Omurice

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Omurice ialah masakan Yoshoku di Jepun. Omurice dihasilkan berasaskan nasi goreng yang dibungkus dalam balutan telur seperti telur dadar. Kebiasaannya, omurice dihiasi dan dihidangkan bersama sos tomato. Perkataan “omurice” merupakan perkataan yang dicipta di Jepun yang menggabungkan perkataan bahasa Inggeris iaitu “Omelette” (telur dadar) dan “Rice” (nasi). 

”Rice Omelet" di Taimei-Ken.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Terdapat beberapa restoran yang mendakwa sebagai tempat lahir omurice, tetapi yang paling terkenal ialah "Renga-Tei" di Ginza, Tokyo dan "Hokkyokusei" di Shinsaibashi, Osaka. Di Renga-Tei, "Rice Omelet " dihasilkan pada tahun 1900 sebagai masakan untuk para pekerja. Tidak seperti omurice yang telah dikenali ramai pada masa kini, “Rice Omelet" digoreng dengan mencampurkan nasi putih, bahan cincang, serbuk perasa dan juga beberapa biji telur. Sos tomato tidak digunakan dalam masakan omurice asal di Renga-Tei pada masa itu kerana sos tomato hanya menjadi popular dan digemari oleh penduduk di Jepun selepas tahun 1908[1].

Omurice di Hokkyokusei dapat dilihat pada gaya masakan popular masa kini iaitu nasi sos tomato yang dibungkus dengan telur panggang tipis. Pada tahun 1925,  Shigeo Kitahashi, pemilik Restoran Yoshoku "Pannya no Shokudo" (dahulu dikenali sebagai "Hokkyokusei") di Shinsaibashi, Osaka, menghidangkan nasi sos tomato dibungkus dengan telur panggang tipis kepada pelanggannya yang pada masa itu sedang dalam keadaan perutnya yang lemah dan selalu meminta nasi putih dan telur dadar sahaja. Dikatakan bahawa Shigeo menamakan masakan itu sebagai “omurice” kerana masakan itu merupakan gabungan antara "Omelette" dengan "Rice". Oleh itu, boleh dikatakan bahawa cara masakan omurice pada hari ini telah lama wujud dan ia bermula sejak zaman Taisho[2].

Selepas itu, omurice menjadi makanan popular dalam golongan rakyat biasa sebagai menu yang mewakili Yoshoku, jadi masakan itu selalu dihidangkan di restoran di pusat membeli-belah atau restoran Yoshoku di seluruh negara Jepun.

Persamaan antara omurice dengan nasi goreng Pattaya[sunting | sunting sumber]

Omurice ialah jenis makanan yang berasal dari Jepun. Jika dilihat pada kali pertama, makanan ini dapat mengingatkan masyarakat Malaysia kepada Nasi Goreng Pattaya kerana hidangannya kelihatan serupa. Omurice dan nasi goreng Pattaya mempunyai beberapa persamaan seperti berikut:

Bahan-bahan utama[sunting | sunting sumber]

Kedua-dua masakan ini menggunakan nasi putih, isi potongan ayam dan untuk nasi goreng, serta beberapa biji telur untuk dijadikan telur dadar. Sayur campur juga kerap digorengkan dengan nasi. Biasanya sayur campur termasuk kacang pis, bawang merah, dan jagung.

Kekerapan makanan ini dihidang[sunting | sunting sumber]

Bukan itu sahaja, baik omurice mahupun nasi goreng Pattaya, masyarakat negara masing-masing sangat gemar menjadikan masakan ini sebagai menu harian. Omurice sering menjadi pilihan makan tengah hari dan makan malam kerana masakan tersebut lebih senang untuk dimasak. Selain itu, makanan ini juga sering dihidangkan di restoran Yoshoku di seluruh negara Jepun tidak seperti sushi dan tempura yang merupakan makanan Jepun yang terkenal di luar negara tetapi tidak berapa kerap untuk dimakan.

Perbezaan omurice dengan nasi goreng Pattaya[sunting | sunting sumber]

Walaupun rupa kedua-dua masakan ini seakan sama, omurice dan nasi goreng Pattaya juga mempunyai perbezaan besar dari segi rasa, bentuk dan sebagainya.

Ciri-ciri rasa dan tekstur[sunting | sunting sumber]

Omurice hanya menggunakan sos tomato sebagai perasa nasi goreng, dan perkara inilah yang membezakan rasa omurice daripada nasi goreng Pattaya. Nasi goreng Pattaya menggunakan tiga jenis sos iaitu sos tiram, sos cili dan juga sos tomato sebagai perasa utama. Omurice tidak mempunyai rasa pedas seperti nasi goreng Pattaya kerana hirisan cili atau sos cili tidak dimasukkan ke dalam omurice. Tambahan lagi, telur dadar omurice mempunyai rasa yang tidak begitu kuat kerana mentega kerap digunakan sebagai pengganti minyak masak.

Tekstur nasi dan telur dadarnya juga berbeza. Hal ini disebabkan kerana perbezaan beras yang digunakan dan perbezaan cara telur dadar dimasak. Beras Jepun lebih lembut daripada beras Malaysia kerana beras Jepun mengandungi lebih banyak air di dalamnya. Maka dengan itu, tekstur nasi goreng yang ada dalam telur dadar omurice juga menjadi agak lembut. Tambahan lagi, omurice mempunyai kepelbagaian dari segi kelembutan telur dadarnya. Terdapat sebahagian orang yang suka makan telur dadar separuh masak manakala sebahagian yang lain suka makan telur dadar dimasak sepenuhnya sehingga tekstur menjadi kukuh dan tebal.[3]

Bentuk dan cara membalut nasi[sunting | sunting sumber]

Di Malaysia, nasi goreng Pattaya berbentuk segi empat tetapi di Jepun, omurice berbentuk seperti bola ragbi. Ada yang meletakkan telur dadar biasa atas nasi goreng dan terdapat juga yang meletakkan telur dadar yang berbentuk bola ragbi di atas nasi goreng. Selain itu, nasi goreng omurice juga sering dibungkus dengan telur dadar, seperti nasi goreng Pattaya, tetapi bentuknya bukan segi empat.

Jenis-jenis sos untuk perhiasan[sunting | sunting sumber]

Omurice bukan sahaja dihiasi dengan sos tomato bahkan banyak juga yang menggunakan jenis sos yang pelbagai untuk dijadikan hiasan. Salah satunya ialah sos putih yang terdiri daripada susu dengan cendawan. Sos yang paling popular di Jepun untuk perhiasan Omurice ialah mungkin sos demi-glas. Sos demi-glas ini terdiri daripada tepung yang digoreng dengan mentega sampai menjadi warna coklat, serta stok anak lembu dan sayur-sayuran seperti bawang besar dan lobak merah.[4]

Cara membuat omurice dan nasi goreng Pattaya[sunting | sunting sumber]

Langkah-langkah memasak omurice dan Nasi goreng Pattaya hampir sama. Langkah pertama ialah membuat nasi goreng dan seterusnya membuat telur dadar. Bagi membuat nasi goreng, tumis bawang merah (untuk nasi goreng Pattaya) atau bawang besar (untuk Omurice) serta bawang putih, seterusnya goreng isi ayam. Terdapat juga resepi yang menambahkan udang dan sayur campur ke dalam nasi goreng untuk nasi goreng Pattaya tetapi omurice kebiasaannya tidak menggunakan udang. Selepas itu, masukkan secubit garam dan sos kicap dalam masakan omurice manakala sos cair, sos tiram, sos tomato (+sos ikan / sos cili) dalam masakan nasi goreng Pattaya.

Cara untuk membuat telur dadar hampir sama juga. Panaskan minyak / mentega dan tuang telur yang sudah dikacau ke dalam kuali leper. Kuali leper digerakkan ke kiri dan ke kanan sedikit supaya telur menjadi nipis dan bulat dengan sekata. Selepas mematikan api, ambil satu mangkuk nasi goreng dan terlungkupkan atas telur dadar. Seterusnya, bungkus nasi goreng dalam bentuk bola ragbi untuk omurice dan segi empat untuk nasi goreng Pattaya.[5]

Nasi goreng Pattaya sering dihidangkan dengan timun dan ulam-ulaman, tetapi omurice dihidangkan dengan sos sahaja dan tidak disertakan dengan sayur-sayuran mentah. Adakalanya sos tomato yang diletakkan di atas Omurice memainkan peranan sebagai medium penyampaian mesej kerana kebanyakan kanak-kanak suka menulis “Terima Kasih” atau simbol hati “♡” dan menghidangkannya kepada ibu bapa mereka ketika meraikan sambutan Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Lahir dan sebagainya.[6]

Restoran yang menghidangkan omurice di Malaysia[sunting | sunting sumber]

Terdapat beberapa restoran yang menjual omurice di Malaysia dan antaranya ialah Restoran Omulab yang berada di Petaling Jaya, Selangor. Selain itu, Kafe Hoshino Coffee, sebuah rangkaian kafe Jepun yang telah memasuki Malaysia pada tahun 2017, juga  menghidangkan omurice.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]