Hang Jebat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Menurut Hikayat Hang Tuah, Hang Jebat merupakan seorang pahlawan yang telah dibunuh oleh Hang Tuah kerana derhaka dalam pertarungan yang memakan masa 3 hari 3 malam. Hang Jebat pada masa pertarungan itu menggunakan keris Taming Sari yang dianugerahkan oleh Sultan Melaka semasa melantiknya menjadi Laksamana. Keris itu dikatakan menjadikan Hang Jebat kebal tidak lut senjata. Hang Tuah telah berjaya merampas semula keris Taming Sari dalam pergelutan dan menikam Hang Jebat. Selepas menikam Hang Jebat, Hang Tuah yang baru kembali dari buangan, kembali kerumahnya. Hang Jebat tidak terus mati, tetapi telah membalut lukanya dengan kain Cindai dan kemudiannya memasuki kampung-kampung untuk mengamuk membunuh siapa sahaja yang melintas dihadapannya. Dia akhirnya menghembuskan nafas terakhir di pangkuan Hang Tuah.[1]

Hang Jebat dikatakan telah membuat perhubungan sulit dengan seorang dayang istana bernama Dang Wangi. Ada kisah yang menyebut bahawa sebenarnya Hang Jebat telah bernikah[perlu rujukan] dengan Dang Wangi dan semasa Hang Jebat terbunuh, Dang Wangi sedang hamil anak Hang Jebat. Hang Tuah kemudiannya menghantar Dang Wangi tinggal di Singapura untuk melahirkan dan membela anak Hang Jebat yang dikatakan bernama Hang Nadim.[2] Dalam kisah Singapura Dilanggar Todak, budak bijak yang memberi pendapat supaya berkubukan batang pisang dari serangan todak dikatakan adalah Hang Nadim anak kepada Hang Jebat.[3]

Keberanian dan ketegasan Hang Jebat untuk mencari keadilan sehingga sanggup menderhaka kepada Sultan menjadikan dia disanjung oleh sesetengah golongan sehingga ke zaman ini. Ungkapan katanya 'Raja adil raja disembah,raja zalim raja disanggah,' menjadi kata-kata hikmat setiap kali memperkatakan perjuangan untuk menuntut keadilan atau bila hendak memperkatakan kezaliman raja yang memerintah.

Perbalahan di antara dua wira Melaka telah menimbulkan tanda tanya tentang moral Hang Jebat yang bertindak membunuh rakyat yang tidak berdosa dan mengenai sejauh mana Hang Tuah bertindak mematuhi perintah Sultan.

  1. Bukan legasi lalang, By Sri Rahayu Mohd. Yusop
  2. Kajian Malaysia: Journal of Malaysian Studies, Volumes 3-4, Universiti Sains Malaysia, 1985 - Malaysia.
  3. Peristiwa-peristiwa dari Hikayat Hang Tuah. A. Bakar Hamid, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia, 1983 - Hikayat Hang Tuah - 189 pages