.[6]

Berikut adalah senarai bandar raya dengan penduduk yang paling ramai di negara ini menurut banci 2001.

Taraf Munisipal Bil. Penduduk (2001) Bil. Penduduk (1996)  % Perubahan
dari 1996 ke 2001
1. Johannesburg, Gauteng 3,225,812 2,639,110 22.2%
2. Durban, KwaZulu-Natal 3,090,117 2,751,193 12.3%
3. Cape Town, Western Cape 2,893,251 2,563,612 12.9%
4. East Rand, Gauteng 2,480,282 2,026,807 22.4%
5. Pretoria, Gauteng 1,985,984 1,682,701 18.0%
6. Pelabuhan Elizabeth, Eastern Cape 1,005,776 969,771 3.7%
7. East London, Eastern Cape 701,881 682,287 2.9%
8. Vereeniging, Gauteng 658,422 597,948 10.1%
9. Bloemfontein, Free State 645,441 603,704 6.9%
10. Thohoyandou, Limpopo 584,469 537,454 8.7%

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Untuk senarai universiti sila lihat: Universiti di Afrika Selatan

Untuk rencana lanjutan sila lihat: Sejarah Pendidikan Afrika Selatan

Di Afrika Selatan, alam persekolahan adalah selama 13 tahun - atau gred. Namun, tahun pertama pendidikan atau gred 0 dan tiga tahun terakhir iaitu dari gred 10 hingga gred 12 (juga dipanggil "matric") adalah tidak wajib. Kebanyakan sekolah rendah menawarkan gred 0. Tetapi gred ini boleh juga dibuat di tadika. Lazimnya untuk memasuki universiti, seseorang itu wajib melepasi "matric" dengan minimum tiga matapelajaran gred tinggi dan bukan sekadar lulus (standard). Malah beberapa universiti yang berprestij akan mengenakan syarat akademik yang lebih tinggi. Walaupun begitu, mereka yang lulus "National Senior Certificate" layak untuk belajar di "technikon" atau kolej teknikal.

Di bawah sistem aparteid, sistem pendidikannya dirangka mengikut warna kulit iaitu kementerian yang berasingan untuk pelajar kulit putih, berwarna, Asia, dan kaum kulit hitam di luar bantustan. Pengasingan ini telah menghasilkan 14 kementerian pendidikan yang berbeza di negara ini.

Pengstrukturan sistem pendidikan selepas era-aparteid merupakan cabaran yang besar bagi kerajaan negara ini. Kerajaan baru telah membentuk suatu sistem pendidikan kebangsaan tanpa diskriminasi kaum tetapi menggabungkan 14 kementerian pendidikan merupakan tugas yang sukar. Oleh itu pada Februari 1996, Kementerian Pendidikan telah melancarkan satu kurikulum baru yang dinamakan "Curriculum 2005". Kurikulum ini yang akan menggantikan dasar pendidikan berdasarkan aparteid, akan memberi tumpuan kepada "outcome" atau hasilnya iaitu pelajar akan menjadi lebih proaktif dalam persekitarannya dan juga di dalam masyarakat. Untuk mencapai objektif ini, pada 1999 kerajaan telah memperuntukkan 5.7 peratus belanjawan untuk sektor pendidikan termasuk membina 2,000 sekolah-sekolah baru, 65,000 bilik darjah yang baru dan beralatan penuh, 60,000 guru-guru yang terlatih dan 50 juta buku teks yang dicetak.

Pada 2004, Afrika Selatan mempunyai 366,000 guru dan hampir 28,000 sekolah-sekolah -termasuk 390 sekolah khas dan 1,000 sekolah swasta. Daripada jumlah ini, 6,000 adalah dari sekolah tinggi (gred 7 hingga gred 12) dan selebihnya adalah dari sekolah rendah (gred 1 hingga gred 6).

Afrika Selatan juga mempunyai suatu sistem pendidikan tinggi yang maju, yang juga dipisahkan mengikut ras sewaktu era aparteid. Pada 1995 terdapat 385,000 pelajar yang belajar di 21 universiti dan 190,000 pelajar di "technikon" (institut teknikal atau vokasional). Hampir 37 peratus adalah dari golongan kulit putih. Tetapi sejak 1994, penyertaan pelajar kulit hitam di universiti-universiti yang dikhaskan untuk pelajar kulit putih telah bertambah secara mendadak.[7]

Budaya[sunting | sunting sumber]

Untuk rencana lanjutan sila lihat: Budaya pelbagai bangsa di Afrika Selatan

Pergaulan bebas di kalangan masyarakat Afrika Selatan di kawasan-kawasan bandar dan penindasan budaya kaum kulit hitam sewaktu era aparteid telah mengakibatkan hilangnya cara hidup lama di bandar-bandar di sini. Namun, budaya kulit hitam masih wujud di kawasan desa. Beberapa perbezaan budaya tetap ada di antara etnik-etnik di sana, seperti adat perkahwinan dan pantang-larang mereka. Tetapi pada umumnya, tradisi masyarakat kulit hitam adalah berlandaskan kepercayaan kepada dewa-dewa yang perkasa serta maskulin, semangat nenek-moyang dan kuasa-kuasa ghaib. Poligami juga dibenarkan dan "lobolo" (mas kahwin) biasanya akan dibayar. Kerbau memainkan peranan penting dalam kebanyakan budaya, sebagai simbol kekayaan dan binatang korban.

Seni Afrika Selatan boleh dilihat dari pelbagai lukisan gua dan batu oleh puak San, sebahagiannya dilukis sejak 26,000 tahun yang lalu. Manik-manik yang direka secara teliti oleh puak Zulu juga merupakan kraftangan yang popular di negara ini. Malangnya, budaya kaum kulit hitam telah dihapuskan sewaktu era-aparteid. Amalan seharian yang berkait rapat dengan tradisi dan budaya kaum kulit hitam telah diabaikan dan juga dihapuskan. Contoh yang paling ketara adalah pemusnahan "District Six", suatu kawasan pelbagai budaya di Cape Town dan Sophiatown di Johannesburg, di mana ramai pemuzik-pemuzik terkenal antarabangsa berhimpun dan mengasah kemahiran mereka. Antara kumpulan muzik terkenal termasuklah Ladysmith Black Mambazo yang berjaya membawa bunyian Afrika Selatan ke dunia barat, sebelum dan juga selepas aparteid.

Makanan[sunting | sunting sumber]

Makanan daging sering dimasak secara braai yang serupa dengan barbeku

Dari segi makanan, pihak British patut dipersalahkan kerana membawa makanan yang membosankan ke Afrika Selatan. Walaupun begitu, sejak akhir-akhir ini keadaan tersebut telah bertambah baik. Stik atau sosej boerewors, sayur rebus dan chips (kerepek kentang) adalah makanan utama, dan makanan yang lebih mencabar biasanya menakutkan. Para vegetarian akan terasa tersisih di negara ini kerana rakyatnya gemar memakan daging seperti sosej khinzir, daging lembu, kambing dan ayam. Manakala snek popular di negara ini ialah biltong, sejenis daging kering dari daging lembu atau daging buruan, dan ia biasanya dimakan sewaktu menonton pertandingan sukan. Potjie (disebut "pooi-ki") berasal dari Belanda dan merupakan periuk besi berkaki tiga yang digunakan oleh peneroka-peneroka awal Belanda dan juga penjelajah. Ia kemudian digunakan sebagai periuk memasak puak Afrika untuk memasak putu (masakan jagung). Bir dan brandi merupakan minuman paling popular di kalangan masyarakatnya, dan wain terbaik dari Afrika Selatan semakin popular di sini.

Di pesisiran pantai pula, kelompok Portugis mencampur gaulkan masakan mereka dengan penduduk Mozambique, menghasilkan masakan berunsurkan tomato yang pedas iaitu peri-peri, yang terkenal di seluruh Afrika Selatan. Kini restoran Nando's telah membawa masakan ayam peri-peri ke seluruh dunia.

Melayu Tanjung atau "Cape Malays" yang tiba di Cape Town pada akhir abad ke-17 membawa sumbangan terbesar kepada kuisin di Afrika Selatan. Mereka telah membawa sos pedas, chutneys, blatjangs (sos pekat yang dibuat daripada buah-buahan dan perasa), acar , sambal, bobotie (daging cincang berperisa) dan ikan jeruk.

Kaum minoriti India juga mempunyai makanannya yang tersendiri. Makanan yang paling popular di kalangan mereka (terutamanya di sebelah Durban) ialah kari, tetapi ia tidak sepedas kari di negara asalnya iaitu India. Suatu keistimewaan di Durban ialah 'bunny' atau 'bunny chow', iaitu roti putih berisi kari (biasanya daging).

Kaum pribumi Afrika Selatan pula meminati makanan berunsurkan jagung dan sayuran tempatan. Mereka juga memburu burung merpati dan ayam hutan. Makanan kaum Afrika jarang dijual di restoran-restoran di sini, walaupun seseorang itu boleh mendapat nasi yang murah serta "stew" dari gerai-gerai di sekitar kawasan bandar.

Sukan[sunting | sunting sumber]

Masyarakat Afrika Selatan merupakan masyarakat yang "gila" sukan. Namun sukan di sini berkait rapat dengan ras dan bangsa. Misalnya di kalangan kaum kulit hitam, sukan yang paling popular ialah bola sepak dengan pasukan kebangsaan yang dipanggil Bafana Bafana atau 'The Boys'(Budak-budak lelaki). Manakala kebanyakan kaum kulit putih bermain ragbi, dan ia amat diminati oleh kaum Afrikaner, yang mendominasi pasukan kebangsaan, "the Springboks", dan juga kriket, yang secara tradisi dimain oleh bangsa British. Sejak dikaitkan dengan aparteid, pasukan "the Springboks" atau 'Boks' hendak menjadi sebahagian 'Afrika Selatan Baru', dengan menyarungkan Presiden Nelson Mandela dengan jersi Springbok, yang sebelum ini hanya dipakai oleh kaum kulit putih, pada Piala Dunia untuk ragbi pada tahun 1995.

Rata-rata ahli sukan yang terkemuka dari Afrika Selatan adalah daripada kaum kulit putih. Antaranya termasuklah Retief Goosen (golf), Penelope Heyns (perenang kuak dada), Zola Budd (merentas desa) dan Percy Montgomery (ragbi). Walaupun begitu, kaum kulit hitam telah mula mengharumkan nama negara mereka dalam arena sukan antarabangsa termasuk "Baby Jake" Matlala (tinju) dan Josiah Thugwane (maraton). Malah kaum kulit hitam juga telah mula melibatkan dalam permainan kaum kulit putih seperti kriket. Misalnya Makhaya Ntini yang merupakan salah seorang pemain bowler dalam pasukan kriket kebangsaan. [8]

Walaupun begitu, sukan mampu menyatukan rakyat di Afrika Selatan. Acara Piala Dunia yang bakal diadakan di negara ini pada tahun ini akan menjadikan sukan bola sepak popular di kalangan semua masyarakat tak kira bangsa dan warna.

Sastera[sunting | sunting sumber]

JRR Tolkien (1916) penulis siri trilogi Lord of the Rings dilahirkan di Bloemfontein

Afrika Selatan telah melahirkan beberapa penulis bertaraf antabangsa seperti Nadine Gordimer dan J. M. Coetzee kedua-duanya merupakan penerima Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan. Karya Nadine sering berkisar pandangan orang putih liberal terhadap kekejaman aparteid. Penulis bangsa Inggeris J. R. R. Tolkien, penulis The Hobbit, The Lord of the Rings dan The Silmarillion telah dilahirkan di Bloemfontein, Afrika Selatan pada 1892.


Bagi kaum kulit hitam pula novel pertama karya seorang penulis kulit hitam adalah bertajuk Mhudi (yang mula dicetak 1930), oleh Solomon (Sol) Thekiso Plaatje. Cerita epik ini mengisahkan kehidupan masyarakat Tswana semasa dan selepas berdepan dengan tentera Zulu di bawah pemerintahan Shaka, penakluk Zulu pada abad ke-19, dan kisah pengalaman awal dengan kaum kulit putih di kawasan pedalaman.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Wikivoyage memiliki panduan pelancongan bagi South Africa.

Nota dan rujukan[sunting | sunting sumber]