Nur Amalina Che Bakri

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Nur Amalina Che Bakri
Kelahiran
Nur Amalina binti Che Bakri

(1987-12-07) 7 Disember 1987 (umur 36)
Pusat pendidikanUniversiti Edinburgh, Universiti Cambridge, Imperial College London
PekerjaanDoktor perubatan
Doktor bedah
PasanganAlexander Charles (k. 2021)[1]
Anak-anakArabella Mia

Dr. Nur Amalina Che Bakri (lahir 7 Disember 1987 di Kota Bharu, Kelantan) merupakan anak tunggal kepada pasangan Sabariah Hassan, seorang pengetua sekolah menengah dan bapanya Che Bakri, seorang jurutera, Timbalan Pengarah di DBKL. Beliau terkenal apabila mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada 2004 dengan memperoleh 17A1. Nur Amalina berjaya mendapat A1 dalam 17 subjek iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik Moden, Biologi, Kimia, Fizik, Ekonomi Asas, Perdagangan, Prinsip Akaun, Sains Teras, Pendidikan Seni, Tasawur Islam, Kesusasteraan Melayu, Bahasa Inggeris Teknologi, Pendidikan Islam dan Matematik Tambahan, sekaligus menjadi pemeroleh A terbanyak dalam sejarah peperiksaan tersebut.[2] Kini, beliau ialah seorang doktor bedah dalam bidang pembedahan am di London.

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Beliau dilahirkan pada 7 Disember 1987,[perlu rujukan] anak tunggal kepada pasangan Sabariah Hassan, seorang pengetua sekolah menengah dan bapanya Che Bakri, seorang jurutera, Timbalan Pengarah di DBKL. Beliau dibesarkan di Johor Bahru.[perlu rujukan] Beliau mendapat pendidikan awal di Tadika Farley’s di Kota Bharu sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Rendah Kebangsaan Zainab 1, Kota Bharu (darjah 1), Sekolah Kebangsaan Taman Suria, Johor Bahru (darjah 2-4), Sekolah Kebangsaan Taman Daya, Johor Bahru (darjah 5) dan Sekolah Kebangsaan Ulu Tiram (darjah 6).

Beliau juga merupakan Naib Pengerusi Kelab Bimbingan dan Kaunseling, Setiausaha Persatuan St. John Ambulans, Setiausaha Pasukan Rumah Kuning, Naib Bendahari Kelab Pencegah Jenayah dan Ketua Pasukan Badminton sekolah semasa beliau di tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Semangat dan cita-citanya yang tinggi untuk mencapai kejayaan tidak menghalang beliau bergiat aktif dalam bidang kokurikulum.[perlu rujukan]

Beliau pernah menyertai 50[perlu rujukan] pertandingan di sekolahnya. Antaranya ialah: Sayembara puisi, lagu, pidato, syarahan, bercerita, kuiz, melukis, menggubah dan bersajak. Beliau pernah dimahkotakan sebagai Tokoh Nilam Peringkat Kebangsaan 2004 besertakan Johan Pidato Permodalan Nasional Berhad.

Pendidikan lanjut dan kerjaya[sunting | sunting sumber]

Selepas menamatkan pengajian di Universiti Edinburgh pada Julai 2013, beliau telah melanjutkan pengajian dalam Masters of Philosophy (MPhil) in Translational Medicine and Therapeutics (TMAT) di Universiti Cambridge dan menjalani latihan sebagai doktor junior di Hospital Universiti Cambridge selama 2 tahun sebelum memulakan latihan sebagai seorang doktor pakar bedah. Nur Amalina telah menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Kelas Pertama pada pertengahan 2015.

Seterusnya, beliau telah meneruskan pengajian di Imperial College London pada Ogos 2015 untuk menjadi seorang doktor pakar bedah dan felo akademik klinikal di bawah naungan NHS Healthcare Trust. Beliau terlibat dalam pengkhususan payudara, pembedahan plastik dan pembedahan awam dan telah berkhidmat di Hospital St Mary, Hospital Chelsea & Westminster dan Hospital Charing Cross. Beliau memenangi Darzi Academic Clinical Research Fellowship daripada Imperial College London. Beliau sedang membuat PhD dalam bidang perubatan di Imperial College London di bawah tajaan Imperial College dan National Institute Health Research (NIHR) UK sambil bekerja di hospital terkemuka di London.

Kehidupan peribadi[sunting | sunting sumber]

Beliau belajar dan mengulangkaji pelajaran melalui televisyen dan internet. Beliau meminati program-program televisyen yang kelihatan realiti seperti siri Fear Factor, The Apprentice, National Geographic dan Discovery Channel. Ini kerana beliau sukakan sesuatu yang mencabar dan menjadi inspirasi kepada beliau. Beliau sentiasa melayari Internet untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini dalam pelbagai perkara serta mempunyai kenalan terdiri dari pelajar luar negara untuk bertukar-tukar pandangan dan pendapat mereka.

Kejayaan beliau dalam peperiksaan SPM 2004 juga adalah berasaskan kepada inisiatif beliau yang suka berjumpa guru untuk berbincang mengenai pelajaran serta mempunyai keyakinan yang kuat untuk berjaya.

Beliau melanjutkan pengajian peringkat A-Level di United Kingdom pada September 2005 di Cheltenham Ladies College dan medapat 5A dalam program A-Level. Seterusnya, beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang ijazah sarjana muda perubatan di University of Edinburgh, Scotland pada September 2007. Semasa di University of Edinburgh, Amalina memperoleh satu lagi ijazah, iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains Biomedik dalam Farmakologi pada Julai 2010 semasa dalam pengajian ijazah sarjana muda perubatannya. Beliau akhirnya menamatkan pengajian dalam bidang perubatan pada Julai 2013.[perlu rujukan]

Pengajian ijazah pertama beliau dibiayai sepenuhnya oleh Bank Negara Malaysia di bawah Program Biasiswa Kijang Emas. Pengajian beliau yang seterusnya mendapat tajaan organisasi di United Kingdom termasuklah pengajian PhD yang dibiayai fellowship daripada Imperial College London dan NIHR UK.

Beliau pernah terpilih untuk mengikuti Program Pertukaran Pelajar ke Itali anjuran American Field Service pada 5 Disember 2004 sehingga 5 Februari 2005[perlu rujukan] dan kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh beliau untuk mempelajari bahasa Itali serta menjadi duta kecil Malaysia di sana. Beliau juga terpilih antara 11 penerima Anugerah Maulidur Rasul 1426 peringkat Kebangsaan dan juga merupakan Duta Akademik Berita Harian.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Rindu dari kejauhan, ibu Dr Amalina sifatkan menantu lelaki terbaik buat anaknya – "Dia lemah-lembut, berhati baik"". MStar Online. 3 April 2021. Dicapai pada 3 April 2021.
  2. ^ "Leave the geniuses alone to thrive". New Straits Times. 2005-03-12. Dicapai pada 2008-06-27.