Masjid Ubudiah, Perak

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Masjid Ubudiah, Perak
UbudiahMosque.JPG
Maklumat am
Tempoh pembinaan 1913-1917
Maklumat pentadbiran
Imam Tiada maklumat (Imam Besar)
Lokasi Masjid Ubudiah,
Bukit Chandan, Kuala Kangsar,
Perak

sunting
Lihat pendokumenan templat ini

Masjid Ubudiah, kadang kala dikenali sebagai Masjid Diraja Ubudiah ialah sebuah masjid negeri di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak yang dianggap salah satu masjid terindah di Malaysia dan merupakan simbol kebanggaan dan kepercayaan untuk kaum Muslim di Perak. Kubah emas dan menara masjid adalah bukti dari keindahan senibina Islam. Masjid Ubudiah dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Jalil Karamatullah Shah pada tahun 1917.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Dari segi latar belakang sejarahnya Masjid Ubudiah yang terletak berhampiran dengan Istana Iskandariah ini, adalah merupakan masjid nazar. Ia diasaskan oleh Sultan Idris untuk membayar nazar kerana baginda telah pulih dari penyakitnya. Semasa beristirahat dalam rawatan di Port Dickson, Negeri Sembilan, Sultan Idris Murshidul'adzam Shah I (1887-1916) telah bernazar untuk membina sebuah masjid di Bukit Chandan sekiranya kesihatan baginda pulih.

Setelah berangkat balik ke Kuala Kangsar, baginda telah menitah Kolonel Huxley dari Jabatan Kerja Raya, Kuala Lumpur, untuk mereka bentuk sebuah masjid yang hendak didirikan. Pembangunan Masjid Ubudiah bermula dari zaman Sultan Idris Murshidul Adzam Shah I, Sultan Perak ke-28.

Walau bagaimanapun pembinaannya telah tergendala apabila batu-batu marmar yang dibeli dari Negara Itali telah pecah dipijak oleh dua ekor gajah kepunyaan baginda dan Raja (Sir) Chulan Ibni Sultan Abdullah. Mengikut cerita dengan tidak semena-mena seekor gajah baginda bernama Kulub Chandan dan gembalanya bernama Kulup Sa'id telah berjuang dengan seekor gajah kepunyaan Raja Chulan bernama Kulub Gangga dan gembalanya bernama Uda Debok.

Perjuangan gajah itu telah melarat ke tempat simpanan batu marmar tersebut dan akibatnya, musnahlah batu marmar itu. Perjuangan gajah itu telah berlanjutan hingga berjam-jam lamanya, sehingga Raja Chulan sendiri datang, menyeru nama gajahnya dan memerintahkannya berhenti, maka barulah gajah itu berhenti berjuang, walaupun telah ramai orang yang cuba meleraikan gajah itu tetapi tidak berhasil.

Oleh sebab batu marmar itu telah musnah, maka terpaksalah dipesan semula dari Negara Itali. Tetapi malangnya, batu marmar yang dipesan itu telah lambat sampai oleh kerana cetusan Peperangan Dunia Pertama di Eropah. Batu marmar itu telah dibawa melalui Negara Afrika Selatan. Perbelanjaan pembinaan masjid ini adalah kira-kira $22,000.00.

Pada hari Jumaat, 26 September 1913, Sultan Idris Shah I, telah meletakkan batu asas masjid tersebut. Masjid ini telah siap dibina dan dibuka dengan rasminya oleh Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah (1916-1918.), Sultan yang ke-29, pada tahun 1917.

Arkitek[sunting | sunting sumber]

Arkitek yang ditugaskan mereka bentuk masjid ini ialah Encik Hubbeck, yang menggunakan seni reka Moor dan Encik Caulfield, jurutera Negeri Perak, telah ditugas melaksanakan bangunan masjid ini. Seni reka yang diilhamkan oleh Encik Hubbeck telah menjadi Masjid Ubudiah salah satu masjid yang mempunyai nilai seni reka yang bermutu tinggi sehingga ia mendapat tempat dalam peta pelancongan Malaysia.

Reka bentuk[sunting | sunting sumber]

Dari segi reka bentuk ia juga amat menarik. Pelannya telah disediakan oleh Pereka bentuk Kerajaan Negeri-Negeri Melayu, Arthur Benison Hubback dibawah penyeliaan W. S. Huxley. Ia berbentuk octagon dan mempunyai 4 buah menara setinggi 126 kaki serta dikelilingi oleh kubah-kubah di bahagian dalam yang mana tiap-tiap satu garis pusatnya berukuran sepanjang 60 kaki. Bahagian-bahagian dalam dinding dan lantai masjid ini menggunakan batu marmar berwarna merah dan putih yang dibawa khas dari Itali dan London.

Bentuk dinding masjid ini memperlihatkan sebuah bangunan berkubah induk besar di tengahnya serta dikelilingi dengan empat buah anjung yang mengandungi sebuah kubah pada pertengahan setiap anjung, lapan buah menara induk dan enam belas menara apit. Jumlah kubah dan menara dikatakan mengambil sempena aturan gelaran Orang Besar-Besar iaitu Orang Besar Ampat, Orang Besar de-lapan dan Orang Besar Enam Belas. Keluasan ruang induknya ialah 20 m x 20 m dan dilingkungi oleh serambi utama selebar 2.5 m yang juga mempunyai sebuah kubah. Sebuah kolah untuk mengambil air sembahyang terletak di sisi timur serambi tersebut.

Masjid Diraja[sunting | sunting sumber]

Sebelum Masjid Sultan ldris Shah II di Ipoh dibina dan dijadikan Masjid Negeri pada 15 November 1968, maka Masjid Ubudiah adalah Masjid Negeri Perak. Masjid Ubudiah sekarang dikenali sebagai Masjid Diraja dan ditadbirkan oleh suatu Jawatankuasa Tadbir Masjid Ubudiah dan dipengerusikan oleh sesiapa yang dilantik oleh Paduka Seri Sultan biasanya penyandang jawatan Orang Kaya Temenggong Paduka Raja mahtlpun jawatan Orang Kaya-kaya Setia Bijaya Diraja dan jawatan Setiausaha diuruskan oleh seorang pegawai kerajaan yang berkhidmat di Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak (Darul Ridzuan).

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]