Kemimikan Bates

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Plat oleh Bates yang menggambarkan kemimikan Bates antara spesies-spesies Dismorphia (baris teratas dan ketiga) dan Ithomiini (Nymphalidae) (baris kedua dan terbawah).

Kemimikan Bates ialah sejenis kemimikan yang dicirikan oleh perihal yang mana spesies yang tidak berbahaya berevolusi agar meniru isyarat amaran dari spesies berbahaya yang diajukan kepada pemangsa sepunya. Ia dinamai sempena ahli alamiah Inggeris, Henry Walter Bates, sempena usaha penyelidikannya di hutan hujan Brazil.

Kemimikan Bates merupakan kompleks kemimikan yang paling diketahui ramai dan paling meluas dikaji selidik, hinggakan istilah 'mimik' sering disamakan dengan kemimikan Bates begitu sahaja. Sebenarnya, terdapat banyak lagi jenis kemimikan, ada yang amat serupa pada dasarnya, dan ada yang jauh berbeza sekali. Terutama sekali, kemimikan Bates sering dibandingkan dengan kemimikan Müller, iaitu penumpuan yang saling bermanfaat sesama dua atau lebih spesies yang berbahaya, tetapi oleh sebab organisme pemimik itu mungkin sedikit sebanyak dapat melindungi dirinya, maka perbezaan itu adalah tidak mutlak. Ia juga boleh dibandingkan dengan jenis-jenis kemimikan yang amat berbeza dari segi kegunaan, terutama sekali kemimikan agresif, yang mana sesuatu pemangsa atau parasit memimik spesies yang tidak berbahaya agar tidak dikesan dan mencerahkan peluangnya untuk mencari makanan.

Organisma yang meniru spesies yang berlindung itu dipanggil mimik, sementara yang ditiru itu dipanggil model. Penerima yang mengantarakan interaksi tak langsung sesama kedua-dua pihak itu pula dipanggil penerima isyarat, mangsa perdayaan (dupe) atau operator. Dengan memparasitkan isyarat amaran jujur dari spesies yang berlindung itu, si mimik Bates memperolah kelebihan yang sama tanpa perlu bertungkus-lumus untuk melindungi dirinya, tetapi si model pula dan juga si mangsa perdayaan menanggung kerugian. Jika peniru terlalu banyak bilangannya, kelebihan yang dinikmati oleh spesies mimik itu boleh menyebabkan si model dianggap sebagai tidak berbahaya. Tambahan pula, dalam kekerapan yang lebih tinggi, semakin kuatlah kelebihan pemilihan untuk pemangsa membezakan mimik dan model. Atas sebab ini, bilangan mimik biasanya kurang berbanding model. Namun demikian, sesetengah populasi mimik telah mengembangkan berbilang bentuk (polimorfisme) agar dapat memimik berbagai-bagai model. Ini mengukuhkan lagi perlindungan untuk spesies mimik, dalam satu konsep dalam biologi evolusi yang dipanggil pemilihan bersandarkan kekerapan.

Kemimikan Bates tidak semestinya melibatkan kemimikan secara tampak, bahkan juga boleh memperdaya dengan deria-deria yang lain. Contohnya, sesetengah jenis rama-rama memimik isyarat amaran ultrabunyi yang dihantar oleh rama-rama yang tidak sedap dimakan kepada pemangsa kelawar, iaitu satu contoh kemimikan Bates jenis pendengaran. Lebih daripada satu isyarat perdayaan boleh digunakan sekaligus. Perbezaan antara kemimikan Bates dan kripsis jelas sekali: si mimik diamati, tetapi tidak diteka dengan tepat. Sebaliknya, mangsa yang menyamar selalunya boleh menimbulkan kesan yang sama dengan menjadi halimunan. Sedangkan model dan mimic lazimnya bertalian taksonnya, namun juga terdapat kemimikan sesama saudara-saudara yang bau-bau bacang. Sebilangan besar mimik Bates adalah serangga.

Rujukan[sunting | sunting sumber]