Aposematisme

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Warna-warna katak bisa berbutir yang terang merupakan amaran kepada pemangsa akan rasanya yang beracun.

Aposematisme (daripada apo- berjauhan, dan sematik tanda/erti), barangkalinya paling dikenali dalam konteks pewarnaan amaran, merupakan sekelompok jenis adaptasi antipemangsa yang mana isyarat amaran dikaitkan dengan ketidaksedapan sesuatu mangsa kepada pemangsa yang berpotensi.[1] Ia merupakan satu bentuk isyarat "penghebahan" seperti warna bunga yang terang untuk menarik pendebunga. Isyarat amaran itu boleh berbentuk warna, bunyi, bau[2] atau sifat-sifat yang boleh diamati. Isyarat aposematik adalah bermanfaat kepada pemangsa dan mangsa sekali kerana kedua-duanya dapat menghindari bahaya.

Kecenderungan untuk menjadi amat mudah diamati sambil berbeza daripada organisma yang tidak berbahaya merupakan lawan kepada kripsis, ataupun mengelak daripada dikesan oleh pemangsa. Aposematisme merupakan sejenis adaptasi yang berjaya sekali, sehingga organisma yang tidak berbahaya acap kali berevolusi agar memimik spesies yang aposematik, iaitu kemimikan Bates. Satu lagi tabiat yang seumpamanya ialah kemimikan Müller, iaitu spesies-spesies aposematik yang berbeza menyerupai satu sama lain.

Mekanisme pertahanan[sunting | sunting sumber]

Warna-warni sotong katak ranggi memberikan amaran ketoksikan

Aposematisme merupakan suatu mekanisme pertahanan utama yang mengingatkan pemangsa akan satu lagi mekanisme pertahanan sampingan. Pertahanan utama berfungsi sebelum pemangsa melancarkan sebarang kelakuan menangkap mangsa, dan fungsinya adalah untuk menghindarkan diri daripada dikejar.[3] Kaedah pertahanan sampingan organisma itu mungkin berupa:

Ketidaksedapan
seperti rasa pahit yang timbul daripada sesetengah serangga seperti kumbang kura-kura atau rama-rama harimau, ataupun bau busuk yang dirembeskan oleh skunk, atau:
Ketoksikan dan bahaya lain
seperti kelenjar bisa katak panah bisa, sengat semut baldu atau neurotoksin dalam labah-labah janda hitam.

Dalam contoh-contoh tersebut, organisma itu menghebahkan keupayaannya dengan warna-warni yang terang bagi kumbang kura-kura, katak dan labah-labah itu; ataupun dengan belang yang jelas kelihatan seperti skunk itu. Pelbagai jenis rama-rama harimau menghebahkan ketidaksedapannya sama ada dengan menghasilkan ultrabunyi yang menghindarkan kelawar,[4] ataupun dengan postur amaran yang mendedahkan anggota badan yang berwarna terang, ataupun memperlihatkan "tompok mata". Semut baldu berwarna-warni terang dan menghasilkan bunyi apabila diserang untuk menguatkan amaran.

Isyarat aposematik pada amnya bersifat tampak dan melibatkan warna-warna yang terang dan berkontras, tetapi boleh diiringi oleh beberapa lagi isyarat selain warna, seperti bau, bunyi atau kelakuan yang tertentu. Oleh itu, pemangsa berdepan dengan isyarat berbilang ragam yang lebih mudah dikesan.[5]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Santos, J.C.; Coloma, Luis A. & Cannatella, D.C. (2003). Multiple, recurring origins of aposematism and diet specialization in poison frogs. PNAS October 28, 2003. doi:10.1073/pnas.100.22.12792. 
  2. Eisner, T. & Grant, R.P. (1981). "Toxicity, Odor Aversion, and Olfactory Aposematism". Science 213 (4506): 476. 1981. doi:10.1126/science.7244647. PMID 7244647. 
  3. G. D. Ruxton, T. N. Sherratt, M. P. Speed, 2004. Avoiding Attack: The Evolutionary Ecology of Crypsis, Warning Signals and Mimicry. Oxford University Press
  4. Hristov, Nickolay I. & Conner, William E. (2005). "Sound strategy: acoustic aposematism in the bat–tiger moth arms race". Naturwissenschaften 92 (4): 164–169. April 2005. doi:10.1007/s00114-005-0611-7. PMID 15772807. http://www.springerlink.com/content/h21g437r34457115/.  Dicapai pada 13 Jan 2010.
  5. MacAuslane, Heather J. Sec.Aposematism (pp 239-242) in Capinera (Ed) (2008) "Encyc. Entom.", Vol 4.