Daerah Jasin

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Jasin)
Daerah Jasin
Transkripsi lain
 • Jawiجاسين
 • Cina野新县
 • Tamilஜாசின்
Lokasi Daerah Jasin
Map
Daerah Jasin is located in Bumi
Daerah Jasin
Daerah Jasin (Bumi)
Koordinat: 2°18′22″N 102°25′23″E / 2.306003653389242°N 102.4229269998803°E / 2.306003653389242; 102.4229269998803Koordinat: 2°18′22″N 102°25′23″E / 2.306003653389242°N 102.4229269998803°E / 2.306003653389242; 102.4229269998803
Negara Malaysia
Negeri Melaka
PusatJasin
Pihak berkuasa tempatanMajlis Perbandaran Jasin
(timur)
Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya
(barat)
Kerajaan
 • Pegawai daerahRahizi Ranom[1]
Keluasan
 • Jumlah676.07 km2 (261.03 batu persegi)
Penduduk
 (2020)
 • Jumlah151,937
 • Kepadatan220/km2 (580/batu persegi)
Zon waktuUTC+8 (MST)
 • Musim panas (DST)UTC+8 (Tidak diamalkan)
Poskod
77xxx
Kod panggilan+6-06
Nombor plat kenderaanM

Jasin merupakan salah sebuah negara yang terletak dalam negara Malaysia. Jasin, pada awalnya ditadbir oleh Majlis Daerah Luar Bandar Jasin yang ditubuhkan pada tahun 1959 telah diberi pengiktirafan sebagai Majlis Daerah Jasin iaitu pada 1 Julai 1978. Pada 1 Januari 2007 ia telah diisytiharkan sebagai Majlis Perbandaran Jasin.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sejarah Awal Pembukaan Bandar Jasin[sunting | sunting sumber]

Sejarah awal pembukaan bandar Jasin bermula pada tahun 1918 iaitu di kawasan Kesang Pajak yang mengikut aliran sungai. Bagaimanapun, tragedi kebakaran telah mengubah kedudukannya sebagai sebuah pekan kecil. Seorang pendatang berketurunan Bugis, Mat Yasin membangunkan semula kawasan itu pada tahun 1928. Usaha beliau telah mendapat kerjasama pihak Inggeris dan kawasan itu dipanggil Jasin (mengikut sebutan orang Inggeris) bersempena dengan nama Yasin. Sejak itu bandar Jasin mula berkembang.

Dengan berkuatkuasanya Undang-undang Malaysia Akta Kerajaan Tempatan 1976, seperti mana juga dengan Penguasa-penguasa Tempatan yang lain di negara ini, Majlis Daerah Luar Bandar Jasin (Jasin Rural District Council) yang ditubuhkan pada tahun 1959 telah diberi pengiktirafan sebagai Majlis Daerah Jasin iaitu pada 1 Julai 1978.

Zaman Kesultanan Melayu Melaka[sunting | sunting sumber]

Tidak terdapat banyak dokumen mengenai daerah Jasin dalam zaman Kesultanan Melayu Melaka. Tidak juga terdapat peta-peta lama untuk dijadikan panduan dalam mengenalpasti penempatan-penempatan di zaman tersebut. Sehingga kini kita tidak lagi mengetahui kampung-kampung mana yang terdapat di daerah ini kecuali Hulu Duyung.

Salah satu dokumen yang wujud menceritakan mengenai Jasin ialah Hikayat Hang Tuah. Di dalam hikayat tersebut ada menceritakan bahawa Hang Tuah telah difitnah oleh orang lalu beliau dikenakan hukuman bunuh. Bendahara Tun Perak telah ditugaskan untuk menjalankan hukuman tersebut. Bendahara Tun Perak telah mengetahui dari awal bahawa Hang Tuah tidak bersalah dan hukuman itu tidak dilaksanakan sebaliknya Bendahara menyembunyikan Hang Tuah di Hulu Melaka (Hulu Duyung). Di sinilah beliau tinggal bersama-sama dengan seorang pendita (petapa) sehingga beliau dibawa balik ke Melaka untuk menentang Hang Jebat. Hulu Duyung yang dimaksudkan itu terletak di Jasin iaitu di sekitar Gapam, Bemban. Kemungkinan terdapat sebuah perkampungan kecil di situ yang wujud suatu waktu dahulu.

Oleh kerana hanya Hulu Melaka sahaja yang terdapat di dalam dokumen lama, dapat dibuat kesimpulan bahawa kampung ini merupakan sebuah kampung yang tertua yang pernah wujud di daerah ini.

Satu peristiwa bersejarah yang terdapat di dalam Sejarah Melayu dan juga hikayat Hang Tuah ialah peristiwa peminangan Puteri Gunung Ledang. Peristiwa peminangan tersebut diketuai oleh Tun Mamat. Tun Mamat berjaya sampai ke puncak gunung dan bertemu dengan puteri tersebut.

Mengikut tradisi lisan, rombongan meminang Puteri Gunung Ledang itu merentasi hutan dengan melalui Jasin. Semasa dalam perjalanan, Tun Mamat dan rombongannya singgah berehat di Jasin dan tempat singgahannya iaitu di Rim. Sepanjang perjalanan mereka itu, tidak dinyatakan bahawa mereka bertembung dengan mana-mana perkampungan orang. Oleh itu dapat diyakinkan bahawa kawasan Jasin pada suatu masa dahulu dipenuhi dengan hutan belantara.

Semasa singgah di Rim, Tun Mamat dikatakan telah menggali sebuah telaga dan telaga tersebut digelar Telaga Tun Mamat. Telaga tersebut terletak di kawasan Rim, Jasin. Malangnya, telaga itu telah ditimbus untuk melaksanakan projek Padang Bola Rim.

Satu lagi peristiwa bersejarah di zaman Kesultanan Melayu Melaka yang terdapat di Jasin ialah kemangkatan Tun Teja di Merlimau. Ketika Melaka diserang dengan hebatnya oleh Portugis, Sultan Mahmud Shah dengan diiringi pengikut-pengikut setianya telah mengundurkan diri ke Bentayan (Muar). Pada waktu itu, Tun Teja sedang gering dan terpaksa ditandu sepanjang jalan. Akhirnya beliau meninggal dunia dan dikebumikan di Merlimau. Pada waktu itu Merlimau belum lagi didiami orang. Begitu juga sepanjang jalan pengundurannya itu, tidak terdapat sebarang perkampungan kerana tidak tercatat di dalam dokumen tersebut.

Daripada peristiwa-peristiwa yang diceritakan di atas, tidak wujud sebarang bukti yang menunjukkan terdapatnya perkampungan orang tempatan di daerah Jasin kecuali di sekitar Gapam, semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka. Namun demikian, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat suku-suku orang darat yang mendiami hutan belantara Jasin tersebut. Mungkin juga terdapat beberapa kelompok menusia yang mendiami tebing-tebing sungai di daerah ini.

Penubuhan Jabatan Kerajaan di Jasin[sunting | sunting sumber]

Majlis Perbandaran Jasin

Bagi melicinkan lagi perlaksanaan undang-undang tanah di Daerah Jasin, Pejabat Daerah Jasin diwujudkan pada tahun 1887. Pejabat Daerah Alor Gajah pula ditubuhkan dua tahun kemudian iaitu pada tahun 1889.

Yang mengetuai pentadbiran di peringkat daerah ialah Pegawai Daerah atau District Officer. Tugas beliau selain daripada mengetuai pentadbiran peringkat daerah juga merupakan:

  • Hakim (Majistret)
  • Coroner
  • Pegawai Tanah
  • Pengurus Am

Dengan perkataan lain, Pegawai Daerah merupakan orang yang paling berkuasa di daerah tersebut. Dia berkuasa menjatuhkan hukuman seolah-olah dia pembesar daerah tersebut. Pada tahun 1886, telah diwujudkan satu jawatankuasa iaitu Assistant Superintendent of Forest. Pada tahun yang sama, sistem polis telah dipergiatkan. Hospital Jasin dan Hospital Alor Gajah pula ditubuhkan pada tahun 1899.

Pada tahun 1914, buat pertama kalinya surat dari Melaka telah dihantar ke Jasin dengan menggunakan kereta dan pada tahun tersebut, terdapat kira-kira 50 sehingga 60 buah kereta terdapat di atas jalanraya negeri Melaka.[3]

Pentadbiran[sunting | sunting sumber]

Peta daerah Jasin

Daerah Jasin ditadbir oleh dua pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Jasin di timur dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya di barat. Pusat pentadbiran daerah ini terletak di Jasin dan terbahagi kepada 20 buah mukim, dua bandar dan sembilan pekan.

Mukim[sunting | sunting sumber]

Bandar dan pekan[sunting | sunting sumber]

Geografi[sunting | sunting sumber]

Daerah Jasin terletak di timur negeri Melaka bersempadan dengan daerah Tampin, Negeri Sembilan di utara, daerah Tangkak, Johor di timur, daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah di barat dan Selat Melaka di selatan.

Iklim[sunting | sunting sumber]

Iklim di daerah ini ialah iklim khatulistiwa (Af).[4] Purata suhu ialah 27.22 °C (81.0 °F). Bulan Mei merupakan bulan yang paling panas di kawasan ini dengan suhu mencecah 27.9 °C (82.2 °F). Bulan Disember dikategorikan sebagai bulan paling sejuk dengan suhu 26.5 °C (79.7 °F).[4] Purata kerpasan di Jasin adalah 2050.6 milimeter pertahun. Bulan November merupakan bulan paling tinggi kerpasan dengan 229.9 milimeter manakala bulan yang paling rendah pula Februari dengan 89.3 milimeter.[4]

Data iklim untuk Jasin (1990-2019)
Bulan Jan Feb Mac Apr Mei Jun Jul Ogo Sep Okt Nov Dis Tahun
Purata suhu harian, °C (°F) 26.7
(80.1)
27.3
(81.1)
27.6
(81.7)
27.7
(81.9)
27.9
(82.2)
27.6
(81.7)
27.3
(81.1)
27.2
(81.0)
27.1
(80.8)
27.0
(80.6)
26.7
(80.1)
26.5
(79.7)
27.2
(81.0)
Purata kerpasan, mm (inci) 105.7
(4.16)
89.3
(3.52)
161.4
(6.35)
196.6
(7.74)
180.3
(7.10)
165.4
(6.51)
168.3
(6.63)
180.6
(7.11)
186.4
(7.34)
220.9
(8.70)
229.9
(9.05)
165.8
(6.53)
2,050.6
(80.74)
Sumber: ClimateCharts[4]

Demografi[sunting | sunting sumber]

Sejarah kependudukan
TahunPend.±%
197084,816—    
198087,523+3.2%
199192,771+6.0%
2000101,659+9.6%
2010131,539+29.4%
2020151,937+15.5%
Pecahan etnik di Jasin - Bancian 2020
Agama Peratus
Bumiputera
  
81.6%
Cina
  
9.3%
India
  
8.7%
Lain-lain
  
0.4%

Berdasarkan bancian Malaysia 2020 jumlah penduduk di Daerah Jasin ialah seramai 151,937 orang dengan kepadatan penduduk 224 orang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk padat. Majoriti penduduk di daerah ini merupakan Bumiputera, membentuk lebih 81 peratus penduduk. Kaum kedua terbesar merupakan kaum Cina diikuti India. Lebih lapan peratus penduduk merupakan bukan warganegara.[5]

Nisbah penduduk lelaki kepada penduduk wanita ialah 116:100. Terdapat 51,148 tempat kediaman dengan sebanyak 39,361 isi rumah. Purata saiz isi rumah pula dicatatkan seramai empat orang dalam sebuah rumah. Lebih 109 ribu penduduk dalam kalangan umur bekerja, 29 ribu dalam golongan muda dan selebihnya 12 ribu orang merupakan warga tua.

Kewarganegaraan Kaum Jumlah
Warganegara Malaysia Bumiputera 113,207
Cina 12,945
India 12,024
Lain-lain 525
Bukan warganegara N/A 13,236

Agama[sunting | sunting sumber]

Agama di Jasin - Bancian 2020
Agama Peratus
Islam
  
77.7%
Buddha
  
8.6%
Hinduisme
  
8.3%
Tidak diketahui
  
3.7%
Kristian
  
1.1%
Lain-lain
  
0.4%
Tidak beragama
  
0.2%

Majoriti penduduk di daerah Jasin beragama Islam yang terdiri daripada penduduk berbangsa Melayu dan beberapa etnik lain. Agama kedua terbesar merupakan agama Buddha yang kebanyakannya dianuti penduduk berbangsa Cina. Agama ketiga terbesar merupakan agama Hindu yang majoritinya terdiri daripada penduduk berbangsa India. Penduduk berbangsa bumiputera lain dan etnik yang lain terdiri daripada mereka yang menganut Kristian dan beberapa agama lain serta tidak beragama.[5]

Agama Jumlah
Islam 118,087
Buddha 13,097
Hindu 12,542
Kristian 1,642
Lain-lain 648
Tidak beragama 239
Tidak diketahui 5,682

Pengangkutan[sunting | sunting sumber]

Terminal Bas dan Teksi Jasin Sentral

Jasin boleh dihubungi melalui Lebuh Raya Utara-Selatan di persimpangan Tol Jasin.(14 kilometer dari Bandar Jasin dan 18 kilometer dari Pekan Merlimau) Jasin juga boleh dihubungkan melalui Lebuh Raya tersebut melalui susur keluar Tol Ayer Keroh (20 km dari Bandar Jasin) atau Tol Tangkak (18 kilometer dari Pekan Jasin). Landasan kereta api memasuki bahagian utara daerah Jasin. Jasin boleh dihubungi melalui kereta api menerusi Stesen kereta Api Batang Melaka yang baru dan moden. stesen ini telah menggantikan stesen lama KTM yang telah dipindahkan lokasinya ke dalam wilayah Negeri Melaka melalu program landasan berkembar elektrik. Perkhidmatan KTM Komuter dan ETS dijangka akan beroperasi tidak lama lagi. Hal ini akan memberi kemudahan kepada penduduk di Bandar Jasin dan sekitarnya untuk ke Kuala Lumpur dengan tren komuter atau ETS pada masa yang akan datang. Tidak perlu lagi ke Bandaraya Melaka untuk ke Kuala Lumpur. Jaraknya 22 kilometer dari Bandar Jasin, 10 kilometer dari Pekan Selandar.

Walau bagaimanapun Stesen Kereta Api Pulau Sebang di Alor Gajah (dahulu dikenali Stesen KTMB Tampin) merupakan stesen KTMB yang utama bagi seluruh Negeri Melaka kerana stesen ini semua jenis ekspres KTMB berhenti berbanding stesen Batang Melaka hanya jenis tren Ekspres Sinaran Pagi dan Ekpres sinaran Petang (Kuala Lumpur-Singapura-Kuala Lumpur). Orang ramai boleh menggunakan kenderaan teksi dan bas untuk ke Jasin yang mengambil masa 50 minit jika berkereta dari KTMB Pulau Sebang. Namun demikian daerah Jasin juga terlibat dengan projek landasan kereta api berkembar elektrik antara Seremban dan Gemas turut melalui daerah Jasin. Sebuah stesen kereta api yang baru akan dibina di Batang Melaka yang mana lokasinya terletak dalam wilayah Negeri Melaka beberapa meter sahaja dari stesen KTMB Batang Melaka sekarang ini. Siapnya projek ini pada tahun 2012 akan menjadi mercu bagi daerah Jasin khususnya Pekan Batang Melaka, Nyalas dan Selandar yang akan mempunyai stesen kereta api yang moden berbanding sekarang yang letaknya dalam kawasan Negeri Sembilan.Selain itu Perhentian bas Bandar Jasin menghubungkan pengangkutan ke Tangkak dan Bandaraya Melaka selain pekan-pekan kecil yang lain di Jasin. Syarikat Kenderaan Aziz dan Cepat Ekspres melalu Bandar Jasin sebelum meneruskan perjalanan ke pantai timur dari Bandaraya Melaka.

Tarikan pelancongan[sunting | sunting sumber]

Dataran Jasin[sunting | sunting sumber]

Dataran Jasin

Dataran Jasin terletak kira-kira 800 meter dari pusat bandar Jasin dan ia merupakan tempat beriadah bagi kanak-kanak dan juga orang dewasa. Disini terdapat pelbagai kemudahan seperti tempat refleksi, taman permainan, dataran, pentas serta aktiviti sukan lasak bagi mereka yang berminat terhadap sukan tersebut dan pondok istirahat.[6]

Muzium Pertanian[sunting | sunting sumber]

Muzium Pertanian

Muzium Pertanian terletak ditengah-tengah Pekan Jasin. Sebelum dijadikan muzium, bangunan ini merupakan Pejabat Pos pertama di Bandar Jasin iaitu kira-kira 30 km dari Bandar Melaka. Muzium ini diwujudkan untuk memaparkan fakta dan mitos asal Jasin sebagai salah satu penempatan perkembangan wilayah yang agak penting bagi Melaka.[7]

Makam Datuk Senara[sunting | sunting sumber]

Tok Senara ataupun Mat Yassin merupakan orang yang bertanggungjawab membangunkan kawasan Jasin. Dikatakan Tok Senara dimakamkan di Pekan Jasin (bersebelahan dengan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jasin). Jarak diantara makam dengan Bandaraya Melaka ialah kira-kira 30 km.[8]

Makam Tun Teja[sunting | sunting sumber]

Makam yang terletak di Merlimau ini dipercayai sebagai makam Tun Teja Ratna Benggala anak kepada Seri Amar Diraja Bendahara, Pahang (Inderapura). Tun Teja ialah isteri kepada Sultan Mahmud Shah (1458-1511) apabila Melaka ditawan olen Portugis pada tahun 1511 baginda telah berundur ke Bentayan (Muar), semasa pengunduran inilah Tun Teja yang ketika itu sedang gering dan mangkat. Jasadnya dipercayai dimakamkan di sini dengan penuh adat istiadat. Tun Teja bukan sahaja seorang wanita yang jelita dan berhemah tinggi bahkan seorang isteri yang setia serta disayangi oleh Sultan dan telah menumpukan sepenuh taat setia kepada negeri ini. Beliau juga telah membangkitkan semangat kepahlawanan dikalangan wanita Melayu negeri ini untuk turut sama mempertahankan negeri ini dari serangan Portugis, segala jasa dan pengorbanan beliau akan tetap dikenang buat selamanya.[9]

Rumah Melayu Tradisional Sungai Rambai[sunting | sunting sumber]

Demang Haji Jaafar b Hj Awang dilahirkan di Belembang pada tahun 1850. Anak kelahiran Johor ini telah merantau dan membuka sebuah penempatan yang diberi nama Kampung Sungai Rambai. Pembukaan kampung ini dibantu oleh rakan-rakan setianya seperti Sidang Hamzah, Meleh bt Abu Bakar dan Kerisik (berketurunan Bugis yang merupakan rakan beliau yang paling rapat), Chung Liong, Chung Luang, An Ngi dan Ah Ding. Selain dikenali sebagai seorang pendekar yang kebal, beliau juga disegani kerana ilmu agamanya yang tinggi dan ketegasannya dalam menjalankan tugas sebagai Demang. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1944 ketika berusia 94 tahun. Rumah ini kini dimiliki oleh Encik Kamaluddin b Yaakop yang merupakan generasi ketiga Demang Jaafar.[10]

Perkampungan Orang Asli Gapam[sunting | sunting sumber]

Perkampungan masyarakat orang asli yang terletak di Kampung Gapam ini mampu mempamerkan corak sebenar kehidupan masyarakat orang asli.[11]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Pejabat Daerah dan Tanah Jasin, Melaka : Perutusan Pegawai Daerah". Pejabat Daerah dan Tanah Jasin, Melaka : Perutusan Pegawai Daerah.
  2. ^ "Pejabat Daerah dan Tanah Jasin, Melaka : Peta & Keluasan". Pejabat Daerah dan Tanah Jasin, Melaka : Peta & Keluasan.
  3. ^ Sejarah Jasin
  4. ^ a b c d Laura Zepner; Pierre Karrasch; Felix Wiemann; Lars Bernard (2020). "ClimateCharts.net – Bemban". Technical University of Dresden. doi:10.1080/17538947.2020.1829112. Dicapai pada 2021-06-20.
  5. ^ a b https://www.dosm.gov.my/mycendash/
  6. ^ Dataran Jasin
  7. ^ "Muzium Pertanian". Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-11-28. Dicapai pada 2014-11-13.
  8. ^ Makam Datuk Senara
  9. ^ Makam Tun Teja
  10. ^ Rumah Tradisional Sg Rambai
  11. ^ Perkampungan Orang Asli Gapam