Paten

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Paten adalah hak eksklusif yang diberikan terhadap suatu rekacipta sama ada suatu produk atau proses untuk menghasilkan cara baru bagi membuat sesuatu, ataupun penyelesaian teknikal bagi sesuatu masalah. Hak paten selalunya diberikan oleh kerajaan kepada seseorang pencipta atau pereka sesuatu ciptaan yang memberikan kepadanya hak sepenuhnya untuk membuat, mengguna dan menjual rekaan tersebut untuk satu tempoh masa yang tertentu. Di Malaysia, paten dilindungi selama 20 tahun dari tarikh pemfailan.

Pemunya paten boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak lain yang melanggar haknya tanpa kebenaran pemunya paten.

Syarat[sunting | sunting sumber]

Paten akan dianugerahkan apabila ia menepati ciri-ciri berikut:

  • Baru (novelti). Sesuatu rekacipta itu masih belum dizahirkan kepada orang awam di mana-mana di dunia.
  • Melibatkan langkah merekacipta yang mana rekacipta itu tidak ketara kepada seseorang yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang teknologi tersebut
  • Boleh digunakan dalam mana-mana industri

Paten di Amerika Syarikat[sunting | sunting sumber]

Paten di Amerika Syarikat memberikan hak secara eklusif untuk membuat, menggunakan atau menjual barang yang diberikan paten di Amerika Syarikat dan wilayah takluknya. Sebarang perlanggaran paten adalah kesalahan melanggar paten dan boleh menyebabkan saman dan ganti rugi dituntut oleh pemegang paten.

Syarat yang perlu dipenuhi sebelum pemberian sesuatu paten adalah kewujudan satu rekaan yang boleh diberi paten. Untuk menjadikan ia boleh diberikan paten, rekaan tersebut mesti berkait dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan seperti sumbangan, proses, mesin, pembuatan, komposisi bahan, jentera ataupun reka bentuk. Di Amerika Syarikat terdapat kelas-kelas berlainan untuk kategori-kategori yang berlainan.

Paten pertama direkodkan untuk satu proses perindustrian diberikan kepada seorang arkitek dan jurutera bernama Filippo Brunelleschi dalam tahun 1421 di Florence, Itali. Tempoh sesuatu paten biasanya di antara 16 hingga 20 tahun, walaupun di Perancis, umpamanya, paten diberikan tempoh kuatkuasa yang lebih pendek. Di negara komunis seperti bekas Soviet Union, paten tidak diperakui dan sebaliknya sijil diberikan kepada pencipta untuk mempastikan mereka mendapat satu bentuk ganjaran untuk rekaan ataupun ciptaan mereka. Persetujuan Pertubuhan Perdagangan Sedunia WTO dalam tahun 1990-an menetapkan bahawa paten perlu diberikan tempoh sah laku minimum 20 tahun. Paten dikira sebagai hak milik peribadi dan boleh dijual beli dan dipindah milik.

Perakaunan[sunting | sunting sumber]

Di dalam Perakaunan, paten ditakrifkan sebagai hak ekslusif yang diberikan kerajaan untuk sesuatu syarikat mengguna, membuat dan menjual sesuatu produk atau proses untuk tempoh 20 tahun tanpa boleh diperbaharui, bila mana dalam tempoh tersebut pihak ketiga tidak boleh mengganggu ataupun menyalahi hak paten yang diberikan. Paten dikira sebagai satu set tidak nyata, dan kos untuk pendaftaran dan kos guaman terlibat dimodalkan (capitalised). Penyelidikan dan kos pembangunan ditolak sebagai perbelanjaan. Kos perolehan paten daripada pihak luar dibuatkan tangguhan dan dilunaskan (amortised) dan sekiranya perolehan itu dibuat sebagai usaha untuk menafikan persaingan, kos tersebut dilunaskan untuk tempoh baki hayat paten syarikat yang hendak dilindungi.

Pautan Luar[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Soalan-soalan Lazim Harta Intelek, MyIPO, 2008
  • Sistem paten di Malaysia, MyIPO, 2008