Pengangguran

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Mereka yang mencari kerja beratur di luar dapur sup di Chicago, 1931 akibat Zaman Meleset.

Pengangguran berlaku apabila seseorang yang boleh bekerja dan mahu bekerja tetapi tidak dapat mendapat pekerjaan. Mereka ini digolongkan dalam tenaga buruh sesebuah negara, iaitu mereka yang berumur 15 ke 64 tahun dan sanggup bekerja.

Dalam masyarakat di mana kebanyakan orang boleh mencari nafkah dengan bekerja dengan orang lain, pengangguran adalah masalah serius. Kesan negatifnya termasuk kehilangan, perasaan ditolak dan kegagalan peribadi, dan kerana itu pengangguran digunakan secara secara meluas untuk mengukur kebajikan pekerja. Kadar pekerja yang menganggur juga menunjukkan tahap kecekapan penggunaan sumber manusia sesebuah negara dan menjadi indeks bagi aktiviti ekonomi.

Menurut pakar ekonomi Keynes, sesebuah negara yang mempunyai kadar pengangguran 4% atau kurang menunjukkan negara tersebut telah mencapai guna tenaga penuh.

Pengiraan[sunting | sunting sumber]

Cara paling biasa digunakan untuk mengukur pengangguran dibangunkan di AS pada tahun 1930an; dan diikuti oleh banyak negara lain atas cadangan Pertubuhan Buruh Antarabangsa. Maklumat diambil daripada aktiviti setiap orang dalam umur boleh bekerja (16 tahun atau lebih di AS) melalui tinjauan bulanan sampel isi rumah yang mewakili keseluruhan populasi. Untuk memastikan ketepatan dan kesenangan pengumpulan data, penemuramah bertanya apa yang mereka lakukan dalam satu minggu. Seseorang yang melakukan apa saja kerja bagi minggu itu dan mendapat bayaran atau keuntungan, bekerja 15 jam atau lebih sebagai pekerja tak berbayar dalam perniagaan keluarga, atau mempunyai kerja di mana dia tidak hadir sementara, dikira sebagai mempunyai pekerjaan. Seseorang yang tidak bekerja tetapi mencari pekerjaan atau diberhentikan sementara dan boleh mengisi sesuatu pekerjaan dikira sebagai menganggur. Pengiraan kadar pengangguran dikira dengan jumlah mereka yang menganggur kemudian dibahagikan dengan jumlah orang dalam tenaga buruh (iaitu jumlah mereka yang bekerja dan tidak bekerja).

\text{Kadar pengangguran}=\frac{\text{Mereka yang menganggur}}{\text{Jumlah tenaga buruh}}

Di sesetengah negara, daripada membuat tinjauan, pengangguran dianggarkan daripada data jumlah mereka yang mencari pekerjaan melalui pejabat pekerjaan kerajaan atau jumlah mereka yang menerima pampasan pengangguran.

Pengangguran juga boleh dihitung dengan menggunakan rumus berikut:

Pengangguran = tenaga buruh – guna tenaga

Di mana guna tenaga adalah tenaga buruh yang bekerja dalam sesebuah ekonomi. Oleh itu beza antara jumlah tenaga buruh dengan guna tenaga adalah pengangguran.

Sebab[sunting | sunting sumber]

Pengangguran boleh disebabkan kepada beberapa faktor termasuk geseran atau normal (friksional), bermusim, berstruktur dan berkitar (cyclical).

Pengangguran geseran atau normal berlaku apabila pekerja berhenti kerja dan mencari pekerjaan tetapi tidak menjumpainya serta merta; dan ketika itu mereka dikira sebagai penganggur. Friksional ini merujuk kepada ketaksesuaian di antara permintaan dan bekalan buruh. Pengangguran jenis ini berlaku sementara sahaja sehingga pekerja menjumpai pekerjaan yang mereka mahukan.

Pengangguran bermusim berlaku contohnya apabila industri mengalami musim yang lembab seperti dalam pembinaan, pesawah padi tidak turun ke bendang apabila selesai musim menuai, dan nelayan pula tidak turun ke laut untuk menangkap ikan pada musim tengkujuh.

Pengangguran berstruktur muncul daripada ketakseimbangan di antara jenis pekerjaan yang pekerja mahu dan jenis pekerja yang majikan mahu. Ketakseimbangan ini boleh disebabkan oleh kekurangan kemahiran, lokasi, atau karektor peribadi. Pembangunan teknologi misalnya menyebabkan keperluan kemahiran baru dalam banyak industri, menyebabkan mereka yang tidak mengemaskini kemahiran mereka kehilangan pekerjaan. Dan kilang dalam industri yang merosot akan tutup yang menyebabkan pekerja mereka hilang pekerjaan.

Pengangguran berkitar disebabkan oleh kekurangan permintaan bagi buruh. Apabila kitaran perniagaan menjunam contohnya dalam kemelesetan ekonomi, permintaan bagi barang dan perkhidmatan jatuh; akibatnya pekerja diberhentikan.

Kesan[sunting | sunting sumber]

Pengangguran yang berlaku dalam sesebuah negara akan menimbulkan kesan kepada ekonomi dan sosial.

Kesan ekonomi termasuk mengurangkan keluaran negara, menurunkan taraf hidup dan sekaligus melambatkan pembangunan negara. Dengan pengangguran yang tinggi juga boleh meningkatkan kadar kemiskinan dalam sesebuah negara.

Kesan pengangguran terhadap sosial termsuk pengaruh negatif dalam keluarga dan mewujudkan ketidaktenteraman yang boleh membawa kepada pergaduhan dan penceraian. Ia juga boleh membawa kepada peningkatan jenayah akibat masalah kewangan dan masalah tekanan jiwa dan tiada keyakinan diri.

++Peluang di Malaysia== Para penganggur atau kini lebih tepat lagi dikenali sebagai pencari kerja diberi bantuan kerajaan di Malaysia. Antaranya adalah oleh jabatan kerajaan seperti Jabatan Pembangunan Kemahiran‎, Jabatan Tenaga Manusia‎, dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia‎ yang kesemunya berada di bawah Kementerian Sumber Manusia Malaysia‎.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]