Moruroa

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Moruroa
موروروا
Imej NASA yang memaparkan atol Moruroa dari udara.
Geografi
LokasiLautan Pasifik
Koordinat21°50′S 138°50′W / 21.833°S 138.833°W / -21.833; -138.833Koordinat: 21°50′S 138°50′W / 21.833°S 138.833°W / -21.833; -138.833
KepulauanKepulauan Tuamotu
Luas148 km2 (57 bt2)  (lagun)
15 km2 (5.8 bt2) (dari aras laut)
Panjang28 km (17.4 mi)
Lebar11 km (6.8 mi)
Pentadbiran
Perancis
Wilayah Luar Negeri PerancisPolinesia Perancis
Pentadbiran kecilTuamotu
KomunTureia
Demografi
PopulasiTiada[1] (2012)
Maklumat tambahan
Zon waktu

Moruroa (dikenali juga dengan nama Mururoa, Mururura), atau Aopuni[2] berdasarkan kepada rekod sejarah, merupakan sebuah pulau berjenis atol yang membentuk Kepulauan Tuamotu di Polinesia Perancis di bahagian selatan Lautan Pasifik. Pulau ini terletak kira-kira 1250 kilometer dari bahagian tenggara Tahiti dan ditadbir oleh Komun Tureia, selain daripada Pulau Tureia, Fangataufa, Tematangi dan Vanavana.

Pulau Moruroa terkenal sebagai salah satu lokasi ujian senjata nuklear yang dijalankan Perancis sekitar tahun 1966 hingga 1996, yang mencetuskan protes berskala antarabangsa. Sebanyak kira-kira 175 atau 181 ujian yang dilaporkan oleh pelbagai sumber telah dilaksanakan. Sehingga kini, pulau ini tidak boleh diakses oleh orang awam kerana tahap radiasi yang masih tinggi[3].


Geografi[sunting | sunting sumber]

Pulau Moruroa merupakan salah satu atol yang terletak di bahagian tenggara yang membentuk Kepulauan Tuamotu. Luas keseluruhan bahagian daratan pulau ini hanya bersaiz kira-kira 15 kilometer persegi, dengan panjang sebanyak 28 kilometer dan lebar sebanyak 11 kilometer. Moruroa terletak kira-kira 1,250 kilometer dari bahagian tenggara Tahiti[4]. Terdapat lagun yang membentuk di bahagian tengah pulau ini berkeluasan kira-kira 25 kilometer panjang dan 10 kilometer lebar dan bersambung dengan perairan Lautan Pasifik di bahagian barat melalui laluan yang bersaiz 2 kilometer lebar dan kedalaman sebanyak 8 meter[5].

Disebabkan purata ketinggian Moruroa yang agak rendah (kira-kira 3 meter), permatang terumbu karang di bahagian selatan pulau ini yang bersaiz kira-kira 65 kilometer panjang dan 100 meter lebar akan tenggelam di bawah Lautan Pasifik pada satu-satu masa[5].

Geologi[sunting | sunting sumber]

Dasar Pulau Moruroa terbentuk daripada dua puncak gunung berapi dasar laut yang bersambung menerusi laluan yang sempit. Ianya terdiri daripada batuan kapur yang biasanya dijumpai pada lapisan atas, batuan gunung berapi beralkali dan batuan basalt[6]. Di bahagian lagun pula, dasarnya mengandungi batuan kerikil dan pasir kasar serta terdapat beberapa spesis terumbu karang yang hidup sekitar lagun, ada yang berketinggian lebih daripada paras laut[7].


Sejarah[sunting | sunting sumber]

Pada bulan Julai 1767, komander Philip Carteret dipercayai orang pertama yang menjumpai pulau ini semasa beliau melakukan ekspedisi bersama kapal HMS Swallow, beberapa hari selepas beliau menjumpai Pulau Pitcairn[8]. Philip menamakan Pulau Moruroa sebagai "Biskop Kepulauan Osnaburgh"[9]. Pada tahun 1792, kapal pemburu ikan paus British, Matilda dilaporkan karam di kawasan pulau ini dan untuk seketika ianya dinamakan sebagai Pulau Matilda[9], sebelum kapten Frederick Beechey dari kapal HMS Blossom melakukan ekspedisi bagi mencari lokasi kapal Matilda yang karam itu mengesahkan bahawa Pulau Matilda ini sebenarnya ialah Moruroa[10].

Tiada penemuan mengenai penduduk asal yang direkodkan pada awal penemuan pulau. Kaptain Frederick yang melakukan ekspedisi pada tahun 1826 mendapati pulau ini tidak berpenghuni, manakala pada tahun 1832 pula beliau menjumpai kesan tempat tinggal namun tidak berpenghuni[11]. Pada tahun 1834, sebuah kapal yang melawat pulau ini dilaporkan membunuh hampir kesemua penduduk, dan hanya tiga orang terselamat dan Pulau Moruroa tidak lagi dituntut oleh mana-mana pihak pada tahun 1847.

Pulau Moruroa ini pernah didiami oleh pekerja ladang kelapa lewat abad ke-19, dan juga sekitar tahun 1942-1943 dan 1950-1952, namun begitu tiada penempatan tetap dilaporkan selepas itu[11].

Ujian nuklear Perancis[sunting | sunting sumber]

Imej satelit peninjau KH-7 yang memaparkan tapak ujian nuklear di Mururoa pada 26 Mei 1967.

Moruroa dan pulau Fangataufa yang terletak berdekatan, merupakan lokasi ujian nuklear berat yang telah dilakukan oleh Perancis sekitar tahun 1966 hingga 1996[12]. Pulau-pulau ini secara rasminya dibangunkan sebagai tapak ujian nuklear oleh kerajaan Perancis pada 21 September 1962, di mana jabatan yang dikenali dengan nama Direction des Centres d'Expérimentations Nucléaires (DIRCEN) diwujudkan bagi menyelia ujian-ujian nuklear ini[13]. Kira-kira 300 orang pekerja telah dihantar ke Moruroa bagi melakukan kerja-kerja pembinaan infrastruktur bermula pada bulan Mei 1963[14]. Pulau Hao, yang terletak kira-kira 450 kilometer dari bahagian barat laut Moruroa, dipilih sebagai lokasi sokongan tapak ujian nuklear dan operasi lain[15].

Walaupun terdapat bantahan daripada sejumlah 120 000 orang rakyat dan 30 orang ahli dewan Perhimpunan Polinesia Perancis[16], ujian nuklear pertama telah dijalankan pada 2 Julai 1966, dengan nama kod Aldebaran[14], di mana bom nuklear dari jenis pembelahan plutonium telah diletupkan di kawasan lagun pulau itu[17]. Kajian yang dilakukan oleh penggerak keamanan Greenpeace pada abad ke-21 menunjukkan bahawa letupan itu seolah-olah menarik kesemua air dari lagun tersebut kemudian menyebabkan limpahan bangkai ikan dan hidupan di sekitar atol, dan pencemaran radioaktif tersebar sejauh Peru dan New Zealand[18]. Presiden Perancis, Charles de Gaulle pernah menghadiri dalam salah satu ujian nuklear yang telah dijalankan pada 10 September 1966, di mana bom nuklear telah dibawa menerusi belon udara.

Kebanyakkan ujian nuklear yang dijalankan berlaku di bahagian barat Pulau Moruroa, tapak ini dinamakan sebagai Dindon[19]. Manakala bom nuklear yang mencetuskan letupan kecil dilakukan di kawasan utara pulau yang dinamakan sebagai Denise[19]. Terdapat beberapa cara bom nuklear ini dibawa sebelum ianya diletupkan; tiga bom nuklear diletupkan di atas tongkang, tiga lagi bom nuklear dibawa dari udara menggunakan pesawat pengebom manakala yang lain dibawa menggunakan belon udara yang berisi gas helium[20]. Sejumlah 41 ujian bom nuklear di kawasan terbuka telah dijalankan di Moruroa sekitar tahun 1966 hingga 1974[21].

Lagun di Moruroa pada tahun 1972.

Pada tahun 1974, Perancis tidak lagi menjalankan ujian nuklear di kawasan terbuka dan meneruskan siri ujian nuklear di bawah tanah oleh kerana tekanan antarabangsa yang kian memuncak[20] sejak dimulakan oleh kerajaan New Zealand pada ketika itu, kemudian menghantar dua buah kapal perang pada bulan Julai 1973; HMNZS Canterbury dan Otago ke Pulau Moruroa sebagai tindakan protes terhadap ujian nuklear yang dijalankan di sana[22]. Beberapa lohong yang dilengkapi dengan syaf telah ditebuk jauh ke dalam batuan gunung berapi yang berada di bawah Pulau Moruroa ini di mana bom nuklear diletupkan. Kaedah ini telah mendatangkan kontroversi akibat daripada penemuan beberapa rekahan di sekitar pulau, dibimbangi akan tersebarnya sisa radioaktif dan mencemarkan lautan sekitarnya serta kepulauan lain[23]. Pada 25 Julai 1979, berlaku satu insiden buruk apabila bom nuklear tersekat pada kedalaman separuh daripada lohong sedalam 800 meter. Bom nuklear itu kemudian meletup dan ianya mengakibatkan tanah runtuh di bawah lautan di bahagian barat daya pulau, menyebabkan berlakunya tsunami kesan daripada pergerakan sebahagian besar cerun yang telah terpisah. Ledakan ini telah menghasilkan rekahan besar yang berukuran 2 kilometer panjang dan 40 sentimeter lebar.

Pada 5 September 1995, presiden Perancis pada ketika itu, Jacques Chirac berhasrat untuk menjalankan siri ujian bom nuklear di Moruroa[23], setahun sebelum Perjanjian Pengharaman Ujian Nuklear Komprehensif (CTBT) ditandatangani, mencetuskan protes di peringkat antarabangsa termasuklah larangan masuk terhadap produk beralkohol dari Perancis. Terdapat rusuhan yang berlaku di sekitar Polinesia serta ancaman kumpulan Forum Kepulauan Pasifik untuk menggantung keahlian Perancis akibat daripada ujian nuklear itu. Ujian bom nuklear terakhir di Moruroa telah dijalankan pada 27 Disember 1995.

Selepas ujian bom nuklear terakhir yang telah dijalankan pada 27 Januari 1996 di Pulau Fangataufa, tapak ujian nuklear di Moruroa mula dirobohkan. Untuk rekod, sejumlah 181 siri letupan telah dilancarkan, 41 daripadanya diletupkan di kawasan terbuka[17]. Namun begitu, jumlah ini berbeza dilaporkan oleh kebanyakkan laporan; para saintis nuklear yang bekerja dalam tapak ujian itu mendakwa hanya 175 siri letupan sahaja yang berlaku secara keseluruhan[21].


Galeri[sunting | sunting sumber]


Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Population". Institut de la statistique de la Polynésie française. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 Mac 2020. Dicapai pada 9 Oktober 2014.
  2. ^ Young, J.L. (1899). "Names of the Paumotu Islands, with the old names so far as they are known". Journal of the Polynesian Society. 8 (4): 264–268. Dicapai pada 7 Januari 2015.
  3. ^ Boyack, Nicholas (26 Jun 2023). "Five decades on from Mururoa mission, nuclear message still rings true". The Post. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 April 2024. Dicapai pada 16 April 2024.
  4. ^ Aaron (12 Februari 2022). "France's Bikini Atoll of Moruroa: The Paradise France Nuked". The Travel. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Februari 2022. Dicapai pada 16 April 2024.
  5. ^ a b Mathieua, Pierre-Philippe; Deleersnijder, Eric; Cushman-Roisin, Benoı̂t; Beckers, Jean-Marie; Bolding, Karsten (19 Julai 2000). "The role of topography in small well-mixed bays, with application to the lagoon of Mururoa". Continental Shelf Research. 22 (9 (Jun 2002)): 1379–1395. doi:10.1016/S0278-4343(02)00002-X. Dicapai pada 16 April 2024.
  6. ^ Guy, C; Daux, V; Schott, J (12 Januari 2001). "Behaviour of rare earth elements during seawater/basalt interactions in the Mururoa Massif". Chemical Geology. 158 (1-2 (1999)): 21–35. doi:10.1016/S0009-2541(99)00019-4. ISSN 0009-2541. Dicapai pada 16 April 2024.
  7. ^ Camoin, G.F; Ebren, Ph; Eisenhauer, A; Bard, E; Faure, G (12 Januari 2001). "A 300 000-yr coral reef record of sea level changes, Mururoa atoll (Tuamotu archipelago, French Polynesia)". Palaeogeography, Palaeoclimatology, Palaeoecology. 175 (1-4 (2001)): 325–341. doi:10.1016/S0031-0182(01)00378-9. ISSN 0031-0182. Dicapai pada 16 April 2024.
  8. ^ Jack-Hinton, Colin. "Review Article: Hor'd here ick Majesty's". The Journal of Pacific History. 12 (1 (1996)): 232–239. Dicapai pada 16 April 2024.
  9. ^ a b Douglas, Ngaire; Douglas, Norman (1989). Pacific Islands Year Book. Pacific Publications. ISBN 978-0-207-16114-8. Dicapai pada 22 Julai 2012.
  10. ^ Quanchi, Max (2005). Historical Dictionary of the Discovery and Exploration of the Pacific Islands. The Scarecrow Press. ISBN 978-0-8108-5395-9.
  11. ^ a b "The Radiological Situation at the Atolls of Mururoa and Fangataufa" (PDF). IAEA. 1998. m/s. 23–24. Dicapai pada 25 Februari 2021.
  12. ^ Danielsson, Bengt. "Under a Cloud of Secrecy: The French Nuclear Tests in the Southeastern Pacific". Ambio. 13 (5/6 (1984)): 336–341. Dicapai pada 16 April 2024.
  13. ^ Maclellan, Nic; Chesneaux, Jean (1998). After Moruroa: France in the South Pacific. Ocean Press. ISBN 978-1-876175-05-4. Dicapai pada 22 Julai 2012.
  14. ^ a b Feldmann, Kim (15 Oktober 2018). "Beyond radioactivity: how French nuclear tests changed Polynesia forever". Equal Times. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 Disember 2022. Dicapai pada 16 April 2024.
  15. ^ "Environmental Effects of French Nuclear Testing". Diarkibkan daripada yang asal pada 11 Januari 2008. Dicapai pada 25 Februari 2021.
  16. ^ "FUTURES: The World of Science & Technology". The Guardian. London. 11 Februari 1982. m/s. 18. Dicapai pada 16 April 2024 – melalui Newspapers.com.
  17. ^ a b Stanley, David (3 Disember 2004). Moon Handbooks South Pacific. David Stanley. m/s. 115. ISBN 978-1-56691-411-6. Dicapai pada 22 Julai 2012.
  18. ^ Weyler, Rex (6 Oktober 2004). Greenpeace: How a Group of Ecologists, Journalists, and Visionaries Changed the World. Rodale, Inc. m/s. 134. ISBN 978-1-59486-106-2. Dicapai pada 22 Julai 2012.
  19. ^ a b Biedermann, Andy; Mills, Stephanie (1990). Testimonies: witnesses of French nuclear testing in the South Pacific. Greenpeace International. m/s. 21. ISBN 9780473010089. Dicapai pada 22 Julai 2012.
  20. ^ a b Macumber, Bobby; Smith, Dan; Matthews, Alice (15 Julai 2023). "France detonated nearly 200 nuclear 'tests' in French Polynesia — now this activist is calling for accountability". Australian Broadcasting Corporation. Diarkibkan daripada yang asal pada 19 November 2023. Dicapai pada 16 April 2024.
  21. ^ a b "Mururoa. How safe are the French tests?". Australian Broadcasting Corporation. Diarkibkan daripada yang asal pada 24 Mac 2014. Dicapai pada 16 April 2024.
  22. ^ "Calls for more recognition for Mururoa nuclear peace mission survivors". 1News. 8 Julai 2023. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 April 2024. Dicapai pada 16 April 2024.
  23. ^ a b Patel, Tara (30 September 1995). "France claims Mururoa rocks are blast-proof". NewScientist. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 Disember 2023. Dicapai pada 16 April 2024.