Kampung Pulau Besar, Perak

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kampung Pulau Besar dikelilingi oleh Sungai Perak di bahagian barat, Sungai Terus di utara yang bercantum dengan Sungai Kinta di bahagian timur dan terus bersambung dengan Sungai Perak di bahagian selatan. Pentadbirannya pada masa dahulu terletak di bawah dua mukim iaitu Mukim Pasir Panjang Ulu, dan di bahagian selatan Mukim Bandar, Di atas pulau ini terdapat beberapa buah kampung iaitu Kg Pulau Besar, Kg Pasir Pulai, Kg Seberang Terus, Kg Kuala Kinta, Kg Budiman, Kg Pasir Segoncang, Kg Bandar Baru, Kg Teluk Memali, Kg Ujung Buruk dan Kg Tanjung Penangguk.

Demografi[sunting | sunting sumber]

Populasi penduduk[sunting | sunting sumber]

Pada zaman pemerintahan Britain di Tanah Melayu, ramai kaum Cina tinggal di kampung-kampung tersebut sebelum berpindah ke Teluk Anson (sekarang Teluk Intan).

Pada masa sekarang wujud sebuah kampung tersusun yang terletak di pinggir jalan utama dari Kampung Gajah ke Teluk Intan iaitu jalan yang merentasi tengah Pulau Besar dibina pada akhir tahun 1960-an. Penduduk Kampung Tersusun Teluk Memali berasal dari beberapa buah kampung seperti yang dicatatkan diatas. Di situ juga ada penempatan skim PPRT. Kampung ini lengkap dengan kemudahan elektrik dan bekalan air bersih. Di situ juga ada sebuah Perpustakaan Desa yang serba lengkap.

Perhubungan: sebelum dibina jalan raya utama dari Kg Gajah ke Teluk Intan; perhubungan hanya menggunakan pengangkutan di air melalui Sungai Perak. Wujud bot (boat) tambang yang dimiliki oleh syarikat peladang dan orang persendirian. Bot-bot tersebut bergerak antara Teluk Intan hingga ke Lambor Kanan dan dari Lambor Kanan terus ke Bota Kanan dan Parit pada setiap hari. Bot-bot tambang itu dikenali melalui nama tersendiri seperti Bot Peladang, Bot Seri Tenaga, Bot 8, Bot Kandang Lembu, Bot 1213 dan sebagainya. Perkhidmatan bot tambang ini biasanya pada sebelah pagi bergerak dari kampung-kampung terus ke jeti Teluk Intan ( Teluk Anson ) iaitu di terletak di kawasan Pasir Bedamar. Selain membawa penumpang; bot-bot tersebut sarat dengan muatan hasil kampung terutamanya getah keping dan getah beku. Pada musim buah-buah seperti durian dan manggis bot-bot akan dipenuhi dengan buah itu. Perjalanan biasa dari Kg Gajah ke Teluk Intan mengambil masa sekitar 3 jam.Tetapi pada musim kemarau mungkin mengambil masa yang lebih lama. Pada sebelah petang selepas jam 2.00 ptg semua bot-bot akan bergerak semula ke kampung dengan muatan penumpang dan barang-barang keperluan harian kepunyaan pekedai di sepanjang tebing Sungai Perak.

Di atas Pulau Besar terdapat beberapa buah Makam Di Raja, satu daripadanya makam Sultan Mansor Shah yang terletak di Kg Pasir Pasir Pulai. Selain itu, di Kg Bandar Baru ialah tempat JWW Birch dikuburkan.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Pada masa dahulu ada dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Pasir Panjang Ulu dan Sekolah Kebangsaan Budiman. Walaubagaimanapun Sekolah Kebangsaan Budiman telah ditutup sekitar tahun 1970-an kerana kekurangan murid.

Ekonomi[sunting | sunting sumber]

Pada zaman dahulu seluruh kampung Pulau Besar ini dijadikan kebun getah dan dusun buah-buahan sehinggalah FELCRA membangunkan tanah-tanah di situ dengan tanaman kelapa sawit. Sekarang hampir keseluruhannya telah ditanam sawit sebagai hasil utama di kawasan itu.

Rujukan[sunting | sunting sumber]