Konfederasi Patani Besar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jata Patani Besar
Peta Wilayah Patani Besar yang dibangunkan oleh Raja Sakti I (Kelantan) dari tahun 1650

Patani Besar merupakan kerajaan feudal yang ditubuhkan pada 1603 oleh Raja Sakti I yang merangkumi Pattani, Kelantan, Terengganu, Songkhla, dan Phattalung. Pusat pentadbirannya terletak di Kota Pangkalan Datu yang berhampiran dengan Sungai Kelantan. Pemerintahan kerajaan ini juga dikenali sebagai Keluarga Diraja Jembal Kelantan dan bertahan hingga penghujung abad ke-17 apabila Kerajaan ini berpecah akibat kerajaan pusat di Pattani diserang Siam pada 1785.

Penubuhan Konferensi[sunting | sunting sumber]

Mengikut Hikayat Patani, Kerajaan Melayu Patani berasal dari kerajaan Melayu yang berpusat di Kota Mahligai, Kelantan yang diperintah oleh Raja Sakti I atau Phya Tu Kerab Mahayana. Pada pertengahan kurun ke 17, Raja Kuning yang memerintah Patani telah mangkat dan menjadikan negeri Patani huru-hara. Raja Sakti I dari Kelantan berjaya menyatukan Patani dan Kelantan di bawah pemerintahannya pada tahun 1649. Pemerintahan di Patani selepasnya diterajui oleh puteranya, Raja Bakal yang memerintah dari tahun 1688-1690. Dua orang Raja Perempuan dari Kerajaan Jembal di Kelantan telah menerajui pemerintahan Patani iaitu Raja Mas Kelantan (1670-1698) dan puterinya Raja Mas Cayam yang dikenali juga sebagai Raja Dewi Peracu (1698-1702). Raja Mas Cayam inilah yang menabalkan anak Bendahara Johor iaitu Tun Zainal Abidin sebagai Sultan di sungai Terengganu, dalam usahanya pengukuhkan persahabatan dan persekutuan dengan Johor.

Pemerintahan[sunting | sunting sumber]

Raja Sakti I (Phya Tu Kerab Mahayana) yang berjaya menubuhkan Pattani Besar memerintah dari Kota Mahligai, Bachok, Kelantan. Oleh kerana kedudukan Kota Mahligai itu terlalu jauh ke pedalaman dan sukar untuk didatangi oleh pedagang-pedagang telah menyebabkan Raja Sakti II (Phya Tu Antara), anak Phya Tu Kerab Mahayana, memindahkan pusat kerajaannya ke sebuah perkampungan nelayan yang kemudiannya diberi nama "Patani" (yang kini dikenali sebagai Kampung Grisek dalam wilayah Pattani, Thailand). Pada waktu pemerintahan Raja Mas Cayam, Terengganu telah bernaung di bawah pemerintahan Pattani, dan Raja Mas Cayam menganugerahkan Sultan Zainal Abidin I (Sultan Terengganu) dengan sebilah keris panjang semasa bertabalan baginda. Keris itu menjadi alat kebesaran negeri Terengganu sampai sekarang dan diberi nama keris Mas Cayam. Pattani mengukuhkan kuasanya di semenanjung Tanah Melayu dengan Raja Perempuan bernama Raja Hijau berkahwin dengan Sultan Pahang iaitu Sultan Abdul Ghafur dan hasil perkahwinan ini menguatkan Pattani dari ancaman Siam. Pattani juga menjadi pusat kebudayaan Melayu di Nusantara selain dari Riau, dengan banyaknya karya ulung kesusasteraan Melayu dihasilkan disini seperti Hikayat Patani dan Syair Siti Zubaidah.

Kemasyhuran[sunting | sunting sumber]

Kedudukan Patani di Semenanjung Siam yang strategik dari segi geografi, telah menyebabkan kota itu menjadi tumpuan pedagang-pedagang asing baik dari barat atau timur untuk singgah sama ada untuk beristirahat ataupun berdagang. Dalam masa yang singkat saja Patani telah muncul sebagai sebuah kerajaan yang penting, maju dari segi ekonomi serta stabil dari segi politik dan pemerintahan. Dasar perhubungan antarabangsanya yang baik telah menyelamatkan Patani daripada jatuh kepada penjajah-penjajah Siam, Portugis dan Belanda.

Penyebaran Agama Islam juga telah membawa angin perubahan yang bermakna kepada Patani. D’ Eredia, seorang pelawat Portugis, telah menulis dalam tahun 1613 bahawa Islam telah bertapak di Patani lebih awal daripada Melaka. Ada juga pendapat menyebutkan bahawa Islam telah bertapak di Kuala Berang, Terengganu, iaitu pada sekitar 1386- 87 T.M. Phya Tu Antara, yang memeluk Islam melalui seorang ulama dari Pasai, Syeikh Said, telah menukar namanya kepada nama Islam iaitu Sultan Ismail Syah Zillullah Dil Alam. Semenjak itu, Patani telah menjadi tumpuan saudagar-saudagar Islam dan menjadikannya sebagai pusat perdagangan Timur-Barat yang terkenal di rantau ini. Patani bertambah maju apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511.

Keruntuhan[sunting | sunting sumber]

Pattani Diserang Kerajaan Chakri Selepas Panglima Phya Taksin berjaya mengusir penjajah Burma dari Ayutthaya dan memahkotakan dirinya sebagai Raja Siam yang baru dibawah dinasti keluarganya bernama Chakri dalam tahun 1776, Siam telah menumpukan pula perhatiannya ke atas negeri-negeri di selatan semenanjung yang telah mengisytiharkan diri merdeka semasa perang Burma-Siam dahulu. Negeri-negeri di Selatan Semenanjung iaitu Ligor, Songkhla dan Pattalung telah diserang dan ditawan oleh Siam. Keadaan ini menyebabkan raja negeri-negeri tersebut terpaksa mencari perlindungan di Patani. Pada tahun 1779, Sultan Pattani bernama Sultan Muhammad pula telah dipaksa memberi bantuan kepada Siam untuk menentang Burma. Apabila Sultan Muhammad enggan membuat demikian, Phraya Chakri telah memerintah adiknya, Putera Surasi, dengan dibantu oleh Phraya Senaphutan, Gabenor Pattalung, Palatcana dan Songkhla supaya menyerang Patani pada tahun 1785. Walaupun kerajaan Melayu Patani cuba mempertahankan diri tetapi Siam telah berjaya menguasai Patani pada tahun berikutnya.

Sultan Muhammad pula telah syahid dalam pertempuran dengan pihak Siam. Akibat kekalahan itu, seramai 4,000 orang Melayu Patani telah dijadikan tawanan dan dibawa ke Bangkok sebagai hamba tebusan.Berikutan kejatuhan Patani itu, Tengku Lamidin, Raja Bendang Badan,telah dilantik oleh Siam sebagai Raja Patani yang baru. Tengku Lamidin bagaimanapun tidak lama berkuasa. Dalam tahun 1791, Tengku Lamidin telah bersatu dengan Raja Annam yang beragama Islam, Okphaya Cho So, dan memberontak serta menyerang kedudukan tentera Siam di Tiba, Chanak, Songkhla dan Saiburi.Dalam kebangkitan itu, Tengku Lamidin telah dibantu oleh Sheikh Abdul Kamal, seorang ulama berasal dari Mekah, tetapi gagal. Kemudian pihak Siam, atas cadangan Ligor, telah melantik Datuk Pengkalan sebagai Raja Patani. Pada tahun 1808 Datuk Pengkalan juga bangkit menentang Siam. Walau bagaimanapun, pemberontakan itu juga telah dapat dipatahkan oleh Siam setelah mendapat bantuan kerajaan pusat di Bangkok.

Pecah Dan Perintah[sunting | sunting sumber]

Kerajaan Melayu Patani telah dipecahkan kepada tujuh buah negeri atau hua muang untuk melemahkan orang Melayu Patani. Di tiap-tiap buah negeri itu, telah dilantik seorang raja atau chao muang di bawah pengawasan Songkhla. Dengan perubahan ini, maka berakhirlah keagungan Kerajaan Melayu Patani. Kini Kerajaan Melayu Patani hanyalah salah sebuah dari negeri yang baru dibentuk. Tujuh buah negeri tersebut dan raja-raja pemerintahnya adalah seperti berikut.

Patani - Tuan Sulung Teluban - Nik Dir Nongchik - Tuan Nik Jalor - Tuan Yalor Jambu - Nai Pai Rangae - Nik Dah Reman - Tuan Mansur

Dengan memecahkan kerajaan Melayu Patani, kerajaan Siam percaya mereka dapat melemahkan orang Melayu Patani daripada bangkit menentang.Sejajar dengan itu arahan raja telah dikeluarkan kepada raja-raja negeri Melayu bahawa hukuman mati ataupun penjara akan dikenakan terhadap mana-mana raja, termasuk keluarga mereka, sekiranya mereka memberontak atau menderhaka. Untuk mengukuhkan lagi penguasaannya ke atas negeri-negeri Melayu, kerajaan Siam telah melantik Raja Jambu, Nai Rai, seorang berketurunan Siam, sebagai wakil kerajaan pusat bagi mengawasi raja-raja di negeri lain. Sementara itu, kerajaan Siam juga memindahkan orang-orang Siam ke negeri-negeri tersebut dengan tujuan mengimbangkan penduduk yang berketurunan Melayu.