Paederus

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Paederus
Saiz Paederus berbanding dengan syiling
Pengelasan saintifik
Alam: Animalia
Filum: Arthropoda
Kelas: Insecta
Order: Coleoptera
Famili: Staphylinidae
Subfamili: Paederinae
Tribus: Paederini
Genus: Paederus
Fabricius, 1775[1]
Type species
Paedarus riparius
Spesies

Paederus alfierii
Paederus austriacus
Paederus brasiliensis
Paederus crebinpunctatus
Paederus cruenticollis
Paederus fusca
Paederus fuscipes
Paederus littoralis
Paederus melampus
Paederus sabaeus  dll., rujuk teks

Paederus, dikenali dengan timangan tomcat, ialah satu genus kumbang kecil dalam famili Staphylinidae ("kumbang rayau"). Oleh sebab kebanyakan spesies dalam genus ini mengandungi toksin dalam hemolimfanya, ia meminjam namanya kepada paederus dermatitis, sejenis kerengsaan kulit yang berlaku apabila kulit terpijak serangga ini. Satu kertas kerja ilmuwan terbitan 2002 berhujah bahawa beberapa daripada Sepuluh Wabak Mesir yang diperikan dalam Kitab Keluaran dalam Kitab Injil adalah berpunca daripada suatu spesies Paederus .[2]

Keterangan[sunting | sunting sumber]

Seperti kumbang-kumbang yang lain (Coleoptera), kumbang rayau ini mempunyai kepak depan keras (elitron) yang menutupi kepak-kepak yang digunakan untuk terbang. Pada satu ketika, kelompok kumbang rayau ini dikenali sebagai "Brachyptera" (kepak pendek) kerana kepak-kepaknya pendek dan tersorok di bawah elitron yang pendek.[3]

Spesies Paederus tertabur luas ke serata dunia.[4] Warnanya lebih terang daripada kumbang-kumbang rayau yang lain, dengan elitron yang berwarna biru atau hijau logam, dan warna jingga atau merah terang pada pronotum dan bahagian dasar abdomen. Warna yang terang ini boleh dijadikan satu contoh aposematisme, iaitu isyarat amaran kepada pemangsa.[5]

Walaupun kebanyakan kumbang rayau dewasa alah kepada sinar matahari, namun spesies Paederus aktif pada waktu siang, dan tertarik kepada cahaya terang pada waktu malam.[6]

Kumbang Paederus bertelur satu demi satu di habitat yang lembap. Larvanya menjalani dua instar sebelum bertukar menjadi pupa. Larva dan dewasa Paederus sama-sama memangsakan serangga lain.[6] Oleh sebab lebih gemar tanih yang lembap, kumbang Paederus mudah tertarik secara berduyun-duyun ke sawah yang berpengairan, di mana ia membantu pesawah dengan memakan serangga maun yang merosakkan tanaman.[5]

Pederin[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Pederin

Menurut Medical and Veterinary Entomology (2009), "Sekurang-kurangnya 20 daripada lebih 600 spesies kumbang Paederus telah dikaitkan dengan dermatitis Paederus",[5] walaupun kumbang Paederus tidak menggigit atau menyengat.[7] Kerengsaan kulit ini berpunca daripada tersentuhnya dengan pederin, sejenis toksin vesika dalam hemolimfa kebanyakan tetapi bukan semua kumbang betina dalam genus Paederus.[8] Toksin ini tidak dihasilkan oleh kumbang itu sendiri, sebaliknya oleh bakteria endosimbion yang barangkalinya spesies-spesies yang tergolong dalam Pseudomonas.[9]

Kesan pada manusia[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Paederus dermatitis

Paederus dermatitis terjadi apabila seekor kumbang yang mengandungi pederin terpijak oleh kulit walaupun separa pun.[5] Kerengsaan kulit ini juga dikenali sebagai "dermatitis linearis" atau "dermatitis lelurus" kerana seseorang boleh terseret kumbang ini ke serata kulit lebih kurang dalam garis lurus apabila cuba menyapunya; radangnya pun akan berbentuk lelurus.[10] Mata juga boleh terkena pederin hingga mengalami konjunktivitis yang dipanggil "mata Nairobi".[11]

Sebaik sahaja pederin menjangkiti kulit daripada mula-mula tersentuh kumbang, ia mungkin boleh menular ke bahagian kulit yang lain. Adalah disaran untuk mencuci tangan dan kulit dengan sabun dan air sekiranya tersentuh kumbang rayau ini.[7]

Sentuhan kulit dengan pederin mula-mula tidak mendatangkan kesan semerta, tetapi dalam masa 12–36 jam, timbulnya ruam yang kemerahan (eritema) yang berkembang menjadi lepuh. Kerengsaan ini boleh berkekalan selama dua tiga minggu.[7]

Serangan besar-besaran[sunting | sunting sumber]

Satu rencana dalam The Lancet mengusulkan bahawa kejadian kumbang rayau yang berduyun-duyun seperti yang diperikan sebagai yang pertama dan kedua daripada sepuluh Wabak Mesir (kematian besar-besaran anoksia di Sungai Nil, diikuti oleh banyak bangkai katak) mungkin telah menimbulkan keadaan yang sesuai untuk pembiakan P. alfierii. Hujah para pengarangnya, wabak "bisul" mungkin memaksudkan kerengsaan kulit yang terjadi sehari dua akibat tersentuh Paederus sewaktu wabak ketiga dan keempat (pinjal atau lalat). Tambah mereka, serngan Paederus lazimnya tersetempat, maka adalah berkemungkinan besar untuk kumbang tersebut menyerang istana Firauh, tetapi bukan petempatan Yahudi.[2]


References[sunting | sunting sumber]

  1. "Paederus Fabricius 1775". Fauna Europaea. Diperolehi pada 28 July 2011. 
  2. 2.0 2.1 Norton, Scott A; Lyons, Christina (2002). "Blister beetles and the ten plagues". The Lancet 359 (9321): 1950. doi:10.1016/S0140-6736(02)08759-7. Diperolehi pada 2011-08-09. 
  3. "7.4 Blister beetles, species". Institute of Tropical Medicine. Diperolehi pada 30 July 2011. "Among the Staphylinidae, the genus Paederus is known to contain at least 25 species." 
  4. Sharp, David (1887). Biologia Centrali-Americana. Insecta. Coleoptera Vol. 1 Part 2. p. 609. 
  5. 5.0 5.1 5.2 5.3 Mullen, Gary; Gary Richard Mullen, Lance Durden (2009). Medical and Veterinary Entomology. Academic Press. p. 102. ISBN 9780123725004. Diperolehi pada 31 July 2011. "Pederin contacts human skin only when a beetle is brushed vigorously over the skin or crushed." 
  6. 6.0 6.1 Frank, JH; Kanamitsu, K (1987). "Paederus, sensu lato (Coleoptera: Staphylinidae): natural history and medical importance". Journal of medical entomology 24 (2): 155–91. PMID 3295241. 
  7. 7.0 7.1 7.2 "Just the facts…Paederus Beetles". US Army Public Health Command. Diperolehi pada 30 July 2011. 
  8. Kellner, Rupert L. L.; Dettner, Konrat (1996). "Differential efficacy of toxic pederin in deterring potential arthropod predators of Paederus (Coleoptera: Staphylinidae) offspring". Oecologia 107 (3): 293–300. doi:10.1007/BF00328445. "This study investigates the effects of pederin, a hemolymph toxin that is accumulated in the eggs of most Paederus females" 
  9. Piel, Jörn (2002). "A polyketide synthase-peptide synthetase gene cluster from an uncultured bacterial symbiont of Paederus beetles". Proceedings of the National Academy of Sciences 99 (22): 14002–7. doi:10.1073/pnas.222481399. PMC 137826. PMID 12381784. 
  10. Singh, Gurcharan; Ali, Syed Yousuf (2007). "Paederus dermatitis". Indian Journal of Dermatology, Venereology and Leprology 73 (1): 13–5. doi:10.4103/0378-6323.30644. 
  11. Rapini, Ronald P.; Bolognia, Jean L.; Jorizzo, Joseph L. (2007). Dermatology: 2-Volume Set. St. Louis: Mosby. p. 1180. ISBN 1-4160-2999-0.