Kampung Kesang Jaya

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kampung Kesang Jaya merupakan sebuah kawasan penempatan untuk tapak rumah yang terletak di Kampung Kesang Tua di Jasin, Melaka. Kawasannya terletak lebih kurang 6 kilometer dari bandar Jasin dan lebih kurang 30 kilometer dari Bandaraya Melaka Bersejarah.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Bermula dari kawasan Hutan Simpan Ayer Panas, kawasan ini pernah dijadikan tempat penanaman ubi kayu ketika di zaman pemerintahan Jepun. Melalui perancangan yang dibuat oleh pihak Kerajaan Negeri Melaka pada tahun 1972, kawasan ini telah disediakan pelan tentu ukur untuk tapak-tapak perumahan dengan purata keluasan ¼ ekar bagi setiap lot untuk dianugerahkan kepada masyarakat setempat yang mana ketika itu dikenali sebagai Kampung Baru Ayer Panas.

Kawasan ini telah mula diduduki seawal tahun 1977. Ketika itu terdapat hanya 5 buah rumah, dan bekalan air diambil dari perigi yang digali berdekatan dengan paya di dalam kawasan ini. Di antara mereka ialah En. Baharim bin Hassan dan Tn. Hj. Minhad bin Embi merupakan antara orang Melayu yang pertama mendirikan rumah kediaman di kawasan ini. Seterusnya, diikuti oleh Encik Kerk Chee Yong dan Encik Teh Kim Swee bagi masyarakat Cina serta Encik Mardusiva bagi masyarakat India. Selepas mereka, ramai lagi mengikut jejak langkah mereka sehinggalah terbentuknya sebuah perkampungan terancang yang terdiri dari berbilang kaum yang dikenali sekarang sebagai “Kampung Kesang Jaya”.

Kemudahan awam yang pertama dibina di kampung ini ialah surau yang dibina mengunakan kayu sepenuhnya, dimana ia telah dibina pada tahun 1988 secara bergotong-royong oleh masyarakat setempat untuk kemudahan beribadat pada masa itu. Dengan bertambahnya bilangan rumah-rumah kediaman secara berperingkat-peringkat, secara tidak langsung kemudahan-kemudahan asas juga telah diwujudkan oleh kerajaan seperti bekalan elektrik pada tahun 1978, bekalan air pada tahun 1981, saliran longkang, talian telefon dan jalan raya. Selain itu, pelbagai kemudahan awam juga telah diwujudkan atau diperbaiki semula seperti Surau An' Nur Kesang Jaya, Balai Raya Kampung Kesang Jaya, Perpustakaan Desa Kesang Jaya, telefon awam, tadika, taska, Pusat Masakan An' Nur Kesang Jaya, padang bola, gelanggang dan gerai-gerai.