Daerah di Brunei

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Kampung di Brunei)
Daerah-daerah di Brunei
KategoriRaja mutlak
LokasiBrunei
Bilangan4
Jumlah penduduk10,251 (Temburong) – 289,630 (Brunei-Muara)
Keluasan571 km2 (220 bt2) (Brunei-Muara) – 2,727 km2 (1,053 bt2) (Belait)
Kerajaan/pemerintah
Subbahagian
  • Mukim
    Kampung

Daerah ialah bahagian pentadbiran utama di Brunei. Terdapat empat daerah, iaitu Brunei-Muara, Belait, Tutong dan Temburong. Setiap daerah dibahagikan kepada beberapa mukim, dan seterusnya setiap mukim dibahagikan kepada beberapa kampung.

Daerah Belait ialah daerah yang terbesar dengan keluasan 2,727 kilometer persegi (1,053 batu persegi) sementara Daerah Brunei-Muara mempunyai keluasan yang paling kecil iaitu 571 kilometer persegi (220 batu persegi). Walau bagaimanapun, Daerah Brunei-Muara mempunyai penduduk yang paling ramai dengan jumlah 289,630 orang (banci 2016), sementara Daerah Temburong mencatatkan jumlah penduduk yang paling kecil iaitu 10,251.[1]

Setiap daerah ditadbir oleh sebuah Jabatan Daerah, yang merupakan salah sebuah jabatan dalam kerajaan Brunei iaitu di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Ketua pentadbiran ialah Pegawai Daerah.

Ibu negara Bandar Seri Begawan terletak dalam Daerah Brunei-Muara.

Subbahagian[sunting | sunting sumber]

Sesebuah mukim dan kampung-kampung di bawahnya adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Daerah di mana daerah yang ditadbir mengandungi mukim dan kampung tersebut. Contohnya, Mukim Bokok dan kampung-kampung di bawahnya adalah dalam Daerah Temburong dan oleh itu ditadbir oleh Jabatan Daerah Temburong.

Mukim dan kampung dianggap sebagai institusi akar umbi utama dalam masyarakat Brunei.[2][3] Sesebuah mukim atau kampung biasanya mempunyai Majlis Perundingan Mukim atau Kampung.

Mukim[sunting | sunting sumber]

Mukim merupakan bahagian pentadbiran peringkat pertengahan dalam hierarki subbahagian di Brunei. Terdapat 39 mukim di Brunei, iaitu 18 di Brunei-Muara, 8 di Belait, 8 di Tutong, dan 5 di Temburong.[4] Setiap mukim diketuai oleh seorang penghulu.

  Belait
  Tutong
Senarai jumlah penduduk mukim di Brunei
Daerah Mukim Penduduk (2016)[5]
Brunei dan Muara Berakas 'A' 27,223
Berakas 'B' 40,710
Burong Pingai Ayer 1,770
Gadong 'A' 34,049
Gadong 'B' 33,637
Kianggeh 8,228
Kilanas 22,492
Kota Batu 12,935
Lumapas 7,756
Mentiri 30,192
Pangkalan Batu 14,492
Peramu 1,111
Saba 1,000
Sengkurong 31,493
Serasa 16,173
Sungai Kebun 4,750
Sungai Kedayan 230
Tamoi 1,389
Belait Bukit Sawat 794
Kuala Balai 31
Kuala Belait 31,308
Labi 1,216
Liang 14,301
Melilas 29
Seria 21,214
Sukang 169
Tutong Keriam 9,707
Kiudang 5,924
Lamunin 4,298
Pekan Tutong 10,551
Rambai 1,404
Tanjong Maya 4,062
Telisai 10,095
Ukong 2,272
Temburong Amo 2,144
Bangar 2,449
Batu Apoi 1,635
Bokok 3,433
Labu 590

Mukim-mukim Burong Pingai Ayer, Peramu, Saba, Sungai Kebun, Sungai Kedayan dan Tamoi merupakan mukim-mukim di Kampong Ayer.

Kampung[sunting | sunting sumber]

Kampung ialah bahagian pentadbiran peringkat terbawah dalam hierarki subbahagian di Brunei. Pentadbiran kampung dikendalikan oleh seorang ketua kampung. Walau bagaimanapun, pentakrifan persempadanan kampung atau kuasa pentadbiran ketua kampung mungkin terdapat perbezaan. Contohnya, Kampung Penabai dan Kampung Kuala Tutong merupakan dua buah kampung tetapi ditadbir oleh seorang ketua kampung.

Kampung di Brunei tidak terhad kepada petempatan di bahagian pedalaman sahaja tetapi juga merangkumi kawasan-kawasan kejiranan di bandar dan pekan, serta beberapa kawasan perumahan awam. Terdapat kampung yang pada asalnya merupakan sebuah petempatan tetapi telah dibahagikan menjadi dua atau lebih kampung, contohnya Kampung Lambak 'A' dan 'B'. Terdapat juga kawasan perumahan awam yang telah diwartakan menjadi kampung, contohnya Kampung Lorong Tiga Selatan, atau pemecahan kawasan tersebut menjadi beberapa kampung, seperti Kawasan 1-5 bagi Perumahan Negara Lambak Kanan. Beberapa kampung juga mungkin sebahagian daripada kawasan-kawasan perbandaran Bandar Seri Begawan atau pekan-pekan yang mempunyai majlis perbandaran.

Sesebuah kampung biasanya mempunyai infrastruktur sosial asas seperti masjid, sekolah rendah dan balai raya atau dewan kemasyarakatan. Memandangkan majoriti penduduk Brunei beragama Islam, sebuah kampung juga biasanya mempunyai masjid serta sekolah ugama yang menyediakan pendidikan rendah agama Islam, yang mana ianya wajib kepada kanak-kanak beragama Islam di Brunei.[6] Selain itu, kampung-kampung biasanya mempunyai kedai runcit dan jenis kedai yang lain seperti kedai makan, tukang jahit, dan kedai gunting atau salun.

Kampung juga mungkin sepadan dengan kawasan sesuatu poskod.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Department of Economic Planning and Development - Population". www.depd.gov.bn (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 November 2018.
  2. ^ Wan Ahmadi, Wan Mohamad Sahran (2 April 2018). "Tingkatkan kapasiti kepimpinan akar umbi". www.pelitabrunei.gov.bn. Dicapai pada 5 April 2018. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)
  3. ^ S., Siti Nur Wasimah (22 November 2017). "Pemimpin akar umbi merafakkan kesyukuran". mediapermata.com.bn. Dicapai pada 5 April 2018. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)
  4. ^ "Buku Panduan Poskod Negara Brunei Darussalam Edisi Kedua" (PDF). post.gov.bn. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2018-10-16. Dicapai pada 6 November 2018.
  5. ^ "Jadual B2 : Jumlah Penduduk, Isirumah dan Tempat Kediaman yang didiami Mengikut Mukim". Dicapai pada 3 June 2021.
  6. ^ Yahya, Salawati. "Perkasa pendidikan Islam". Media Permata Online. Dicapai pada 6 November 2018.