Cara Penulisan Ilmu Usul al-Fiqh

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Selepas al-Imam as-Syafi'e, terdapat ramai ulama' yang menulis ilmu Usul al-Fiqh. Cara penulisan ini terbahagi kepada tiga, iaitu Tariqah al-Mutakallimin (طريقة المتكلمين), Tariqah al-Ahnaf (طريقة الأحناف), dan Tariqah al-Muta'akhirin (طريقة المتأخرين).

Tariqah al-Mutakallimin[sunting | sunting sumber]

Cara penulisan Tariqah al-Mutakallimin juga dikenali sebagai Tariqah Syafi'iyyah (طريقة شافعية) kerana cara ini dipelopori oleh ulama' Mazhab Syafi'e. Di dalam cara ini, mereka membuat kaedah-kaedah Usul al-Fiqh dan mengukuhkannya dengan dalil-dalil naqli dan 'aqli. Kemudian, kaedah-kaedah ini dibuat dasar dalam menyelesaikan masalah fiqh yang timbul. Namun, mereka tidak memasukkan masalah fiqh dalam penulisan mereka, sebaliknya dibiarkan berasingan dalamk kitab-kitab fiqh.

Antara kitab yang ditulis menurut cara ini ialah:

  1. Al-Burhan (البرهان) oleh al-Imam al-Haramain 'Abd al-Malik bin 'Abdullah al-Juwaini.
  2. Al-Mu'tamad (المعتمد) oleh Abu al-Husain Muhammad bin 'Ali al-Basri.
  3. Al-Mahsul (المحصول) oleh Fakhr ad-Din Muhammad bin 'Umar bin al-Husain ar-Razi.
  4. Al-Ihkam fi Usul al-Ahkam (الإحكام في أصول الأحكام) oleh Saifuddin al-Amidi.

Tariqah al-Ahnaf[sunting | sunting sumber]

Cara penulisan Tariqah al-Ahnaf turut dikenali sebagai Tariqah al-Fuqaha' (طريقة الفقهاء). Menurut cara ini, kaedah-kaedah Usul al-Fiqh dibuat berdasarkan hukum-hukum yang telah diputuskan oleh Imam-Imam mazhab mereka. Kaedah-kaedah tersebut akan dipastikan selaras dengan apa yang telah diputuskan dan sekiranya tidak, kaedah-kaedah tersebut akan diubah suai oleh mereka. Disebabkan itu, didapati banyak masalah fiqh yang dimasukkan dalam kitab-kitab yang ditulis mengikut cara ini.

Antara kitab yang ditulis menurut cara ini ialah:

  1. Al-Usul (الأصول) oleh Abu Bakr Ahmad bin 'Ali atau dikenali sebagai al-Jassas.
  2. Al-Usul (الأصول) oleh Abu Zaid 'Abdullah bin 'Umar ad-Dabusi.
  3. Al-Usul (الأصول) oleh Fakhr al-Islam 'Ali bin Muhammad al-Bazdawi.
  4. Kasyf al-Asrar (كشف الأسرار) oleh 'Abd al-'Aziz bin Ahmad al-Bukhari.

Tariqah al-Muta'akhirin[sunting | sunting sumber]

Cara penulisan Tariqah al-Muta'akhirin menggabungkan cara penulisan Tariqah al-Mutakallimin dan Tariqah al-Ahnaf. Cara ini kemudiannya diikuti oleh ulama' dari berbagai-bagai mazhab seperti Mazhab Maliki, Mazhab Syafi'e dan Mazhab Hanbali.

Antara kitab yang ditulis mengikut cara ini ialah:

  1. Badi' an-Nazam (بديع النظام) oleh Muzaffar ad-Din Ahmad bin 'Ali as-Sa'ati al-Hanafi.
  2. At-Tanqih (التنقيح) dan syarhnya at-Taudih (التوضيح) oleh Sadr as-Syari'ah 'Abdullah bin Mas'ud al-Mahbubi al-Hanafi.
  3. Jam' al-Jawami' (جمع الجوامع) oleh al-Imam Taj ad-Din 'Abd al-Wahhab bin 'Ali as-Subki as-Syafi'e.